Home Berita PAS Melaka

Rencana : KERAJAAN DOMINASI MUSLIM CARA TANGANI CAUVINIS KAUM

630
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

Akhir-akhir ini penulis berasa agak rimas dan lemas dengan isu-isu berkaitan dengan kaum yang semakin membahang di Malaysia ini. Pada pendapat penulis situasi sosiopolitik dan masyarakat di Malaysia ini sebenarnya memerlukan satu pembetulan besar-besaran dan tuntas agar ia tidak melarat.

Isu bantahan silibus tulisan jawi oleh Dong Jiou Zong, usaha menghidupkan komunis, desakan mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan dan beberapa isu lagi telah membuktikan bahawa cauvinis kaum ini semakin mengada-ngada dan naik kepala dengan tuntutan tidak munasabah mereka.

Diratib juga kononnya mereka dianggap sebagai masyarakat kelas kedua sebagai satu taktik menagih simpati. Bagaimana satu kaum yang mendakwa mereka rakyat kelas kedua tetapi menguasai ekonomi dan menjadi kaum yang mempunyai purata pendapatan perkapita tertinggi di negara ini?

Terus terang penulis cakap bahawa segala kecelaruan ini adalah berpunca dari ahli-ahli politik oportunis di kalangan orang Melayu Pakatan Harapan (PH) sendiri yang tidak berprinsip yang kerap menjadi penyokong kepada pihak-pihak cauvinis kaum ini dalam menyuarakan tuntutan-tuntutan tidak munasabah mereka.

Bagi kumpulan cauvinis ekstrem dari kalangan bukan Melayu ini mereka tidak akan pernah puas dengan apa pun yang dikorbankan oleh bangsa Melayu. Jika kita bagi jawatan menteri, mereka mahu pula lebih kuantiti koata menteri. Jika kita bagi lebih kuantiti koata menteri mereka mahu pula jadi majoriti. Lama-lama mereka tuntut pula untuk jadi Perdana Menteri.

Realitinya bukan semua orang Cina dan India yang cauvinis. Masih ramai lagi antara mereka yang rasional dan faham situasi. Mereka yang tidak cauvinis ini menghargai betapa hakikatnya orang Melayu telah banyak mengorbankan hak mereka agar semua bangsa dalam Malaysia dapat hidup bersama-sama.

Rakan-rakan kita dalam Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP) seperti Mr Kong Tuck Wah, Jeffri Chua, Harii Khana dan lain-lain sentiasa rasional dalam pendapat dan pandangan mereka mereka dalam isu berkaitan kaum ini. Penulis ikuti facebook mereka dan membaca ulasan-ulasan mereka.

Juga beberapa orang tokoh seperti Prof Dr Teo Kok Seong dari UKM dan Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah sentiasa memberikan pandangan dan komen yang rasional walau pun mereka juga Cina.

Sebenarnya ramai ahli politik Cina dan India yang terikat untuk menyokong sesuatu isu ekstrem hanya kerana survival politik mereka. Dalam isu tulisan jawi contohnya mereka tahu bahawa ia sebenarnya ia bukan masalah mereka akan terdorong untuk masuk Islam bila belajar jawi. Tapi mereka tidak berani untuk melawan arus dengan apa yang sedang dibisingkan oleh bangsa mereka walau pun mereka faham ia tidak rasional.

Cara yang terbaik untuk menghadapi situasi ini ialah dengan pemimpin PAS dan UMNO perlu membawa Muafakat Nasional ke arah pembentukan kerajaan dominasi Muslim tanpa rasa takut dan malu serta apologetik. Ini sahaja cara terbaik untuk kita tangani dan juga cara kita tangan-tangankan golongan cauvinis ekstrim ini.

Namun ramai yang berpendapat bahawa tidak mungkin kerajaan persekutuan mampu dibentuk hanya dari kalangan orang Islam sahaja. Hakikatnya mereka yang berkata demikian adalah mereka yang bercakap tanpa fakta. Penulis tunjukkan fakta.

