Home Berita PAS Melaka

Rencana | Perkecil fungsi KDNK – Nak bodohkan siapa?

255
SHARE

Oleh IBNU JANIE

BARU-BARU ini penulis ada menonton satu video yang tersebar di grup-grup Whatsapps memaparkan seorang ahli politik muda daripada sebuah parti politik yang bercakap tentang ‘total lockdown’ dan ekonomi. Video itu dirakam sebelum kerajaan memutuskan untuk mengadakan ‘total lockdown’.

Dipendekkan cerita, perkara paling menarik perhatian penulis terhadap apa yang diperkatakan oleh individu ini ialah apabila beliau mempersoalkan kerajaan yang banyak merujuk kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai panduan dalam membuat keputusan berkaitan bantuan kepada rakyat dalam berdepan masalah Covid-19.

Antara yang ketara, apabila beliau menyebut tentang KDNK beliau akan menyebutnya sebagai ‘KDNK hanya’ menunjukkan seolah KDNK bukan satu konsep yang penting. Katanya lagi, “janganlah mengagungkan KDNK, ia hanya indikator ekonomi”.

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Kata individu itu lagi, tidak ada langsung kesan secara automatik kepada pekerja kilang itu, kepada keluarga pekerja itu kepada kawasan sekitarnya samada KDNK naik atau turun.

Walau pun dalam ayat seterusnya beliau mengakui bahawa ‘memang benar ada kaitan kalau kilang itu ditutup maka tak adalah pekerjaan di kilang itu’. Tapi sambung individu itu pula “tapi itu cerita lain, ia bukan cerita KDNK”. Pening!

Orang yang mempertikaikan fungsi penting KDNK dalam membuat keputusan ekonomi umpama seseorang yang mempertikaikan doktor yang bergantung kepada kadar suhu badan untuk menilai seseorang itu demam atau tidak.

Penulis ingat lagi semasa penulis bekerja di sebuah syarikat peruncitan antarabangsa dari Jepun dahulu. Pengurusan tertinggi kami pada masa itu mengingatkan para pekerja untuk memastikan jualan syarikat harus meningkat sama atau lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan KDNK Malaysia jika mahu bonus.

Contohnya jika KDNK Malaysia pada tahun itu meningkat sebanyak lima peratus, maka kadar jualan syarikat pada tahun itu mesti lebih daripada lima peratus, baru kami boleh dapat bonus.

Mengapa syarikat membuat polisi begitu? Ini adalah kerana KDNK adalah sebagai gambaran peningkatan atau pengurangan kekayaan keseluruhan negara. Jika kekayaan negara meningkat tetapi hasil syarikat menurun ini bermakna ada yang tak kena dengan syarikat. Ini kepentingannya.

Bantuan kepada rakyat tidak banyak?

Selain itu, individu dalam video itu turut mendesak agar kerajaan membuat pinjaman lagi untuk membantu rakyat. Menurut beliau kerajaan terlalu membesar-besarkan enam pakej rangsangan ekonomi yang telah diwujudkan sepanjang bencana Covid-19 ini yang berjumlah RM305 bilion.

Namun menurut beliau nilai fiskal, atau nilai perbelanjaan yang benar-benar dikeluarkan oleh kerajaan hanyalah RM55 bilion. Bantuan ini dalam bentuk bantuan tunai prihatin, subsidi upah dan lain-lain bantuan tunai samada kepada individu atau perniagaan terjejas. Pada beliau jumlah RM55 bilion ini sangat sedikit dan tidak memadai.

Kredit foto : Google

“Apabila kerajaan hendak buat keputusan untuk rakyat mesti berasaskan pendapatan majoriti rakyat bukan obsesi kepada KDNK naik atau turun. Jika kerajaan boleh lupakan KDNK sekejap, pelihara pendapatan pekerjaan buat sementara di samping lockdown dan jaga rakyat,” kata individu itu lagi.

Bercakap tentang bantuan tunai, kerajaan-kerajaan sebelum ini juga pernah memberi bantuan tunai kepada rakyat antaranya Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) pada zaman pemerintahan BN dan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang lebih dikenali sebagai ‘Basah’ pada zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Berapakah kerajaan-kerajaan ini telah belanjakan untuk memberi bantuan tunai kepada rakyat?

Perbelanjaan Kerajaan BN bagi membiayai program BR1M ini mengikut tahun adalah RM2.09 bilion (2012); RM2.90 bilion (2013); RM3.64 bilion (2014); RM5.35 bilion (2015); RM5.36 bilion (2016) dan RM6.31 bilion (2017). Jumlah keseluruhan BR1M untuk enam tahun itu ialah RM25.65.

