Oleh : Ibnu Janie
AMALAN menabung diketahui umum satu amalan yang terpuji. Ibu bapa menyediakan tabung untuk anak-anak di rumah bagi mendidik mereka agar menyimpan wang sedari kecil.
Sebenarnya amalan menabung ini bukan hanya untuk kebaikan individu sahaja namun ia sebenarnya memberi kesan kepada ekonomi negara secara keseluruhan.
Jika kita belajar ilmu ekonomi, setiap aktiviti atau tindakan yang berlaku dalam ekonomi ini mempunyai kaitan antara satu sama lain. Ia dipanggil kesan berantai.
Selain daripada itu ekonomi juga sering dikaitkan dengan keseimbangan. Kita akan membincangkan di dalam rencana ini apa kaitan antara tabungan isi rumah, kesan berantai tabungan kepada ekonomi negara dan apa keseimbangan yang ingin dicapai.
Apa itu tabungan dari kacamata ekonomi?
Pertama sekali kita perlu tahu tentang tabungan. Pada dasarnya tabungan itu ialah apabila seseorang itu mengasingkan sebahagian daripada pendapatan yang mereka miliki untuk disimpan dan tidak dibelanjakan.
Walau pun dalam keadaan biasa tabungan ini dilakukan dengan niat untuk menyimpan, namun dalam ekonomi, tabungan ini mempunyai maksud yang lebih luas.
Setiap pekerja akan menerima gaji. Setiap orang akan membelanjakan gaji yang diterima untuk perbelanjaan hariannya. Ada orang yang pada kebanyakan masa semua gajinya itu akan habis dibelanjakan. Ini dipanggil gaji cukup makan. Ada pula orang yang ada lebihan daripada gajinya yang tidak digunakan.
Tabungan adalah sebahagian wang daripada pendapatan yang diterima oleh seseorang itu tetapi tidak digunakan. Contohnya, anda menerima gaji sebanyak RM2000 sebulan, tetapi anda hanya menggunakan RM1500 sahaja sebulan untuk perbelanjaan sementara RM500 lagi tidak dibelanjakan dan dibiarkan tersimpan di dalam bank.
Walau pun seseorang itu tidak berniat pun untuk menyimpan sebanyak RM500 daripada gajinya itu sebagai tabungan, namun nilai RM500 itu akan dianggap sebagai nilai tabungannya pada bulan itu. Itu untuk seseorang individu. Jika dikumpulkan semua lebihan gaji daripada seluruh rakyat Malaysia maka kita akan dapat satu jumlah wang yang tersimpan di institusi kewangan.
Selain lebihan yang tersimpan secara tidak dirancang tadi ada juga tabungan yang memang dilakukan secara dirancang iaitu mereka yang membuat potongan gaji untuk disimpan secara tetap di dalam institusi-institusi kewangan seperti Tabung Haji dan lain-lain lagi. Selain itu juga ada juga simpanan yang diwajibkan seperti simpanan KWSP, juga termasuk antara penyumbang terbesar dalam jumlah Tabungan Negara.
Kesan tabungan pada ekonomi sesebuah negara
Sekarang kita bayangkan ada sebuah negara yang kita panggil sebagai Negara Y. Di dalam Negara Y hanya ada rakyat berjumlah 1000 orang. Setiap orang menerima gaji sebanyak RM1500. Di dalam negara ini pula ada sebuah kilang yang mengeluarkan roti.
Untuk memudahkan ilustrasi, kita andaikan bahawa pada masa mereka menerima gaji RM1500 sebulan, mereka membeli sebanyak 30 buku roti sebulan, atau sebuku sehari. Jadi secara keseluruhan kilang itu akan mengeluarkan sebanyak 30 ribu buku roti sebulan.
Katakan tiba-tiba gaji semua rakyat Negara Y naik kepada RM2000 sebulan. Andaikan dengan kenaikan gaji ini mereka mampu dan mahu untuk membeli sebanyak 50 buku roti sebulan. Jadi pengeluar roti ini perlu mengeluarkan sebanyak 50 ribu buku roti berbanding 30 ribu buku sebelumnya.
