Home Berita PAS Melaka

Rencana : LANTIK SENATOR – DUA EXCO KELUAR DEWAN, KM MELAKA TERGAMAM?

894
SHARE

Oleh : IBNU JANIE

Sepanjang pengetahuan penulis belum pernah lagi mana-mana kerajaan negeri gagal dalam usul perlantikan senator mewakili negeri di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka. Itu sepanjang yang penulis tahulah.

Usul yang dibawa Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari bagi mencadangkan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Datuk Abdul Halim Bachik sebagai Ahli Dewan Negara gagal mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

Usul berkenaan yang dibentangkan pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14 di Seri Negeri pada Isnin 25 November lepas hanya meraih 12 undi berbanding 13 yang menolak.

Kegagalan usul berkenaan berikutan tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga Exco negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Datuk Ginie Lim Siew Lin, kedua-duanya dari PKR, bertindak keluar dewan sebelum usul berkenaan dibacakan.

Sementara seorang lagi, iaitu ADUN Gadek dari DAP, G Saminathan tidak hadir kerana masih ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pengganas LTTE.

Bukan itu sahaja, kerajaan Negeri Melaka hampir-hampir mendapat malu berganda apabila ADUN-ADUN BN nyaris-nyaris berjaya melantik Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Datuk Ab Rauf Yusoh sebagai senator mewakili Melaka yang baru.

Namun ia diselamatkan oleh tindakan pantas Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Abazafree Mohd Abbas yang memaklumkan bahawa usul lain tidak boleh dikemukakan berdasarkan Peraturan 17(10) DUN. Dengan itu usul berkenaan tidak diterima Speaker Datuk Wira Omar Jaafar. Kalau tidak, ‘tak fasal-fasal’ kerajaan PH Melaka menghantar pemimpin BN sebagai senator Negeri Melaka.

Nampaknya rakyat sekarang sudah boleh menamatkan langganan Astro. Sebab kalau nak tengok drama, drama yang dibuat oleh wakil-wakil rakyat PH pun sudah cukup menghiburkan. Kalau nak tengok lawak jenaka, lawak-lawak dari menteri-menteri PH pun boleh mengalahkan peserta-peserta Maharajalawak Mega.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam reaksi awalnya terhadap peristiwa ini menyifatkan tindakan dua ADUN dari PKR yang keluar sidang DUN Melaka itu adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

Penulis menghubungi beberapa orang ADUN BN dari kawasan Masjid Tanah untuk mendapatkan kisah sebenar apa yang berlaku di dalam DUN Melaka ini.

Dari maklumat yang penulis dapat dari beberapa orang ADUN BN ini, penulis mendapat gambaran bahawa kemungkinan besar Adly memang tidak dimaklumkan lebih awal tentang apa yang bakal berlaku di dalam DUN Melaka ketika itu.

Kedua-dua Exco Melaka dari PKR itu kemungkinan hanya memaklumkan ketidakhadiran mereka untuk undian usul itu ketika mereka berjalan untuk keluar dari persidangan dewan. Ia hanya beberapa minit sebelum sampai masa usul itu dibentangkan.

Menurut ADUN BN yang penulis hubungi itu, pada ketika itu Adly kelihatan tergamam semasa kedua-dua Exco itu kelihatan bercakap dengannya sebelum keluar meninggalkan dewan. Kerana itulah Adly tidak sempat untuk menarik balik usul tersebut.

Adly bukan bodoh tidak tahu mengira bahawa tanpa dua orang wakil rakyat PKR itu usul kerajaan ini akan ditolak. ADUN kerajaan sekarang tinggal 14 orang sahaja sedangkan ADUN pembangkang ada 13 orang. Jika dua orang ADUN kerajaan tidak mengundi, maka usul itu pasti gagal. Ia hanya satu matematik mudah.

Kerana itu dakwaan bahawa Adly telah maklum lebih awal tentang perkara ini sangat tidak berasas. Penulis percaya jika Adly telah maklum perkara ini dari awal pasti beliau akan menarik balik usul ini sebelum sempat dibentangkan.

Umum mengetahui bahawa Pengerusi MPN Melaka, Datuk Halim Bachik adalah orang Anwar. Tindakan menggagalkan perlantikan beliau sebagai senator ini mungkin merupakan satu amaran kepada fraksi Anwar bahawa mereka boleh bertindak lebih jauh jika tuntutan mereka tidak dilayan.

Betapa mudahnya usul kerajaan ini ditolak hanya dengan dua orang ADUN PH ini tiba-tiba keluar meninggalkan dewan, mungkin menjadi gambaran begitulah mereka boleh lakukan sehingga manpu meruntuhkan kerajaan PH Melaka yang sedia rapuh itu.

Kemudian, pada Rabu 27 November pula, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan kedua-dua Exco Melaka itu iaitu Jailani dan Ginie Lim bersama-sama dengan Halim Bachik bagi mendapatkan penjelasan.

Anwar dalam satu sidang medianya selepas pertemuan itu berkata konflik berkaitan cadangan pelantikan Pengerusi PKR Melaka itu sebagai Ahli Dewan Negara disifatkan sudah ‘selesai’. Namun sejauh mana ia benar-benar selesai masih menjadi persoalan.

Ada juga yang mengatakan bahawa ia tidak sekadar pertempuran antara fraksi Anwar dan fraksi Azmin. Katanya kedudukan Halim sebagai Pengerusi MPN Melaka turut dipertikaikan oleh orang dalam fraksi Anwar sendiri.

Jika ini benar maka perang dalam PKR Melaka ini telah menjadi komplikated. Katanya ada pihak-pihak yang mahukan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memimpin PKR Melaka. Shamsul ketika mengulas isu ini pun ada mengatakan bahawa isu ini bukan disebabkan pertembungan antara fraksi Anwar dan fraksi Azmin.

Melaka sebenarnya menjadi perhatian kerana ia akan menjadi tempat berlangsungnya Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR tidak lama lagi. Kongres yang bakal dirasmikan oleh Dr Wan Azizah ini akan diadakan di MITC Melaka pada 6 Disember ini.

Isu Azmin dinafikan kebiasaannya sebagai perasmi Kongres AMK ini masih panas sehinggakan Ketua AMK PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang dikatakan pro Anwar pada Rabu 27 November lepas terpaksa memohon kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan kawalan pada kongres berkenaan. Kita tengok sajalah apa akan berlaku dalam kongres AMK PKR di MITC Melaka nanti.

Apa yang berlaku ini adalah satu dari untaian siri drama epik pertempuran antara pasukan Anwar dan pasukan Azmin yang menyemakkan kepala rakyat yang sedang berjuang untuk terus hidup. Banyak masalah rakyat tidak dapat diselesaikan kerana perang besar mereka ini. Kalaulah mereka boleh berfikir sesuatu untuk kebaikan rakyat pasti mereka tidak berkelakuan seburuk ini.

Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah, Melaka

(Rencana ini disiarkan dalam Harakah Edisi Isnin, 2-5 Disember 2019 Bil 2503)


Kelolaan Wartawan Rakyat Melaka (WARM)