Home Artikel PAS Wilayah

PAS-PKN Wangsa Maju perkukuhkan kerjasama politik

249
SHARE

Oleh : Muhamad Abdul Fateh

WANGSA MAJU – Pimpinan PAS dan Penggerak Komuniti Negara (PKN) Wangsa Maju mengadakan pertemuan baru-baru ini bagi membincangkan isu-isu berbangkit khususnya melibatkan survival politik dan kepentingan rakyat di Wangsa Maju ini.

Pertemuan itu dihadiri Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Bin Mohamed Daud, Setiausaha PAS Wangsa Maju, Haji Hairul Harun, Ketua Dewan Ulama Wangsa Maju, Ustaz Haji Bakri dan Pengerusi Penggerak Komuniti Negara Wangsa Maju, Encik Abdul Gani.

Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani berkata, pertemuan itu pastinya menggerunkan Pakatan Harapan (PH) Wangsa Maju dan turut memberi tamparan hebat khususnya buat musuh-musuh penyatuan ummah.

“Pertemuan ini menunjukkan jiwa besar pemimpin-pemimpin politik di Wangsa Maju . Keterbukaan ini juga diharapkan dapat menarik perhatian seluruh anak muda di negeri ini yang dilihat masih jauh dari politik untuk terlibat dalam arena ini”, ujarnya.

Mengulas lanjut, Abdul Rani berkata, pemimpin sesebuah parti politik perlu berusaha mencari titik persamaan dalam perbezaan di samping meletakkan kepentingan Islam, ummah dan negara di hadapan.

“Pemimpin politik juga perlu sentiasa mencari ruang dan peluang untuk bermusyawarah atau bersemuka.

“Bina kekuatan atas perbezaan antara kita bagi menghadapi musuh politik yang sentiasa menanti peluang keretakan antara kita,” tegasnya.

Beliau juga berpandangan bahawa Perikatan Nasional (PN) di Wangsa Maju sebelum ini kelihatan agak goyah apabila UMNO-PAS dikatakan hanya memberi komitmen untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang turut dianggotai dua parti orang Melayu terbesar itu.

“Namun demikian, PN dan MN seharusnya dikukuhkan secara bersama selaras aspirasi Presiden PAS agar wadah yang lebih mantap dapat disediakan untuk menghadapi Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15)”, jelasnya.

“Apa maknanya kalau masing-masing gagal berlapang dada dalam menghadapi pilihan raya umum yang dijangka tidak lama lagi. Akhirnya bertanding dalam tiga penjuru dan gagal membentuk kerajaan selepas PRU15 nanti,” tegas Ustaz Bakri, menyokong pandangan Ustaz Abdul Rani.