Home Berita PAS Melaka

Rencana : Media Cetak Hilang Ditelan Teknologi?

2699
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

Baru-baru ini akhbar cetak Suara Keadilan mengumumkan menghentikan operasi. Menurut laporan itu penerbitannya akan berpindah dari medium cetak ke medium dalam talian. Penerbitan terakhir akhbar itu ialah pada 18 Disember lalu bagi edisi ke-432.

Memang sebelum ini akhbar Suara Keadilan mendapat tekanan dari kerajaan lama semasa mereka masih pembangkang. Mereka tidak mendapat permit sehinggakan ia diterbitkan dengan pelbagai nama. Namun sekarang PKR sudah menjadi parti pemerintah. Soal permit sudah pasti tidak menjadi masalah. Namun ia tetap juga terpaksa ditutup.

Mengikut laporan Malaysiakini pada 30 Disember 2019, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menyatakan bahawa hal penutupan operasi itu telah diumumkan pada 7 Disember lalu ketika Kongres Nasional parti berkenaan di Melaka.

Bukan Suara Keadilan sahaja yang menutup operasinya. Sebelum itu beberapa akhbar cetak yang sudah puluhan malah sudah lebih seratus tahun beroperasi juga menerima nasib yang sama. Akhbar harian berbahasa Inggeris, The Malay Mail juga menutup operasi pada Disember tahun lepas setelah bertahan selama 122 tahun. Akhbar ini kini beroperasi secara dalam talian.

Pada Oktober tahun lepas akhbar berbahasa Melayu tertua negara, Utusan Malaysia menamatkan operasi selepas 80 tahun beroperasi. Turut mengalami nasib yang sama akhbar tabloid Utusan iaitu Kosmo!. Akhbar Tamil Nesan pula ditutup pada Februari tahun lepas selepas 94 tahun berada di pasaran.

Sebenarnya industri penerbitan akhbar atau media cetak ini sedang mengalami zaman transisi kesan dari perubahan drastik teknologi.

Penulis teringat perbualan penulis dengan seorang rakan sekitar tahun 2009. Ketika itu penulis membuka sebuah kedai buku. Masa itu kami berdebat tentang akhbar cetak berbanding akhbar dalam talian.

Ia berpunca dari pendapat beliau bahawa penulis melakukan kesilapan kerana membuka kedai buku. Pada pendapat beliau akan sampai masanya orang tidak akan lagi membeli buku cetak. Pada masa itu (tahun 2008) kawan penulis itu berkata yang orang ramai lebih suka membaca akhbar di internet dan tidak membeli akhbar cetak.

Namun penulis katakan pada beliau pada ketika itu bahawa pembaca akan tetap membaca akhbar cetak kerana tidak praktikal untuk mereka membawa komputer riba ke kedai makan semata-mata untuk membaca suratkhabar di internet sambil minum atau melepak. Mereka mungkin lebih sesuai membacanya di rumah atau pejabat. Pada masa itu penggunaan telefon pintar masih belum meluas seperti sekarang.

Tapi akhirnya apa yang dikatakan oleh kawan penulis itu memang menjadi kenyataan. Sekarang kita boleh membaca akhbar di telefon pintar. Di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja. Ia tidak sesukar dahulu di mana kita perlu membawa komputer riba untuk membaca berita di portal-portal berita.

Berbanding akhbar yang bersifat berita, pengguna merasakan bahawa lebih mudah membaca berita secara percuma di internet berbanding dengan terpaksa membeli akhbar setiap hari. Di zaman internet laju ini berita diterima secara masa sebenar berbanding membaca akhbar cetak yang semua beritanya adalah berita semalam.

Sesuatu media cetak bersifat tradisional ini akan masih bertahan selagi pembacanya merasakan masih ada alasan mengapa mereka masih perlu menggunakan cara tradisional ini. Alasan itu samada dari segi mana kos yang lebih rendah; lebih cepat; lebih berkesan; atau keselesaan menggunakan bahan tersebut.

Kita ambil contoh akhbar cetak berbanding akhbar dalam talian. Jika kita bandingkan dari segi kos, untuk membeli akhbar cetak memang lebih tinggi berbanding membacanya secara dalam talian. Juga dari segi kepantasan menerima berita, lebih pantas secara dalam talian berbanding akhbar cetak. Dari segi keselesaan, mana lebih selesa antara membaca akhbar cetak atau akhbar dalam talian itu bergantung kepada masing-masing individu.

Jadi sekiranya tiada alasan untuk pengguna menggunakan akhbar cetak berbanding akhbar dalam talian maka pengguna sendiri secara beransur-ansur akan meninggalkan akhbar bercetak. Proses ini juga berlaku kepada bahan-bahan bercetak yang lain.

Kerana itu dalam pemerhatian penulis, setakat ini majalah masih dilihat bertahan dan tidak begitu teruk ditelan teknologi. Mungkin kerana majalah lebih bersifat berkala dan diterbitkan secara mingguan atau bulanan berbanding dengan akhbar harian yang pengguna terpaksa keluar duit pada setiap hari membelinya.

Selain itu kandungannya yang lebih bersifat rencana yang malar hijau dan bukan bersifat berita membuatkan ia masih diterima. Majalah juga termasuk antara item yang dikumpul dan dijadikan koleksi oleh sesetengah orang. Mungkin faktor item koleksi menjadikannya satu-satu alasan yang tinggal untuk peminat majalah membeli majalah bercetak.

Tapi dalam banyak-banyak perubahan yang berlaku buku masih dapat bertahan dalam bentuk bercetak. Walau pun ada e-book namun buku cetak belum lagi mati. Itu satu kekuatan buku.

Sungguh pun begitu untuk mengatakan buku kalis teknologi juga kurang tepat. Bukan tidak terkesan, ia juga terkesan. Namun apabila pembeli masih mempunyai perasaan suka dan selesa untuk menggunakannya maka ia tetap bertahan dalam pasaran.

Mungkin ramai pembaca buku masih memilih membaca buku cetak kerana kepuasan memegang buku cetak tersebut walau pun buku digital lebih murah. Mungkin sekali pun buku digital lebih murah dan lebih mudah namun kepuasan membaca dengan memegang buku cetak itu menjadi satu-satunya alasan bagi kebanyakkan orang untuk terus membeli buku cetak.

Sungguh pun begitu akan sampai masanya nanti apabila pembaca sudah tiada alasan lagi untuk membaca buku cetak maka pada masa itu buku cetak juga akan pupus.

Sekiranya buku digital benar-benar menggantikan buku cetak pula, yang akan terjejas bukan syarikat penerbit buku, tetapi syarikat percetakan. Penerbit boleh saja mengubah dari cetakan kepada digital.

Apa yang penting sebenarnya ialah setiap sektor mesti bersedia untuk berubah atau diubah kerana teknologi. Ada perubahan yang cepat. Ada yang lambat. Kita tidak dapat mengagak dengan tepat berapa cepat ia akan ditelan teknologi. Namun ia akan tetap juga ditelan teknologi bila sampai waktunya.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Penerangan PAS Melaka merangkap Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah.

(Rencana ini telah disiarkan di Harakah cetak keluaran 31 Januari 2020)