Home Artikel PAS Melaka

Rencana : PERKASAKAN PERANAN INSTITUSI DIRAJA MENERUSI INSTITUSI PENDIDIKAN

198
SHARE
Dr Azman Yusof
Setiausaha Lajnah Tarbiyah & Perkaderan PAS Negeri Melaka

Oleh : Dr. Azman Yusof

Pada 24 Oktober 2019 yang lalu, telah berlangsung Seminar Diraja ke-enam (Siraj VI) dengan tema, “Sistem Beraja: Antara Realiti Dengan Harapan”, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Semasa ucapan perasmian, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail telah melahirkan perasaan dukacita di atas tindakan segelintir masyarakat yang tidak menghormati institusi diraja dengan cara memperkecil dan memperkotak-katikkan peranan istana menerusi media sosial.

Meskipun ada tangkapan dibuat, kes terhadap penghinaan institusi diraja masih berterusan. Justeru, Baginda menyeru kepada semua rakyat agar menyedari bahawa institusi diraja dan sistem beraja adalah pelengkap  kepada sistem pentadbiran negara dan sumber kekuatan rakyat tanpa mengira bangsa, umur dan latarbelakang.

Bagi menangani isu ini, kerajaan telah mewujudkan sebuah Jawatankuasa Jenayah Siber PDRM-MCMC sebagai usaha memerangi jenayah siber secara lebih strategik dan tersusun. Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, langkah itu termasuk bagi perkara melibatkan penghinaan terhadap institusi beraja dan lain-lain.

Menyentuh tentang isu yang sama, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menyarankan agar subjek berkaitan institusi diraja diperkenalkan semula menerusi institusi pendidikan agar rakyat dapat memahami dengan jelas struktur dan bidang kuasa raja-raja dalam pentadbiran negara.

Beliau yang juga merupakan salah seorang panel pembentang pada persidangan tersebut turut menegaskan bahawa raja-raja mestilah dirujuk terlebih dahulu dalam menentukan hala tuju perjalanan negara. Jangan pinggirkan raja-raja kerana institusi ini turut berperanan kepada memperteguhkan sistem pengurusan-pemerintahan negara.

Sungguhpun Malaysia hari ini memegang prinsip ‘rakyat yang memerintah’, di mana wakil-wakil yang terpilih menerusi pilihanraya akan membentuk ‘kabinet’ tetapi institusi  diraja perlulah dihormati kerana ia merupakan salah satu teras dalam struktur pentadbiran negara. Selain itu, institusi diraja ini telah sedia wujud dalam sistem sosial orang-orang Melayu-Islam sejak berabad-abad lamanya.

Di dalam artikel ini, penulis akan membawa pembaca menyorot kembali peranan tradisi Raja-raja Melayu dan mengapa institusi ini perlu dipelihara dan dihormati.

Menurut Kamus Dewan, raja ialah orang yang mengetuai dan memerintah sesuatu negara yang diwarisi daripada pemerintah sebelumnya.

Pada zaman dahulu, raja dianggap sebagai figura pemilik zat yang suci serta bertaraf ‘shakti’.  Namun, selepas menerima Islam, raja mula memakai gelaran ‘sultan’ dan telah diterima pakai secara meluas di Alam Melayu.

Sultan berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud “kekuatan”, “kuasa”, atau “kedudukan pemerintah”. Manakala perkataan ‘kesultanan’ merujuk kepada kawasan atau wilayah yang diperintah oleh seseorang sultan. Menurut Auni Abdullah, ini adalah kesan daripada proses Islamisasi  ke atas sistem pemerintahan Melayu-Hindu kepada sistem pemerintahan Melayu-Islam yang telah berlaku tahap demi tahap. Dengan erti kata lain, sultan berfungsi sebagai “ketua agama” dan “ketua umat Islam” yang berada di bawah kesultanannya.

Berdasarkan catatan Sultan Jamalul Kiram iaitu salah seorang pemerintah daripada Kesultanan Sulu sebagaimana yang dipetik oleh Cesar Adib Majul di dalam bukunya Islam di Filipina, baginda menggariskan fungsi raja atau sultan sebagaimana berikut:

i. Sultan merupakan wakil umat Muhammad dan raja mutlak bagi wilayah-wilayah yang dimilikinya. Sultan menjadi ketua agama Muhammad, dan hukum-hukum sultan yang adil hendaklah ditaati oleh semua rakyat.

ii. Sultan mempunyai segala kuasa dalam wilayahnya, tidak seorang pun yang mempunyai hak menentang sultan, kerana taraf sultan adalah tertulis oleh Rasul bahawa sultan adalah ‘bayangan Tuhan’ dalam negeri pemerintahannya.

iii. Sultan merupakan tempat untuk mendapatkan keadilan oleh semua rakyatnya serta pedagang-pedagang, sultan bertanggungjawab agar keadilan itu dijalankan dengan saksama.

iv. Sultan mempunyai hak untuk memberikan kekuasaannya kepada sesiapa sahaja yang difikirkan layak olehnya, biarpun kalau orang itu dari golongan bawahan, jika sifat dan kebolehannya lebih tinggi daripada orang-orang yang berkedudukan tinggi daripada beliau sendiri, dan jika dengan berbuat demikian, manfaat boleh didapati untuk kebaikan negeri.

