Home Berita PAS Melaka

Perancangan kewangan Islam | Pelaburan patuh syariah

371
SHARE

 


Bersama perunding anda:

HAWA YAAKUB
Perunding Kewangan Berlesen

DANA-DANA patuh syariah semakin banyak mendapat perhatian di kalangan pelabur, tidak kira yang beragama Islam ataupun bukan.

Tahukah anda apakah itu ‘pelaburan patuh syariah’? Pelaburan patuh syariah adalah pelaburan yang berlandaskan prinsip-prinsip kewangan Islam. Garis panduan bagi pelaburan patuh syariah adalah pelaburan tersebut tidak boleh melibatkan riba, gharar dan maisir.

Riba, gharar dan maisir

Dari segi bahasa, riba bermaksud tambahan atau kenaikan. Secara istilah, ia bermaksud penambahan nilai ke atas sesuatu pinjaman yang disyaratkan oleh pemberi pinjaman atau dijanjikan oleh penerima pinjaman manakala dalam pertukaran sesetengah barangan dan matawang, ia bermaksud perbezaan nilai akibat kuantiti yang berbeza ataupun perbezaan waktu pertukaran.

Maksud gharar pula ialah ketidakpastian. Ketidakpastian dalam transaksi muamalat ialah terdapat sesuatu yang ingin disembunyikan oleh sebelah pihak dan ianya boleh menimbulkan rasa ketidakadilan serta penganiayaan kepada pihak yang lain.

Mazhab Imam Al-Shafie mendefinasikan gharar sebagai satu (akad) yang akibatnya tersembunyi daripada kita atau perkara di antara dua kemungkinan di mana yang paling kerap berlaku ialah yang paling ditakuti.

Maisir dalam bahasa Arab bererti memperoleh sesuatu dengan sangat mudah tanpa kerja keras atau mendapat keuntungan tanpa bekerja. Ia biasa juga disebut sebagai judi. Islam melarang semua bentuk urusniaga di mana keuntungan kewangan diperolehi hanya berdasarkan nasib atau spekulasi dan bukannya dengan usaha gigih untuk mendapatkannya.

memperoleh sesuatu dengan sangat mudah tanpa kerja keras atau mendapat keuntungan tanpa bekerja.

Sumber keuntungan produk haram

Di samping tiga syarat di atas, dana-dana patuh syariah juga memastikan wang anda tidak akan dilaburkan di dalam syarikat-syarikat yang menjana hasil keuntungan daripada perniagaan-perniagaan berasaskan aktiviti atau sumber yang haram seperti alkohol, tembakau, produk berasaskan khinzir, perjudian, ‘hiburan dewasa’, senjata api, perbankan konvensional dan insurans konvensional.

Di samping patuh syariah, garis-garis panduan ini juga membolehkan anda mencapai matlamat kewangan anda secara beretika.

Proses pelaburan patuh syariah dikawal selia sepenuhnya oleh Jawatankuasa Syariah yang terdiri daripada ahli-ahli yang mempunyai kepakaran dalam pelaburan Islam.

Penting juga untuk diperhatikan bahawa pulangan pelaburan daripada dana-dana patuh syariah adalah setara dengan pelaburan konvensional.

Pelaburan patuh syariah juga amat menitikberatkan proses pemilihan syarikat-syarikat yang kukuh, berpotensi mengharungi cabaran pasaran, dan memberikan pulangan yang konsisten dalam jangka masa pendek dan panjang. Ia juga menekankan ketelusan agar pulangan pelaburan sentiasa berada di dalam jangkaan.

Apabila anda memilih pelaburan konvensional, dana-dana yang dilaburkan adalah tidak berlandaskan prinsip-prinsip syariah. Proses pelaburan konvensional hanya disaring dengan garis panduan asas yang hanya menitikberatkan keuntungan tanpa mengambilkira aspek etika ataupun natijah daripada sesuatu pelaburan.

Sebagai contoh, pelaburan yang melibatkan arak, judi dan ‘hiburan dewasa’ lebih menyumbang kepada keruntuhan moral dan sosio-ekonomi masyarakat berbanding keuntungan yang dijana. Pendek kata, hasil yang dijana daripada perniagaan berasaskan aktiviti-aktiviti tidak sihat begini hanya menguntungkan segelintir golongan kaya dan tidak berbaloi jika hendak dibandingkan dengan kerosakan dan mudarat yang dibawanya kepada sebahagian besar masyarakat.

pelaburan yang melibatkan arak, judi dan ‘hiburan dewasa’ lebih menyumbang kepada keruntuhan moral dan sosio-ekonomi masyarakat berbanding keuntungan yang dijana.

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Sekiranya berleluasanya perbuatan zina dan riba dalam sesuatu kawasan, maka mereka telah mengundang azab Allah kepada mereka.” (HR al-Tabrani).

Melaburlah dalam dana-dana patuh syariah untuk mencapai matlamat-matlamat kewangan jangka pendek dan jangka panjang tanpa melanggar batas-batas agama dan etika kemanusiaan. Sesungguhnya Allah SWT telah benjanji akan memberikan jalan keluar daripada segala permasalahan dan memberikan rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka buat orang-orang yang bertakwa.

Firman Allah Taala, maksudnya:

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Talaq: ayat 2 dan 3).

Penulis adalah perunding kewangan berlesen dan ahli Grup Penulis PAS Melaka

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bilangan 2625 bertarikh 19 Februari 2021