Home Berita PAS Melaka

Rencana | Lagu raya nyanyian Sanisah Huri untuk PM

504
SHARE

Oleh IBNU JANIE

PEMBANGKANG dan sekutunya benar-benar kenduri besar sebaik sahaja Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 hanya beberapa hari sebelum umat Islam menyambut hari raya Aidilfitri.

Memang pengumuman PKP ini sesuatu yang tidak popular. Yang dipertikaikan soal pemasaan pengumuman yang dikatakan secara mendadak dan ‘anticlimax’ di saat rakyat mengharapkan mereka dapat pulang ke kampung berhari raya setelah tahun lepas mereka tidak dapat berbuat demikian.

Benarkah kerajaan mengambil keputusan mendadak dengan mengumumkan PKP? Mari kita nilaikan.

Pada 13 April Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di seluruh Sarawak. Esoknya pada 14 April tujuh daerah di Kelantan pula dikuatkuasakan PKP. Pada 22 April pula tiga daerah lagi di Kelantan dikuatkuasakan PKP menjadikan seluruh Kelantan berada dalam PKP.

Pada 27 April seluruh Sarawak dikuatkuasakan PKPB diikuti seluruh Sabah pada 29 April. Pada 30 April pula lima daerah di Kedah dikuatkuasakan PKP.

Dan pada bulan Mei nilai R-naught terus kekal melebihi 1.0 pada kadar purata 1.1. Selain nilai R-naught yang kekal melebihi 1.0 jumlah kes baharu pula makin mencanak-canak.

Daripada 1 sehingga 14 Mei kadar harian mula mencecah pada selang 4000 ke 5000 kes sehari. Sepanjang 14 hari itu terdapat lima hari yang mencatat kes harian pada selang 4000 ke 5000 kes sehari dan enam hari lagi pada selang antara 3000 ke 4000 kes sehari.

Hanya dua hari sahaja kes berada pada selang 2000 ke 3000 kes sehari, itu pun di awal bulan iaitu pada 1 dan 3 Mei. Dan tiada kes harian di bawah 2000 pada sehingga 14 Mei itu.

PKP di beberapa negeri

Bermula 6 Mei pula PKP dilaksanakan di enam daerah di Selangor. Mulai 7 Mei pula seluruh Kuala Lumpur dan tiga daerah di Johor dikenakan PKP manakala PKPB pula dilaksanakan di seluruh Sarawak.

Pada 8 Mei, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan melaksanakan larangan rentas negeri mulai 10 Mei. Pada masa itu PKP belum diumumkan lagi. Dan pada 10 Mei Perdana Menteri mengumumkan PKP dikuatkuasakan di seluruh negara mulai hari itu juga.

Sebenarnya PKP ini bukan dibuat secara mengejut tetapi rakyat sebenarnya sudah dibayangkan tentang kemungkinan ini apabila beberapa negeri sudah dikenakan PKP secara menyeluruh selain banyak negeri turut dikuatkuasakan PKPB.

Tiada siapa boleh menjangka apa akan berlaķu seminggu atau dua minggu lagi. Hakikatnya penularan Covid-19 boleh merebak dalam angka ribuan dalam semalaman sahaja.

Penulis percaya kerajaan pada saat-saat genting itu masih berharap bahawa kadar jangkitan baharu boleh dikurangkan jadi PKP tidak perlu dilakukan. Kerana itu pengumuman dibuat hampir kepada hari raya. Lebih-lebih lagi risiko paling besar boleh berlaku pada hari raya kerana aktiviti kunjung mengunjung.

Pembangkang hasut rakyat marah

Pada fikiran penulis bagus juga apabila PKP dikuatkuasakan lewat. Jika PKP dikuatkuasakan dua minggu sebelum raya contohnya, sudah pasti bazar Aidilfitri terpaksa ditutup jauh lebih awal. Pasti ramai peniaga-peniaga akan marah. Modal mereka bukan sedikit. Boleh mencecah ratusan ribu.

Bayangkan jika mereka marah. Sudah pasti pembangkang akan jadi tukang simbah minyak dan tukang bakar. Bayangkan kemarahan peniaga satu negara yang disambut oleh macai-macai pembangkang. Silap-silap boleh jadi rusuhan.

Pembangkang dan sekutunya memang kerja senang. Mereka dengan mudah menjadi hero menuntut kerajaan memberi itu ini kepada rakyat kerana bukan mereka yang menanggung beban itu.

Ramai yang kata “kalau saya jadi Perdana Menteri saya akan bagi itu dan ini…” Memanglah cakap tak keluar modal. Semua orang boleh cakap. Umpama PH dengan menifestonya dahulu. Sebab masa itu pembangkang.

Bila kerajaan buat mereka ambil kredit sebagaì orang yang memperjuangkan. Bila kerajaan tak mampu buat mereka kata kalau mereka jadi kerajaan mereka lebih baik. Sembang air liur!

Ada juga pemimpin politik yang mengejar populariti yang merayu kerajaan agar kerajaan membenarkan rentas daerah dan negeri sekurang-kurangnya pada 1 Syawal.

Penulis pun pelik dengan cadangan ini seolah-olah Covid-19 tidak akan berjangkit pada 1 Syawal. Namun demi mengejar populariti mereka sanggup membuat cadangan-cadangan dungu seperti ini.

Media-media sosial digunakan sepenuhnya penyokong pembangkang untuk menghasut rakyat. Itu belum lagi mereka yang tak habis-habis menyebarkan berita palsu tentang orang ramai yang didenda puluhan ribu ringgit kerana berziarah di hari raya semata-mata untuk membangkitkan kebencian rakyat kepada kerajaan.

Tapi kita tahu, jauh di sudut hati mereka sangat faham bahawa apa yang dilakukan kerajaan sebenarnya untuk menjaga nyawa rakyat. Cuma nafsu politik mereka untuk mengambil kesempatan dalam kesempitan itu tidak mengenal masa dan ketika. Di saat nyawa rakyat dalam bahaya pun mereka masih berpolitik secara halus mengambil kredit.

Sebenarnya pada situasi sekarang apa-apa pun keputusan yang perlu dibuat oleh kerajaan memang tidak ada yang dapat menyenangkan rakyat seperti sebelum berlakunya Covid-19. Keputusan yang dibuat oleh kerajaan sekarang hanya pilihan antara mudarat dan yang kurang mudarat tetapi ia tetap ada mudarat kerana kita dalam darurat kesihatan.

Jangan ada sesiapa yang mendabik dada kononnya zaman pemerintahan mereka lebih baik berbanding kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang. Ini kerana bencana Covid-19 ini tidak pernah dilalui oleh mana-mana kerajaan pun sebelum ini. Ia bencana yang lebih dahsyat daripada peperangan.

Tak mengapalah. Walau pun segala kesukaran yang dihadapi ini dibalas dengan maki hamun oleh sesetengah rakyat yang termakan hasutan pembangkang dan sekutunya ini, namun kerajaan harus bersabar.

Begitu sukarnya situasi yang dihadapi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia. Lalu penulis teringat bait-bait dalam lagu raya nyanyian Sanisah Huri yang bertajuk Bersabarlah Sayang….

Pada mereka yang tak mengerti…
Menuduh dirimu di jurang kesalahan saja…
Ku tak sampai hati, biarkan engkau sendiri…
Tetapi diriku dan juga temanmu…
Yang tahu kisah derita dan luka di dada…
Hanya ku harapkan kau harus bersabar…
Dan bertenang selalu…

Penulis adalah Ketua Editor CPP-Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Ketua Unit Berita dan WARM, Jabatan Penerangan PAS Melaka.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah (cetak) pada 21 Mei 2021 bilangan 2649

Video lagu Sanisah Huri – Bersabarlah Sayang ihsan Youtube

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .