Home Artikel PAS Sabah

Kunjungan Jabatan Amal Malaysia buat ‘frontliners’ terharu di 1 Syawal

572
SHARE

Oleh : Mustaman Bin Mustain
25 Mei 2020

SANDAKAN : Rombongan Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah (JAMN Sabah) yang membuat kunjungan hormat kepada beberapa pasukan ‘frontliners’ di 1 Syawal telah membuat wira-wira negara ini terharu.

Ia tergambar jelas melalui reaksi dan ucapan mereka ketika barisan hadapan berkenaan menerima lawatan tersebut semalam di beberapa lokasi kunjungan yang berada di daerah ini.

Lokasi kunjungan itu termasuklah di Sekatan Jalan Raya Ulu Dusun, Hospital Duchess Of Kent, JPAM Sandakan, Balai Polis Bandar Sandakan, Balai Bomba & Penyelamat Bahagian Sandakan dan RTM Sandakan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid telah menyertai kunjungan tersebut bersama dengan Pengarah JAMN Sabah, Masru Mustaqem dan beberapa orang anggota.

Ketika menyampaikan ucapan, Sahar menyatakan bahawa mereka yang berada di barisan hadapan ini umpama lilin yang membakar diri menerangi malam insan lain.

“Ketika orang lain nyenyak tidur, dapat mandi, makan dan menguruskan diri dengan sempurna, tuan puan pula sebaliknya kerana tanggungjawab yang besar perlu digalas bahkan perlu sentiasa bersiap siaga,” katanya.

“Kami berbangga dengan tuan puan sekalian kerana sanggup mengabaikan kepentingan diri mengatasi kepentingan orang lain contohnya hari ini orang lain berhari raya, tuan puan tetap dengan tugas,” tambahnya.

“Inilah yang kami banggakan dengan tuan puan dan kami doakan ianya dibalas dengan ganjaran yang setimpal di akhirat kelak oleh Allah dengan balasan syurga,” ujarnya lagi.

Hadir sama dalam program yang berakhir kira-kira jam 5 petang itu ialah Komandan Jabatan Amal Malaysia Sandakan, Nursyam Yahya dan Komandan Jabatan Amal Malaysia Libaran, Hussin Rahim.