Home Artikel PAS Melaka

Rencana : Tangga Batu Sejahtera | Pasca Aidilfitri

387
SHARE

 

Aidilfitri telahpun kita rayakan dan kegembiraan untuk eid, kini telah pun berlalu. Mulai saat ini bermula kembali kehidupan seperti mana sediakala dan harus kita menyedari bahawa musibah wabak penyakit COVID 19 masih lagi menjadi ancaman kepada kehidupan kita.

Sungguhpun begitu walau apa pun permasalahan yang sedang berlaku kehidupan ini mesti dilewati tanpa sesaat ianya terhenti untuk menunggu sebarang perubahan sebaliknya semua usaha serta ikhtiar yang dirangka serta yang mahu dilaksanakan untuk mengisi segala keperluan dan kecukupan dalam kehidupan mesti digerakkan secara kolektif, dengan strategi yang kolektif, solidariti dalam menangani wabak penyakit COVID 19 secara proaktif dan yang paling penting adalah mengurus perbelanjaan dengan penuh berhemah serta sabar.

Namun ‘langit tidak selalu cerah’, begitulah kehidupan kita tidak dapat lari daripada pelbagai persoalan gejala sosial yang menjadi kebimbangan masyarakat. Usaha untuk membentuk sebuah masyarakat berdisiplin ketika negara sedang berdepan pelbagai kemelut bermula dari ancaman wabak penyakit yang tidak terungkai sehingga saat ini, isu politik yang menggugah kestabilan kredibiliti sebuah pentadbiran kerajaan kini tidak boleh diselindung lagi ‘kehanyirannya’, wallahi ianya sangat mengecewakan rakyat marhaen, masalah PATI ibarat pekong yang tidak lagi dapat ditutup kudisnya, tidak cukup dengan itu gejala keruntuhan sosial mulai kembali menjadi topik utama dalam benak persoalan dari kalangan rakyat kini.

Keruntuhan akhlak dalam sistem sosial ini timbul akibat dari pelbagai dorongan bermula dari kesempitan hidup, tidak kurang yang mahu memenuhi impian kehidupan dan juga ianya juga dipengaruhi akibat kepincangan dalam institusi kekeluargaan. Indikasi persoalan dan permasalahn ini dapat dirujuk menerusi sebuah kajian akademik secara menyeluruh dengan pelbagai latar teori dan kajian terus kepada responden mengikut urutan kejadian kes serta kumpulan sasar bermasalah, dalam manuskrip kajian oleh Zainudin Sharif dan Norazmah Mohamad Roslan menerusi ‘Journal of Education Psychology & Counseling (2011)’.

Justeru itu semua teori dan juga kajian ini tidak dapat tidak ianya bertitik tolak daripada kepincangan pengukuhan utama dalam pembinaaan Negara Bangsa yang bertamadun iaitu kegagalan perlaksanaan menyeluruh rang undang-undang berteraskan Al Quraan dan As Sunnah sekaligus ia boleh mewujudkan gejala yang menjadi ancaman kepada kesihatan, ketenangan dan kesejahteraan jiwa dari kalangan masyarakat juga kredibiliti sebuah pemerintahan.

Watak Utama Gejala Sosial

Gejala sosial yang menyumbang kepincangan dalam sebuah ekosistem kehidupan ianya bermula daripada kecenderungan kepada suatu bentuk ikutan, maka setiap ikutan itu mewujudkan pengikut yang mengangkat sebuah ketokohan. Oleh yang demikian kita tidak dapat lari daripada memberikan perhatian terhadap proses pemulihan spiritual akibat daripada kecenderungan tanpa batas seseorang dalam memilih untuk memenuhi keinginan, kemahuan mahupun keperluan semasa.

Jika sahaja dalam sebuah negara mempunyai tokohnya maka pengaruh spiritual yang buruk atau sesat juga memiliki ketokohan yang tidak asing lagi dari kalangan manusia iaitu Iblis. Tokoh utama syaitan ini (Iblis) pernah berikrar untuk hal tersebut setelah Allah Azza wa jalla menghukumnya dan mengeluarkannya dari syurga, maka iblis menjawab:

قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَْ ثُمَّ لآتِيَنَّهُم مِّن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَن شَمَآئِلِهِمْ وَلاَ تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ

“Kerana Engkau telah menghukumku tersesat, aku benar-benar akan (menghalang-halangi mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian aku akan datangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.” Surah Al-A’raf ayat 16-17.

Ya! Ini merupakan ‘Perjanjian Syaitan’, perjanjian yang membawa kepada usaha yang tidal pernah berhenti dan tidak pula akan merasa lelah bahkan mereka tidak berputus asa dalam menempuh pelbagai cara, pendekatan dan tipu daya untuk menyesatkan manusia, yang akhirnya memberikan impak yang sangat dasyat kepada individu, komposisi masyarakat juga Negara.

Saya inigin mengajak muslimin dan muslimat yang dikasihi untuk merenungi sabda Baginda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam yang tercatat…,

“بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلاَقِ”

“Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Hadith diriwayatkan oleh Al-Hakim dan dinilai sahih oleh beliau, Adz-Dzahabi dan al-Albani.

Menerusi hadith di atas kita akan mengupas dan akan memaparkan secara berkala tiga impak yang sangat buruk dalam proses pembinaan negara bertamadun, dalam edisi seterusnya pada minggu hadapan, inshaAllah nantikan kupasan selanjutnya pada siri “Impak Intra Karnial”.

Wallahuallam.

Mohammed Saufee Othman
Ketua Penerangan
PAS Kawasan Tangga Batu

Paya Rumput @ 2 Syawal 1441 Hijrah


 

Wartawan Rakyat Melaka (WARM)