Andaikan pengeluar itu tidak mampu untuk menambah pengeluaran kerana ruang kilang dan kemampuan pengeluaran terhad kepada 30 ribu buku roti sahaja sebulan. Andaikan mereka juga tidak mempunyai modal yang cukup untuk membesarkan kilang bagi menambah pengeluaran.
Dalam situasi ini orang akan berebut-berebut untuk membeli lebih banyak roti. Mereka yang lebih awal membeli akan dapat membeli banyak roti dan ada yang akan dapat membeli sedikit jika terlewat membeli.
Situasi ini dipanggil lebihan permintaan, iaitu apabila jumlah kuantiti sesuatu barangan yang ingin dibeli oleh pengguna lebih tinggi daripada jumlah yang mampu dijual atau ditawarkan oleh penjual.
Apabila pengguna mempunyai lebih kemampuan dan mahu membeli lebih banyak tetapi pengeluar tidak mampu mengeluarkan lebih banyak roti bagi memenuhi jumlah yang diminta pelanggan maka pengeluar akan cenderung untuk menaikkan harga barang jualan mereka. Maka inflasi akan berlaku. Ini berlaku secara semula jadi. Jadi bagaimana tabungan boleh menyelamatkan keadaan?
Bagaimana tabungan menyelamatkan keadaan?
Yang pertama, ialah pengguna mestilah tidak menggunakan sepenuhnya peningkatan dalam pendapatan untuk menambah permintaan atau pembelian terhadap sesuatu barangan. Dengan cara ini ia dapat mengurangkan kadar lebihan permintaan. Jadi ia boleh mengurangkan kemungkinan berlaku kenaikan harga atau inflasi.
Yang kedua, sebahagian lagi daripada kenaikan gaji itu mesti disimpan di institusi kewangan sebagai tabungan. Apa peranan tabungan pula untuk mengawal inflasi?
Dengan dana yang besar hasil daripada tabungan orang ramai tadi, institusi kewangan boleh memberi pinjaman kepada pengeluar untuk membolehkan mereka membesarkan kilang mereka dan dapat meningkatkan pengeluaran mereka. Dengan cara itu kilang dapat memenuhi peningkatan dalam permintaan yang disebabkan oleh kenaikan gaji tadi.
Inilah yang dikatakan kesan berantai antara tabungan dan inflasi. Dan ini juga adalah tahap keseimbangan yang diperlukan dalam satu-satu situasi ekonomi. Keseimbangan dicapai apabila jumlah yang pengguna minta atau ingin beli itu sama dengan jumlah yang mampu dikeluarkan dan dijual oleh peniaga, maka inflasi dapat dielakkan atau dikurangkan.
Sebenarnya Kadar Tabungan Negara bukan hanya melibatkan tabungan individu sahaja. Apabila dipanggil Kadar Tabungan Negara ia sebenarnya adalah meliputi tabungan individu dan orang ramai; perniagaan atau firma dan juga tabungan kerajaan.
Biasanya Jabatan Perangkaan akan mengeluarkan data tentang Kadar Tabungan Negara ini. Ia akan dikeluarkan dalam bentuk peratusan. Contohnya jika dinyatakan bahawa Kadar Tabungan Negara ialah 30 peratus, ini bermakna rakyat Malaysia secara purata menyimpan 30 peratus daripada pendapatan mereka.
Tapi selalunya peratusan ini akan dibuat dengan membandingkan antara jumlah tabungan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Data tentang tabungan negara
Mengikut data terkini dikeluarkan oleh Bank Dunia, pada tahun 2018 Tabungan Negara Malaysia berbanding KDNK ialah 26.171 peratus. Antara negara lain yang mempunyai kadar tabungan tinggi ialah Brunei (54%), Singapura (43 %) dan Sudan (44%).
Tapi harus diingat, jika rakyat terlalu menyimpan dan kurang berbelanja juga boleh merosakkan ekonomi. Yang penting harus seimbang.
Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bilangan 2618 pada 22 Januari 2021 |