Orang yang seperti itu mempunyai hak untuk menumpukan minat mereka kepada hal ehwal negeri. Oleh yang demikian, sultan boleh berbuat sesuka hatinya, kerana sultan mempunyai kuasa mutlak menurut hukum  dan keadilan di dalam negeri-negeri di bawah kesultanannya.

v. Sultan hendaklah menggesa setiap rakyatnya supaya berkelakuan baik dan menghindari semua bentuk jenayah sebagaimana Nabi Adam a.s. dijadikan khalifah bagi menerima dan melaksanakan amanah Allah dan untuk menegakkan keamanan dan keadilan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai Daud, sesungguhnya kami menjadikan kamu khalifah di muka bumi, maka berilah keputusan (hukuman) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah, sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan”

vi. Sultan hendaklah menjadi bapa kepada semua rakyatnya, setiap rakyat hendaklah dipandang saksama pada pertimbangan sultan, sultan tidak boleh beza membeza diantara rakyat atasan dengan yang bawahan; keadilan hendaklah dijalankan tanpa prasangka.

vii. Sultan hendaklah bersikap lemah lembut dalam menjatuhkan hukuman ke atas rakyatnya kerana ada firman di dalam al-Quran yang berbunyi: “Tuhan Maha Pengampun kepada setiap insan.”

viii. Sultan tidak boleh terus bertindak berdasarkan nasihat para menterinya sahaja tanpa membuat pertimbangan, kerana tindakan mereka tidaklah sentiasa adil. Terdapat peraturan untuk memandu sultan-sultan yang beragama Islam sama ada di langit atau di muka bumi ini.

ix. Sultan hendaklah menjaga supaya setiap umatnya mengetahui dan fasih dalam soal agama Islam, undang-undang dan adat. Supaya rakyat sentiasa berdamping dengannya, sultan hendaklah menjadikan dirinya sebagai penyuluh kepada rakyatnya, kerana jika tidak ada penyuluh dalam rumahnya maka penghuni-penghuninya akan berada di dalam kegelapan; demikianlah juga sebuah negeri yang tidak mempunyai orang-orang yang bijaksana.

Berdasarkan petikan di atas, dapatlah dikatakan bahawa fungsi raja/sultan sebagaimana yang digariskan oleh Sultan Jamalul Kiram adalah menyamai tugas khalifah dalam tradisi pemerintahan Islam iaitu sebagai pewaris Rasulullah S.A.W dalam hal pemerintahan umat Islam. Ini kerana tugas dan tanggungjawab raja/sultan ialah menegakkan Daulah Islamiyah di dalam wilayah kesultanannya.

Walaupun kini, raja/ sultan tidak lagi berperanan seperti dahulu namun Perlembagaan Persekutuan tidak menafikan peranan raja sebagai tonggak kerajaan yang perlu dipelihara dan dihormati.

Menurut Prof Madya Dr Sham Rahayu, Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengiktiraf peranan raja sebagai tonggak kerajaan apabila meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara (per. 32), yang secara undang-undangnya menganggotai tiga badan kerajaan, iaitu badan Perundangan (Legislatif), Badan Pemerintah (Eksekutif) dan Badan Kehakiman (Judisiari).

Perkara 44 meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai satu daripada tiga unsur Parlimen. Baginda mempunyai kuasa memanggil, menangguh dan membubarkan Parlimen (per. 55) serta meletakkan cop mohor kepada rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Badan Perundangan dalam proses penggubalan undang-undang (per. 66).

Baginda merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera (per. 41). Yang di-Pertuan Agong berkuasa mengampunkan dan menangguhkan sesuatu hukuman (per. 42).

Baginda bertangjungjawab menjaga dan memelihara kedudukan dan hak istimewa orang Melayu serta kepentingan bangsa lain (per. 153). Melalui kuasa budi bicara, menitahkan Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan mesyuarat bagi membincangkan keistimewaan, kedudukan, kehormatan dan kemuliaan Raja-Raja Melayu (per. 40(2)(c) ).

Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri, Pulau Pinang, Melaka, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Sabah (per. 3).

Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik Perdana Menteri daripada mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan (per. 40(2)(a) dan 43(2)(a). Baginda juga boleh menggunakan kuasa budi bicara untuk membubar Parlimen sekiranya terdapat permintaan Perdana Menteri (per. 40(2)(a)(b).

Baginda mempunyai kuasa melantik dan melucutkan jawatan Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri setelah mendapat nasihat Perdana Menteri (per. 43(5). Yang di-Pertuan Agong boleh membuat pengisytiharan darurat (per. 150) dan juga membuat undang-undang (ordinan) darurat sekiranya kedua-dua Dewan Parlimen tidak bersidang secara serentak (per. 150(2B).

Atas nasihat Perdana Menteri, baginda mempunyai kuasa melantik ahli suruhanjaya-suruhanjaya yang ditubuhkan oleh perlembagaan, seperti Suruhanjaya Polis (per. 140), Pelajaran (per. 141A). Baginda juga melantik Peguam Negara atas nasihat Perdana Menteri (per. 145).

Kesimpulannya, walaupun institusi diraja telah berubah peranannya daripada sistem feudal yang berkuasa mutlak kepada raja berperlembagaan, namun peranan institusi ini sangat penting kepada kestabilan negara.

Hormatilah institusi beraja yang telah berkorban dengan menyerahkan kuasa ‘eksekutif’ mereka kepada ‘kabinet’ yang dipilih oleh rakyat menerusi pilihanraya. Manakala, rakyat pula tanpa mengira kaum: Melayu, Cina, India dan lain-lain hendaklah menjadi warganegara yang bersyukur dan tahu diuntung.

Justeru, disarankan kepada pihak berwajib agar merperkasakan peranan institusi diraja  menerusi institusi pendidikan sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi agar ianya dapat diketahui, difahami dan dihormati oleh rakyat jelata tentang fungsi penting institusi tersebut sebagaimana yang telah dibincangkan di atas.

Penulis ialah Setiausaha Lajnah Tarbiyah & Perkaderan PAS Negeri Melaka


Kelolaan Wartawan Rakyat Melaka (WARM)