Kredit foto : Google

BSH atau ‘Basah’ yang diperkenalkan PH pula menelan perbelanjaan sebanyak RM5 bilion pada tahun 2019 dan RM4.7 bilion pada tahun 2020 dengan jumlah keseluruhan RM9.7 bilion.

Jika dicampurkan BRIM dan ‘Basah’ selama lapan tahun ini jumlahnya ialah RM36.2 bilion. Dan jumlah ini masih belum dapat mengatasi jumlah pemberian bantuan tunai kerajaan PN yang dikatakan ‘hanya’ RM55 bilion untuk ‘hanya’ satu tahun itu.

Malah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang menggantikan ‘Basah’ dalam pembentangan pertama Bajet Kerajaan PN berjumlah RM6.5 bilion, lebih tinggi daripada mana-mana peruntukan tahunan untuk BR1M semasa kerajaan BN atau ‘Basah’ semasa kerajaan PH. Sedangkan pada masa itu Malaysia sedang bergelut dengan bencana Covid-19 dan kesan lockdown pada PKP1.0.

Kredit foto : Google

Baik, sekarang kita bandingkan kedudukan ekonomi negara semasa berbanding dengan sebelum-sebelum ini.

Hasil cukai pendapatan Malaysia yang dikutip oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada tahun 2020 adalah paling rendah sejak 2017 iaitu sebanyak RM123 bilion berbanding RM145 bilion pada tahun 2019; RM137 bilion pada tahun 2018 dan RM123.3 bilion pada tahun 2017.

Dengan KDNK suku pertama 2020 pada kadar 0.7 peratus; kemudian menyusut pula pada suku kedua 2020 pada kadar negatif 17.1 peratus; namun meningkat pada suku ketiga 2020 pada kadar negatif 2.7 peratus, tetapi masih negatif; pada suku keempat 2020 susut semula pada kadar negatif 3.4 peratus: sementara pada suku pertama 2021 pula kekal pada kadar negatif 3.4 peratus.

Situasi ini jelas menunjukkan tahap ekonomi yang sukar berbanding tahun-tahun sebelumnya yang menyaksikan ada pertumbuhan setiap tahun iaitu 5.5 peratus (2012), 4.7 peratus (2013), 6.0 peratus (2014), 5.1 peratus (2015), 4.4 peratus (2016), 5.7 peratus (2017) 4.7 peratus (2018) dan 4.3 peratus (2019).

Ini membuktikan bahawa kerajaan memang telah mengeluarkan perbelanjaan yang sangat luar biasa besar dalam membantu rakyat pada masa ini jauh lebih tinggi daripada kerajaan dahulu di saat pendapatan kerajaan kini jauh lebih rendah daripada dahulu.

Berbalik kepada individu tadi yang mempertikaikan fungsi KDNK dalam keputusan kerajaan, ia memang sesuatu yang sangat pelik.

Seluruh dunia ini pakar-pakar ekonomi, pihak kerajaan, korporat dan penganalisa memang sangat berpandu kepada KDNK. Tiba-tiba ada seorang pakar ekonomi di Malaysia ini menongkah arus mengatakan ia tidak ada apa-apa makna.

Bagi penulis individu ini tidak bodoh. Dia mempunyai latarbelakang ekonomi dan berkelulusan sarjana. Cuma dia mahu membodoh-bodohkan orang lain semata-mata untuk mempertahankan idea dia dan rakan-rakannya yang sedang mendesak kerajaan untuk memberi bantuan tanpa mengira mereka itu terkesan atau tidak.

Mereka cuba untuk menjadi hero untuk disanjung rakyat tanpa mengira kesan idea mereka itu kepada ekonomi. Mereka juga dahulu yang menghapuskan banyak subsidi untuk rakyat semasa mereka berkuasa atas alasan subsidi jadi beban pada negara untuk menanggungnya. Sedangkan pada masa itu kedudukan ekonomi kerajaan sangat baik dan tiada krisis yang mengganggu pendapatan kerajaan.

Seperti yang penulis selalu anjurkan di dalam rencana-rencana sebelum ini bahawa kerajaan mesti berhati-hati di dalam membuat perbelanjaan. Memang kerajaan perlu berbelanja besar untuk membantu rakyat tetapi kuncinya haruslah ‘bersasar’.

Jangan desak kerajaan untuk memberi bantuan kepada yang tidak terjejas! Ia hanya akan memburukkan keadaan.

Tapi kasihan pada rakyat yang mungkin akan percaya pada pembohongan individu ini yang menyalahi ilmu ekonomi disebabkan individu ini memang ada latarbelakang ekonomi. Nauzubillah!

Penulis adalah Ketua Editor CPP Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Editor Berita PAS Melaka

Rencana ini juga telah dìsiarkan di Harakah e-paper pada 7 Jun 2021