Home Artikel PAS Melaka

Rencana | Manjakan pengikut dengan wang, punca berlaku rasuah.

261
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

TIDAKLAH dinamakan orang politik kalau tidak ada pengikut. Lagi ramai pengikutnya lagi kuat pengaruh seseorang ahli politik itu. Pengikut yang meramaikan apa-apa program yang dianjurkan oleh seseorang ahli politik itu meningkatkan lagi imej dan pengaruhnya di mata orang ramai.

Sebab itulah biasa berlaku kumpulan-kumpulan ala ‘gengster’ yang mempunyai ramai pengikut akan ‘menghimpit’ orang-orang politik dan menawarkan sejumlah pengikut yang mereka ada untuk menyokong orang politik itu.

Sebab itulah biasa berlaku kumpulan-kumpulan ala ‘gengster’ yang mempunyai ramai pengikut akan ‘menghimpit’ orang-orang politik

Tapi semua ini bukan percuma. Mereka perlu ‘disara’ dan ‘dimanja’ dengan wang. Atau sesetengah tempat, habuan wang itu mereka panggil sebagai ‘barang’. “Ada ‘barang’ kerja jalan,” kata mereka.

Biasanya yang berhadapan dengan budaya ini ialah pemimpin-pemimpin parti yang sedang memerintah. Yang mempunyai sumber yang besar. Mereka yang berada di kedudukan pembangkang biasanya tidak ‘dihimpit’ kumpulan ini.

Pembangkang tidak ada sumber dana kerajaan yang boleh mereka nikmati. Nak buat apa mereka himpit orang yang tak ada duit! Umpama seorang lelaki kaya yang didambakan oleh perempuan pisau cukur. Mana ada perempuan pisau cukur kejar lelaki miskin?

Jumlah pengikut yang perlu disara oleh orang-orang politik ini pula bukan sedikit. Bayangkanlah sesetengah ‘balaci’ orang politik ini boleh menjadi pengikut sepenuh masa. Jadi berapa agaknya habuan yang perlu dibayar kepada mereka?

Seseorang wakil rakyat parti kerajaan biasanya memang ada diberi peruntukan untuk menggaji kakitangan-kakitangan pusat khidmat mereka. Tetapi hakikatnya peruntukan rasmi untuk perkara ini tidaklah untuk terlalu ramai. Jadi selain daripada mereka yang mendapat gaji rasmi ini ramai lagi yang akan menjadi kakitangan tidak rasmi kepada orang-orang politik ini yang perlu disara.

Perlu banyak wang sara pengikut

Untuk mengekalkan pengikut yang terlalu ramai yang menjadi pekerja tetap dan ditambah dengan sukarelawan petugas-petugas parti separuh masa yang semuanya juga mahukan habuan untuk setiap kerja parti yang mereka lakukan, maka sudah tentu seseorang ahli politik itu memerlukan wang yang sangat banyak.

Pengikut-pengikut yang ‘bijak’ dan tahu bahawa mereka sangat diperlukan oleh ahli-ahli politik ini pula akan sentiasa ‘demand’ dan menuntut balasan atas sokongan dan bantuan yang diberi mereka itu.

Pengikut-pengikut yang ‘bijak’ dan tahu bahawa mereka sangat diperlukan oleh ahli-ahli politik ini pula akan sentiasa ‘demand’

Apabila setiap kerja dan aktiviti parti sudah menjadi kerja berhabuan maka inilah punca masalah. Bergerak sikit, duit, bergerak sikit, duit. Perlu ada ‘barang’. Tak ada ‘barang’ kerja tak jalan.

Di sinilah bermulanya seorang ahli politik itu mula perlu mencari banyak wang untuk menyara semua pengikut-pengikutnya. Dan lebih mudah pula bagi seseorang ahli politik itu untuk ‘mencari’ dana jika seseorang ahli politik itu adalah wakil rakyat kerana mempunyai akses kepada dana kerajaan.

Kerja sivil dana gelap ahli politik

Antara yang kerap menjadi sasaran sebagai sumber dana gelap kepada ahli-ahli politik pemerintah ialah kerja-kerja sivil yang biasa kita sebut sebagai kerja kontrak pembinaan kerajaan untuk orang ramai. Antaranya pembinaan baharu atau baik pulih longkang, jalan raya, cerun atau bangunan.

