Home Artikel PAS Melaka

Rencana : MASJID CINA NEGERI MELAKA – LEBIH BERMAKNA JIKA IMAM DAN MUAZZIN DARI CINA MUSLIM

148
SHARE

 

Masjid Cina Melaka

Oleh : IBNU JANIE

Cuti sekolah sudah bermula. Mereka yang berkemampuan pasti sudah merancang untuk melancong ke tempat-tempat menarik samada dalam atau luar negara. Antara destinasi pelancongan dalam negara yang menjadi tempat tumpuan pelancong pastinya negeri kelahiran penulis, Melaka Bandaraya Bersejarah.

Kali ini penulis ingin mengajak pembaca semua untuk mengenali lebih dekat satu daripada lokasi pelancongan menarik di negeri kami ini iaitu Masjid Cina Negeri Melaka yang terletak di Kerubung, Melaka. Masjid ini dibina dengan unsur senibina Cina yang sangat indah dan lain dari yang lain.

Selalunya jika penulis dalam perjalanan dari rumah penulis di Masjid Tanah ke Ayer Keroh melalui lebuh Sungai Udang – Paya Rumput – Ayer Keroh (SPA), memang penulis suka singgah solat apabila tiba waktu solat fardhu di Masjid Cina Negeri Melaka yang terletak di belakang Stadium Hang Jebat ini.

Penulis suka singgah di situ kerana suasana di situ umpama kita sedang melancong. Nak melancong banyak guna duit. Apabila singgah solat di situ rasanya umpama melancong setiap hari.

Masjid Cina Negeri Melaka yang sangat indah ini dibina atas tapak seluas 0.4 hektar dan menelan kos RM7.5 juta. Pembinaan masjid ini bermula pada Oktober 2012 dan siap pada Jun 2014. Masjid yang berwarna merah garang yang tersergam indah umpama istana raja di Negara China ini, memang menjadi antara tarikan pelancong ke Negeri Melaka.

Memanglah sekali pandang bangunan masjid ini umpama sebuah Tokong Buddha. Namun tetap ada ciri-ciri penting yang membezakannya. Soal tentang rekabentuk, ia adalah berkaitan budaya. Sekiranya kita melihat masjid di Negara China begitulah rupanya. Jika kita melihat masjid di India pasti ada pengaruh India pula. Itu biasa.

Sebenarnya pengaruh senibina Cina memang bukan sesuatu yang asing bagi rakyat Negeri Melaka. Telah beratus-ratus tahun masjid di Negeri Melaka ini mempunyai rekabentuk dengan pengaruh senibina Cina.

Masjid Negeri Al Azim juga dibina dengan pengaruh senibina Cina

Jika kita melihat rekabentuk masjid rasmi Negeri Melaka iaitu Masjid Al Azim juga sebenarnya dibina dengan pengaruh senibina Cina. Cuma warnanya sahaja hijau. Jika warnanya merah ia sudah boleh dipanggil ‘masjid Cina’. Memang nampak jelas pengaruh senibina Cina pada Masjid Al Azim.

Rekabentuk Masjid Al Azim yang siap sepenuhnya pada Januari 1990 ini sebenarnya mengikut rekabentuk tradisi kebanyakan masjid lama di Negeri Melaka ini. Seingat penulis semasa penulis masih di sekolah rendah sekitar tahun 80an dulu hampir semua masjid di Negeri Melaka pada waktu itu rekabentuknya ala-ala Masjid Al Azim ini.

Asal-usul rekabentuk masjid-masjid tradisional Melaka yang menjadi inspirasi kepada rekabentuk Masjid Al Azim ini sebenarnya berasal dari Masjid Kampung Hulu Melaka.

Masjid Kampung Hulu, masjid pertama dibina selepas zaman Portugis

Masjid Kampung Hulu dibina di zaman pemerintahan Belanda pada tahun 1728. Masjid ini masih wujud sehingga sekarang di Kampung Hulu di tengah-tengah Bandaraya Melaka.

