Home Artikel PAS Kelantan

Pakar Perunding Damai Kupas Isu Pemetaan Baharu Dunia

1201
SHARE

oleh Norzana Razaly

Mutakhir, pergolakan dunia kian meruncing akibat percaturan kuasa besar yang ingin melihat perpecahan dan pergaduhan sesama manusia terutamanya umat Islam yang menjadi benteng pertahanan keadilan sejagat.

Sejarah mencatat, Perjanjian Sykes-Picot pada Mei 1916 di antara British dan Perancis, bermulalah usaha kuasa dunia memecah-belahkan negara Islam berdasarkan sempadan geografi dan menyuntik ideologi songsang bertujuan menghalang kesatuan umat Islam demi kelestarian agenda perdana mereka memerintah dunia.

Senario konflik politik dan kemelut ekonomi dunia turut menempias Malaysia. Contoh mudah ialah pergolakan tercetus nun di Amerika Syarikat dan Iran menyebabkan Washington Post melaporkan pasaran harga emas dan minyak di Asia melonjak, manakala saham terus merosot selepas serangan peluru berpandu Iran ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat.

Kesannya harga emas perhiasan 22 karat di Kota Bharu, Kelantan melambung secara mendadak RM10 per gram. Minggu lepas pembeli boleh membeli gelang tangan seberat 20 gram berharga RM3,900 termasuk kos upah, hari ini mereka terpaksa membayar RM4,100 untuk memiliki gelang yang sama berat. Dalam waktu seminggu, pembeli emas di Kelantan kerugian RM200 dek onar pihak lain.

Menyedari kepentingan menyedarkan umat Islam agar memahami dan mengambil iktibar daripada sejarah dan situasi yang melanda dunia ini bukan sahaja memberi kesan kepada dua pihak yang bertelagah itu, sebaliknya turut melibatkan negara lain yang sama sekali tidak berkenaan maka bersempena Sambutan Tiga Dekad Pentadbiran Membangun Bersama Islam, Kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan Syarahan Perdana 2020 di Dewan Besar, Kompleks Islam Darulnaim, Lundang, Kota Bharu pada Rabu, 5 Februari 2020.

Menurut Pengarah Program, YB Dato’ Haji Che Abdullah Mat Nawi, Kerajaan Negeri Kelantan mengundang khas pakar rujuk utama dunia iaitu YB Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang sebagai pembentang tajuk Pemetaan Baharu Dunia: Cabaran Masa Depan Islam.

“Tokoh Islam antarabangsa selaku Ketua Perunding Perdamaian Krisis Perang di Yaman tahun 2010 tersebut bakal mengupas tuntas mengenai masa depan dunia natijah cabaran politik global yang bakal membentuk kerangka fikir dalam minda umat Islam”, katanya.

Sebelum ke acara kemuncak itu, orang ramai dipelawa hadir bermula jam 6.00 petang untuk bersedia menadah ilmu melalui slot Kuliah Maghrib Perdana, penerangan terperinci tentang sebab akibat konflik semasa tersebut turut dikupas tajuk “Fitnah Akhir Zaman” oleh da’ei selebriti, YBhg. Dato’ Hj. Badli Shah Alauddin.- UPKN KELANTAN 4/2/2020

Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2592954494272235