Kerja-kerja sivil ini diminati sebagai sumber dana gelap kerana ia sangat bersifat politik. Pengagihannya adalah berdasarkan DUN atau Parlimen dan dengan pemantauan rapat wakil rakyat kerajaan.

Kadangkala kerja-kerja sivil ini bagaikan menjadi satu pendapatan penting kepada parti-parti politik pemerintah di peringkat parlimen, DUN atau cawangan. Sehinggakan berlaku pengagihan kerja-kerja ini secara tak rasmi mengikut parti komponen sekiranya parti pemerintah itu terdiri daripada pelbagai parti. Maknanya sesuatu projek itu telah ditentukan parti mana dan cawangan mana yang akan mengambil manfaat daripadanya.

Selain daripada kerja-kerja sivil ini, kerja-kerja perbekalan juga menjadi sumber gelap kepada ahli-ahli politik. Jalannya juga sama. Tetapi selalunya jumlahnya tidak sebesar kerja sivil.

Cara mendapatkan wang gelap

Ada banyak cara mereka mendapatkan wang gelap daripada sumber ini. Yang pertama ialah dengan memanipulasi proses penganugerahan kerja atau tender agar ia diberi kepada syarikat-syarikat tertentu. Ini berkaitan dengan isu kronisme.

Yang kedua, jika pihak ahli politik itu tidak terlibat dalam menentukan pemenang sebutharga atau tender itu (mungkin kerana sumber bajet daripada jabatan atau kementerian lain) mereka masih boleh meminta sumbangan daripada kontraktor peratusan daripada nilai sesuatu kontrak itu, contohnya lima peratus. Siapa pun yang dapat tender itu mereka akan ‘pau’.

Siapa pun yang dapat tender itu mereka akan ‘pau’.

Biasanya memang kontraktor akan memberi sumbangan ini untuk mengelakkan daripada kerja mereka diganggu. Jika tidak, ahli-ahli politik yang menjadi pengguna akhir kepada projek-projek sivil ini boleh membuat gangguan kepada proses tuntutan pembayaran kepada kontraktor itu nanti daripada jabatan yang mengeluarkan tender atau sebutharga itu. Itu yang ditakuti kontraktor.

Sumber gelap yang ketiga kepada orang politik ialah tuntutan palsu. Ia adalah antara cara orang-orang politik ‘melarikan’ wang kerajaan untuk digunakan sebagai belanja politik mereka.

Mereka akan mengadakan satu pembelian dengan berunding dengan sesebuah syarikat yang sedia ada dan dikenali untuk membuat tuntutan membekalkan barang-barang, namun pembelian itu sebenarnya tidak berlaku. Tiada barang dibekalkan, namun pembekal membuat tuntutan.

Kemudian syarikat pembekal ini pula akan memulangkan wang tunai hasil daripada tuntutan perbekalan itu tadi kepada ahli politik itu dengan mengambil peratusan daripada nilai keseluruhan tuntutan itu sebagai upah. Biasanya sekurang-kurangnya lima peratus daripada nilai perbekalan.

Apa yang penulis nyatakan tadi adalah situasi yang boleh dan ada berlaku kepada parti politik pemerintah. Dan perkara-perkara seperti ini mesti dibanteras kerana ia adalah penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa semata-mata untuk membiayai dan membuncitkan perut ‘balaci-balaci’ ahli politik busuk ini dan tiada faedah yang diperolehi oleh rakyat.

Parti-parti dan ahli-ahli politik yang mendidik dan mengajar penyokong-penyokongnya dengan wang dan habuan ini sebenarnya akan membawa masalah kepada sistem pentadbiran kerajaan.

Parti-parti dan ahli-ahli politik yang mendidik dan mengajar penyokong-penyokongnya dengan wang dan habuan ini sebenarnya akan membawa masalah kepada sistem pentadbiran kerajaan.

PAS kini sudah pun menjadi parti Kerajaan Pusat dan dominan di beberapa negeri. Penulis berdoa semoga pemimpin dan aktivis PAS dilindungi daripada semua aktiviti-aktiviti tidak bermoral ini.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah

Rencana ini juga disiarkan di Komen Editor Harakah cetak bilangan 2626 bertarikh 22 Februari 2021