Masjid ini dipercayai sebagai masjid pertama yang dibina di Melaka selepas jatuhnya Portugis di Melaka. Portugis yang sebelum itu menjajah Melaka dikatakan telah memusnahkan semua masjid yang ada di Melaka ketika itu.

Masjid ini dikatakan dibina dengan pembiayaan seorang saudagar Cina Muslim yang bernama Datuk Shamsuddin Aroon (Harun). Ayahnya, Datuk Aroon lahir di tanah besar China dan kemudiannya memeluk Islam dan menetap di Melaka. Mungkin kerana itu masjid ini memiliki pengaruh senibina Cina.

Mungkin juga disebabkan masjid ini adalah masjid pertama yang dibina semula selepas era Portugis di Melaka, ia telah menjadi model kepada pembinaan masjid-masjid yang lain di dalam Negeri Melaka ini pada waktu itu. Kerana itu masjid di negeri Melaka ketika itu mempunyai rekabentuk yang hampir sama.

Cuma sejak era tahun 90 an sehingga sekarang apabila masjid-masjid lama diubahsuai dan masjid-masjid baru dibina maka rekabentuk lama yang menjadi ‘trademark’ Negeri Melaka ini semakin pupus.

Walau pun rekabentuk Masjid Al Azim mengikut rekabentuk masjid tradisional Melaka, namun ia ada kubah di puncak bumbung piramidnya. Jika kita lihat pada rekabentuk asal masjid tradisional Melaka seperti Masjid Kampung Hulu, ia langsung tidak mempunyai kubah bulat seperti yang kita boleh lihat pada bumbung Masjid Al Azim.

Bentuk bumbung asal masjid tradisi Melaka ini hanya berbentuk piramid bertingkat dengan puncak yang tajam. Dengan penambahan kubah seperti yang kita lihat pada bumbung Masjid Al Azim itu baru nampak sedikit pengaruh senibina Arab yang biasanya terdapat pada binaan masjid.

Sebab itulah penulis katakan yang masjid dengan rekabentuk yang mempunyai pengaruh senibina Cina ini bukan suatu yang asing kepada umat Islam di Negeri Melaka.

Sebelum penulis sempat mengunjungi Masjid Cina Negeri Melaka ini untuk kali pertama selepas ia siap dibina beberapa beberapa tahun lepas, penulis membayangkan yang penulis dapat mendengar laungan azan oleh muazzin dan berimamkan imam Cina Muslim di situ.

Namun sangkaan penulis meleset. Imam, muazzin dan pegawai-pegawai syarak yang bertugas adalah berbangsa Melayu. Malah tidak ada pun antara mereka dari kalangan Cina Muslim. Disebabkan itu, pada pendapat penulis, ia mengurangkan keaslian dan jatidiri masjid ini.

Ramai juga kenalan penulis yang bercakap perkara yang sama. Kebanyakkan yang belum pernah menziarahi masjid ini memang akan beranggapan bahawa imam dan muazzin Masjid Cina Negeri Melaka ini adalah dari kalangan Cina Muslim.

Kerana itu penulis mencadangkan agar pihak kerajaan Negeri Melaka melantik imam dan muazzin dari kalangan Cina Muslim untuk menambahkan keunikan dan keaslian Masjid Cina ini. Ia samalah jika kita pergi ke restoren menjual nasi arab, jika ia dimasak oleh tukang masak berbangsa Arab mungkin ia lebih mempunyai sentuhan sentimental.

Sekali lagi penulis mengajak pembaca semua untuk datang ke negeri penulis sempena cuti sekolah ini melawat ke tempat-tempat menarik di sini terutama Masjid Cina Negeri Melaka ini. Kami rakyat Melaka mengalu-alukan kedatangan anda dan mengucapkan selamat datang.

Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka.

(Rencana ini disiarkan dalam Harakah Edisi Isnin, 2-5 Disember 2019 Bil 2503)


Kelolaan Wartawan Rakyat Melaka (WARM)