Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah As-Saff: Siri 4)

720
SHARE

📓📓 Tadabbur Al Quran 📓📓
Surah As-Saff: Siri 4

Ayat 5: Peringatan Tentang Kisah Nabi Musa AS Bersama Bani Israel

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوۡمِهِۦ یَـٰقَوۡمِ لِمَ تُؤۡذُونَنِی وَقَد تَّعۡلَمُونَ أَنِّی رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَیۡكُمۡۖ فَلَمَّا زَاغُوۤا۟ أَزَاغَ ٱللَّهُ قُلُوبَهُمۡۚ وَٱللَّهُ لَا یَهۡدِی ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَـٰسِقِینَ (٥)

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: ” Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakitiku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu?” Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah memalingkan hati mereka (daripada mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

📖 Tafsir ringkas:

1. Setelah menyatakan bahawa Allah SWT menyukai orang yang berjuang di jalanNya dalam satu barisan yang kukuh, Dia memberikan contoh sebagaimana yang berlaku kepada Bani Israel yang enggan menyahut seruan yang disampaikan oleh Nabi Musa AS.

2. Kaum Bani Israel tetap membuat perkara yang menyakiti hati Nabi Musa walaupun mereka tahu baginda itu seorang Rasul utusan Allah. Mereka berani mempermainkan seruan dan tergamak menghina peribadi baginda. Contohnya apabila disampaikan perintah Allah supaya menyembelih seekor lembu, mereka segera mempersoalkannya. Lalu disusuli dengan pelbagai soalan bertujuan meremehkan perintah itu. Begitu juga apabila menerima perintah memasuki Palestin untuk memerangi musuh Allah SWT mereka turut membiarkan Nabi Musa AS berjuang dengan golongan yang sedikit dan banyak lagi contoh yang lain.

3. Dengan sikap yang mereka tunjukkan di mana mereka terlebih dahulu enggan menerima kebenaran walaupun sudah banyak bukti, mukjizat dan bantuan serta kesenangan yang diterima, Allah SWT menutup hati mereka sehingga tidak lagi dapat membezakan antara kebenaran dan kesesatan.

🎀 Pengajaran:

1. Meneliti kisah-kisah Bani Israel, kita perlu menginsafi bahawa sikap mereka mungkin sahaja mewakili sikap yang ada pada manusia umumnya. Pertama kita perlu menilik, adakah diri kita juga begitu. Lalu kita mesti segera berdoa agar Allah menyelamatkan kita daripada sikap seumpama itu.

2. Pelajaran adab amat penting diberi perhatian, diperbaiki dan diperbaharui sesuai dengan masa dan massa. Ibu-bapa, guru dan anggota masyarakat diberi cakna supaya kehidupan beradab dapat dilaksanakan. Contohnya adab bertanya, adab menerima maklumat/ berita dan adab berkomunikasi. Ilmu asas adab ini diharap dapat menyelamatkan kita daripada terjebak dalam perkara memperlekeh kebenaran dan menyebarkan fitnah.

3. Perjuangan Nabi Muhammad SAW disambung oleh umat baginda sehingga berlaku kiamat. Kita hendaklah berusaha untuk bersama menjadi penyokong dan pendokong perjuangan Islam. Dalam masa yang sama menyedari sunnah perjuangan yang benar menerima ejekan, penolakan, fitnah dan penghinaan. Ayat ini mengingatkan kita untuk tetap sabar dan istiqamah dan jangan mengikut jejak langkah Bani Israel.

📚 Rujukan:
Tafsir At-Tibyan

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
22 Januari 2021 / 9 Jamadil Akhir 1442