Home Artikel PAS Melaka

MUAFAKAT NASIONAL PAS, UMNO ATAS PENYATUAN AGAMA BUKA RUANG DAKWAH – ADUN PANTAI MERDEKA

198
SHARE
ADUN Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim sedang membentangkan kertas kerja.
Pengarah Pilihanraya PAS Negeri Melaka, Bahiki Ismail

Oleh : Shawal Ahmad (WARM)

KOTA MELAKA – Penyatuan Muafakat Nasional (PMN) antara PAS dan Umno dianggap sebagai sesuatu yang positif dalam usaha menyatupadukan umat Islam atas dasar agama. Ia juga membuka ruang dakwah yang luas dalam usaha menjangkaui perbezaan pandangan dan fahaman dalam usaha untuk memberi pemahaman terhadap masyarakat Melayu Muslim dan Non-Muslim di Malaysia.

Demikian dinyatakan oleh ADUN Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim pada Majlis Penerangan Pilihanraya  anjuran Lajnah Pilihanraya Dewan Ulamak Negeri Melaka di sini kelmarin.

Beliau menganggap penyatuan berkenaan membawa kepada manfaat yang lebih besar sekali gus mensejahterakan umat Islam dan meraikan kepelbagaian kaum.

“Usaha untuk mensejahterakan ummah, kita sebagai pemimpin kena tunjuk simulasi, bagaimana penyatuan ini dibuat sebagai satu anjuran agama, kalau semua faham saya percaya ikatan ini lebih kuat dan kukuh,” ujar beliau.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Petani berkata, dalam melaksanakan tugas dalam pilihanraya, aktivis PAS hendaklah menjaga hubungan dengan Allah, InsyaAllah kemenangan bakal berpihak kepada PAS.

PAS juga, menurut beliau, tidak pernah menggunakan pendekatan mendiskriminasi penganut agama lain, malah sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan menjalankan prinsip dakwah dengan kata nasihat.

Beliau berkata, antara salah satu kekuatan PAS yang ditekankan adalah akar umbi organisasi PAS berasaskan aqidah perjuangan yang panjang, demi mendapat keredaan Allah, walaupun jauh perjalanannya daripada dunia sehingga akhirat.

Jelas beliau, ini berbeza dengan mereka yang hanya berjuang untuk menegakkan teori atau ideologi impian manusia demi mengejar cita-cita yang difikirkan, dan hanya berwawasan dalam kehidupan dunia sementara waktu.

Turut hadir ialah Pengarah Pilihanraya Dewan Ulamak Negeri Melaka, Ustaz Rizal Idris dan Pengarah Pilihanraya PAS Negeri Melaka, Bahiki Ismail.


Kelolaan Wartawan Rakyat Melaka (WARM)