Home Artikel PAS Melaka

Rencana : PILIH PEMIMPIN YANG BERWIBAWA BUKAN POPULAR 

6611
SHARE

Oleh : Dr. Azman bin Yusof

Kepemimpinan ialah perihal menjadi ketua dalam memimpin suatu pekerjaan; memimpin sembahyang berjamaah atau pemerintahan negara. Ia juga boleh dimaksudkan dengan suatu usaha pemimpin mengarahkan orang bawahan melaksanakan aktiviti bagi mencapai matlamat organisasi.

Sepanjang sejarah Islam, terdapat bermacam-macam nama atau gelaran yang merujuk kepada maksud pemimpin. Di antaranya ialah imam, khalifah, amir al-mu’minin dan sultan. Menurut
Uthman El-Muhammady, semua istilah tersebut bermaksud puncak pimpinan umat Islam.

Ringkasnya, pemimpin adalah individu yang penting dalam urusan sosial dan kenegaraan kerana kemaslahatan ummah berada di tangan mereka. Atas sebab ini maka kepemimpinan merupakan satu persoalan yang serius dalam Islam.

Buktinya, mentaati pemimpin dalam perkara yang ma’ruf adalah wajib. Sebagaimana perintah Allah s.w.t. dalam surah al-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah kamu kepada Allah s.w.t. dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Uli al-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu…”

Dalam falsafah politik Islam, kuasa tertinggi yang mutlak adalah milik Allah s.w.t. Manakala, kepimpinan adalah amanah ketuhanan (divine trust) yang merangkumi urusan duniawi-ukhrawi dengan dwiperanan utama iaitu memelihara agama dan mengurus dunia. Ia merupakan taklif atau bebanan tanggungjawab dan bukannya satu tasyrif atau pun satu keistimewaan yang perlu diburu. Dengan kata lain pemimpin diibaratkan sebagai “pengembala” yang akan diminta tanggungjawab di atas gembalaannya.

Justeru, pemimpin perlu dipimpin oleh ilmu, iman dan amal untuk menjadikan kepimpinannya sebagai alat yang aktif yang dapat merealisasikan tujuan yang hendak dicapai iaitu membela agama dan menguruskan dunia. Oleh sebab itu, Islam menempatkan kepemimpinan di tempat yang tinggi, sebagaimana sabda Rasulullah s.aw. yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan disoal tentang kepimpinan kamu”.

Memandangkan tugas dan fungsi yang penting ini, maka para ulama’ telah meletakkan beberapa syarat ketat yang mesti dipenuhi oleh mereka yang memegang tampuk kepimpinan negara seperti mukallaf, lelaki, adil, memiliki ilmu pengetahuan, bijak berpolitik, berketurunan Quraisy (iaitu keutamaan diberikan kepada kaum majoriti), merdeka, sempurna pancaindera, beriman, berani, warak dan lain-lain.

Tujuannya ialah supaya pemimpin yang dilantik itu bukan sekadar popular tetapi mestilah seorang yang berwibawa; boleh menjalankan tugas dengan berkesan.

Menurut Kamus Dewan, wibawa bermaksud orang yang mempunyai kepakaran dlm sesuatu bidang ilmu pengetahuan seperti fiqh al-siasah, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Jika syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi maka pemimpin itu seorang yang lemah dan kepimpinannya akan dipertikaikan.

Keadaan ini tentulah tidak wajar bagi seorang pemimpin tertinggi negara.
Oleh kerana kepimpinan negara ini suatu amanah dan tanggungjawab yang berat, maka seseorang itu dilarang menuntutnya kerana Allah s.w.t. tidak akan memberikan bantuan kepadanya. Nabi s.a.w. pernah menasihati sahabatnya Abd Rahman bin Samurah: ”Wahai Abd Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikan tanpa permintaan maka engkau dibantu”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda juga pernah menasihati dua sahabat melalui satu riwayat di mana seorang sahabat berkata: “Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi SAW. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah. Seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ironinya, baru-baru ini geger seluruh negara apabila seorang pemimpin parti politik membuat kenyataan yang membayangkan bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri Malaysia pada tahun 2020. Bagi masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu-Islam yang kaya dengan budaya dan tinggi akal budinya akan tersenyum sinis kerana kenyataan seperti itu menggambarkan peribadi yang gelojoh, tamak dan tidak selari dengan ajaran Islam.

Beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadapnya.

”Saya rasa baik dia diam”, tempelak Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah. Walaupun persepsi umum masih ada yang menganggap beliau seorang pemimpin yang popular tetapi menuntut dirinya diangkat menjadi pemimpin bukanlah sebahagian daripada ajaran Islam.

Apatah lagi sehingga ke tahap memaksa pemimpin lain meletakkan jawatan demi memenuhi cita-cita politiknya itu. Hal ini bukan sahaja tidak demokratik malah boleh menjejaskan kestabilan politik negara.

Rakyat harus menegur pemimpin sebegini. Usah menjadi pengikut yang taksub dan bebal kepada kebenaran. Saidina Abu Bakar as-Siddiq ketika menyampaikan ucapan sejurus dilantik sebagai khalifah mengingatkan:”Wahai manusia meskipun aku telah dilantik untuk memimpin kamu, tidak bererti bahawa aku yang terbaik di kalangan kamu semua. Jika kamu melihat aku berada dalam kebenaran, maka tolonglah aku. Jika kamu melihat aku berada dalam kebatilan maka luruskanlah aku, taatilah aku selama aku taat mematuhi perintah Allah. Jika aku menderhaka kepada perintah Allah, kamu semua tidak perlu lagi mematuhi perintah aku.”

Berdasarkan hujah-hujah yang dinyatakan di atas, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa kita dilarang memilih seseorang yang meminta dirinya diangkat menjadi pemimpin. Sebaliknya, pilihlah seseorang menjadi pemimpin yang akan memegang tampuk kepimpinan berdasarkan kewibawaannya; beriman, berintegriti dan berilmu pengetahuan yang luas.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nur, ayat 55 yang bermaksud: “Allah SWT menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal salih di kalangan kamu, bahawa Dia akan menjadikan mereka sebagai khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, seperti mana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka selaku khalifah yang berkuasa.”

Penulis ialah AJK Dewan Ulama PAS Negeri Melaka