Berdasarkan persempadanan pilihanraya bagi PRU14, sebenarnya terdapat 117 dari 165 kawasan parlimen di semenanjung Malaysia yang merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu melebihi 50 peratus. Itu baru di semenanjung Malaysia sahaja, belum masuk lagi kawasan parlimen majoriti bumiputera di Sabah dan Sarawak. Itu pun jika PH tidak meminda sempadan pilihanraya.

Sekiranya Muafakat Nasional memberi tumpuan yang lebih kepada 117 kawasan ini dan berjaya memenangi semua kawasan ini maka kita akan dapat membentuk sebuah kerajaan dominasi Muslim dengan majoriti mudah sekurang-kurangnya 112 kerusi dari keseluruhan 222 kerusi parlimen. Sekiranya ada sedikit kekurangan ia pasti boleh ditampung dengan kerusi dari Sabah dan Sarawak.

Pembentukan kerajaan dominasi Muslim ini bukan untuk menindas atau menganiaya orang bukan Muslim tetapi untuk membetulkan semula sistem sosial masyarakat. Namun kerajaan dominasi Muslim bukan bermaksud kerajaan dengan 100 peratus menteri Muslim.

Kerajaan dominasi Muslim bermaksud ia majoriti Muslim tetapi tetap ada wakil bukan Islam. Sekali pun kita mampu membentuk kabinet 100 peratus Muslim namun kita tidak wajar dan tidak akan buat begitu. Sekiranya tidak ramai wakil rakyat non muslim dalam kerajaan Muafakat Nasional itu nanti perlu dilantik menteri-menteri non Muslim dengan melantik mereka sebagai senator dahulu.

Ketika itu nanti keadilan akan ditegakkan dengan keadilan yang sebenar, bukan dengan kesaksamaan. Apa yang orang non Muslim berhak maka hak itu harus diberikan kepada mereka dengan had tertentu.

Kerajaan dominasi Muslim yang bakal diwujudkan ini mesti menghentikan apa sahaja usaha atau perjuangan untuk mengurangkan hak orang Islam dan Melayu. Hentikan segala tuntutan melampau puak-puak cauvinis ini.

Apabila kita dapat menubuhkan kerajaan dominasi Muslim nanti semua orang miskin harus dibantu tidak kira mereka Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dan lain-lain. Bagi pada mereka bantuan untuk perniagaan kecil agar mereka dapat mencari rezeki. Tunjukkan pada mereka wajah sebenar keadilan Islam.

Namun, beberapa keistimewaan untuk orang Islam akan kekal sebagai keistimewaan. Hak untuk majoriti di dalam kabinet dan memegang jawatan-jawatan strategik dalam kerajaan harus dipertahankan. Hak untuk bumiputera dalam tender-tender kerajaan juga harus kekal. Begitu juga koata kakitangan awam untuk bumiputera.

Bagi penulis, jika dibandingkan dengan semasa baru merdeka dengan apa yang berlaku sekarang sebenarnya sudah terlalu banyak yang orang Melayu lepaskan demi melayan tuntutan-tuntutan cauvinis dari kalangan bukan Melayu. Reformasi yang ingin kita lakukan bukan untuk menarik balik apa yang mereka sudah dapat, tetapi untuk memberitahu ‘cukup-cukuplah”.

Dan Muafakat Nasional seharusnya tegas untuk tidak melayan tuntutan golongan cauvinis ini. Jangan terikut-ikut dengan PH melayani mereka ini demi mendapatkan sokongan. Nanti mereka pijak kepala kita. Masyarakat Malaysia seharusnya diberikan ubat yang pahit supaya hayatnya lebih panjang. Bukan dengan menawarkan gula-gula yang akhirnya memusnahkan.

Orang Melayu dan Islam pula tidak ada pilihan atau ‘no choice’ (mengambil kata-kata Abang Mat Sabu semasa PRK Tanjung Piai) melainkan mereka kena undi Muafakat Nasional PAS-UMNO dalam pilihanraya yang akan datang

Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka