Home Berita PAS Melaka

Bantu Palestin, jangan peduli suara sumbang | Abu Naufal

161
SHARE

Oleh ZUL SHAM MAHAT

MASJID TANAH, 21 Mei : Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Abu Naufal Samsudin menyelar pihak yang mempersoalkan ketelusan PAS membuat pungutan derma untuk membantu rakyat Palestin.

Menurut beliau lagi, tugas ahli dan pendukung PAS adalah untuk menjelaskan dan membetulkan salah faham yang berlaku.

“Kerja kita terus jalan tanpa pedulikan suara-suara sumbang yang hanya pandai komen tanpa ada usaha dan pengorbanan. Selagi kerja yang dilakukan tidak menyalahi syarak dan undang-undang negara, kita teruskan gerak kerja.

“Dan usaha kita dengan sehabis baik bagi membantu saudara-saudara kita yang tertindas baik di negara Palestin mahu pun mana-mana sahaja negara yang tertindas,” ujar beliau kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM) ketika dihubungi semalam.

Malah beliau turut membidas sesetengah pihak yang tidak ambil peduli malah memperlekehkan usaha kerajaan membantu rakyat Palestin.

“Usaha kerajaan dalam memberikan bantuan dan bersuara lantang dalam isu ini tetap kita terus akan sokong. Rakyat Malaysia dalam masa yang sama bijak menilai mana kaca dan permata dalam isu ini.

“Kita akan jelas lihat golongan mana yang akan pandang sinis terhadap usaha mulia yang kita sama-sama buat demi membantu saudara kita yang tertindas.

“Insya-Allah hal ini secara tidak langsung boleh membuka mata rakyat pemimpin mana yang mereka harus dukung kelak,” ujar beliau.

Apabila ditanya tentang pandangan beliau terhadap peranan PAS dalam mendepani isu Palestin yang sekian lama berpanjangan beliau menjelaskan bahawa pada masa ini PAS telah menyatukan sebahagian besar NGO yang bersimpati dengan isu Palestin ini.

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

“Peranan PAS seperti yang digerakkan sekarang melalui kempen Aid4Palestine adalah dengan memberikan penerangan dan juga menyatukan pelbagai NGO dan NGI dalam negara Malaysia bagi mengumpul sejumlah dana bagi membantu rakyat Palestin dan bagi keperluan perubatan, makanan dan apa sahaja keperluan mendesak bagi keperluan rakyat Palestin yang tertindas.

“PAS juga menjalankan peranan sebagai sebahagian daripada kerajaan yang memerintah dengan menyampaikan suara di peringkat antarabangsa dalam platform OIC dan lain-lain,” kata Ustaz Abu Naufal.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah itu menambah bahawa sebagai rakyat Malaysia perlu ada sensitiviti dan ambil peduli tentang isu Palestin ini.

“Peranan kita sebagai rakyat Malaysia, kita ambil peduli berkenaan isu ini dan menyebar luaskan maklumat dan berita yang sahih dan tepat berkenaan isu ini kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama, ras bangsa dan fahaman politik.

“Penindasan yang dilakukan oleh regim Zionis ini perlu dikecam dengan apa sahaja cara yang kita mampu seperti membuat tekanan ekonomi dengan tindakan memboikot dan juga membuat komen terus di media sosial milik mereka dan rakan sekutu Zionis Israel,” ujar beliau.

Sementara itu beliau sangat bersetuju sekiranya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar pasukan pengaman dan juga meminta Malaysia menghantar tentera pengaman di sana.

“Paling tidak kita boleh gerakan badan dunia ini memainkan peranan daripada membiarkan Zionis Israel terus menindas rakyat dan umat Islam Palestin tanpa belas kasihan,” ujar beliau.

Mengakhiri bual bicara, beliau meletakan harapan yang besar dalam isu Palestin ini dan mengharapkan sokongan padu yang berterusan dari semua pihak.

“Besar harapan saya dan sahabat-sahabat dalam Dewan Pemuda PAS di Negeri Melaka agar kerajaan negeri Melaka bersama-sama dengan kerajaan di peringkat Pusat tetap terus teguh berdiri dengan penegasan kukuh tidak berdiam diri dalam hal ini untuk terus bersuara di peringkat antarabangsa.

“Juga sama-sama kita gerakkan rakyat agar terus menyalurkan bantuan kewangan dan terus berdoa dalam setiap kali ibadah mereka untuk sama-sama mendoakan keselamatan negara kita daripada wabak penyakit Covid 19 yang semakin mengganas.

“Dan juga berdoa agar Allah swt memberikan keselamatan bagi rakyat Palestin dan menghancurkan usaha jahat yang dilakukan Zionis Israel,” ujar Abu Naufal.

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .