Home Artikel PAS Perlis

Apa Itu Musim Winter Wind?

779
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

Ketika berlakunya monsun Timur Laut, negeri-negeri Pantai Timur biasanya terdedah kepada bencana banjir besar akibat hujan lebat. Menurut Portal Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca di Malaysia dicirikan oleh dua rejim monsun iaitu Monsun Barat Daya yang bermula dari akhir bulan Mei ke September, dan Monsun Timur Laut dari bulan November ke Mac.

Monsun Timur Laut biasanya membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak, manakala kawasan Pantai Barat pula secara relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering. Pada musim ini, kebanyakan kawasan di Pantai Barat mengalami hujan bulanan minimum, biasanya di antara 100 – 150mm.

Namun, tidak ramai yang tahu, negeri Perlis yang terletak paling hujung di sebelah utara dan bersempadan dengan Thailand, ketika ini mengalami satu musim unik yang disebut sebagai ‘Winter Wind.’

Apa Itu ‘Winter Wind?’

‘Winter Wind’ sebenarnya merujuk kepada fenomena angin tropika yang bertiup di negeri Perlis sepanjang Disember hingga Mac setiap tahun. Dikenali sebagai ‘musim angin timur’ oleh penduduk tempatan, ‘Winter Wind’ tidak berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia melainkan di negeri ini.


Memperihalkan berkenaan ciri musim ini, sebuah jurnal bertajuk ‘Natural Flood Influencing Factors: A Case Study of Perlis, Malaysia’ menyebutkan; “The weather, which is normally warm and wet, is actually controlled by the yearly fluctuations in position of the Inter Tropical Convergence Zone since it follows the obvious movement of the sun north and south of the equator. This results in two distinct rainy periods, and a prolonged drought period. It experiences a Monsoon Tropical climate and “Winter Winds” (East Coast Wind from Teluk Siam).”

Secara ringkasnya, ‘Winter Wind’ cuma berlaku hanya sekali dalam tempoh setahun (Disember hingga Mac) iaitu ketika hemisfera selatan bumi paling condong ke arah matahari. Sepanjang musim ini, suhu menjadi amat rendah pada waktu malam dan awal pagi (antara 20 – 22 darjah Celcius) tetapi bacaan suhu akan menjadi begitu tinggi pada sebelah siang (melebihi 32 darjah Celcius).

Kedatangan ‘Winter Wind’ menjadikan negeri ini mengalami tiga musim berbeza dalam setahun iaitu musim panas, musim sejuk dan musim luruh!

Pengaruh Monsun Tropika

Satu lagi istilah yang sering digunakan bagi merujuk kepada fenomena musim ‘Winter Wind’ di Perlis ialah ‘Khatulpica’.  ‘Khatulpica’ bermaksud iklim di negeri ini yang dipengaruhi oleh dua jenis iklim iaitu Khatulistiwa dan sub-tropika.

Ketika ini, negeri yang tekenal dengan jolokan ‘Negeri Harumanis’ ini sedang mengalami musim kemarau panjang dengan suhu pada waktu siang yang amat tinggi manakala beransur dingin ketika malam dan awal pagi.

Ketika di puncak winter wind, kebanyakan sungai akan kering-kontang akibat kemarau panjang, rumput-rumput akan mati manakala pokok-pokok yang selama ini menghijau akan kelihatan kering tanpa daun, seperti musim luruh di Eropah.

Namun, siapa sangka, cuaca yang ekstrem inilah yang membolehkan mangga Harumanis tumbuh subur di Perlis kerana Harumanis setiap kitaran untuk berbuah amat memerlukan cuaca yang amat panas dan ekstrem bagi menghasilkan buah yang berkualiti.

Musim Berpesta

Biarpun musim Angin Timur ini membawa bersama suhu yang panas dan kemarau panjang, penduduk negeri ini biasanya akan mula melakukan berbagai aktiviti seperti menangkul udang, bermain wau, ‘menimba telaga’ dan sebagainya.

Tambah menarik, kedatangan ‘Winter Wind’ turut membantu menarik kedatangan pelancong ke negeri ini menerusi program Pesta Angin Timur Perlis anjuran JKKN Perlis dengan kerjasama kerajaan negeri yang diadakan antara Februari hingga Mac setiap tahun.