Home Artikel PAS Pusat

Biasiswa Zulkifli Mohamad

281
SHARE


ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS 2020

Siri 1

Oleh Mohd Fadli Ghani
https://m.facebook.com/mohdfadlighani

BIASISWA ZULKIFLI MOHAMAD


SALAH satu keprihatinan besar ialah pendidikan generasi baru. Sebaik sahaja PAS berjaya menguasai kerajaan Kelantan dalam Pilihan Raya Umum 1959, antara tumpuan pertama yang diberikan ialah menggiatkan program dakwah dan penerangan agama, memajukan sekolah agama rakyat dan mewujudkan biasiswa pelajaran. Melalui kerajaan, PAS berjaya menubuhkan Jemaah Biasiswa Pelajaran Ugama dan Biasiswa Pelajaran Rendah Negeri, kedua-duanya dalam tahun 1961. Kerajaan PAS Kelantan adalah kerajaan negeri yang pertama mewujudkan biasiswa pelajaran agama di Persekutuan Tanah Melayu ketika itu, yang bertujuan membiayai pelajar-pelajar agama di sekolah dan universiti, sama ada dalam atau luar negeri.

Tokoh utama yang memainkan peranan dalam penubuhan Jemaah-jemaah Biasiswa ini ialah Prof Zulkifli Mohamad, Ahli Parlimen Bachok yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Kerajaan PAS Kelantan ketika itu, telah memainkan peranan untuk mempengaruhi kerajaan supaya memberi tumpuan kepada pendidikan generasi baru, terutama dengan mewujudkan biasiswa-biasiswa bagi membantu para pelajar membiayai pengajian mereka.

Antara langkah terpenting ialah, Prof Zulkifli Mohamad telah mencadangkan penubuhan Jemaah Biasiswa Pelajaran PAS pada 1960 untuk memberi bantuan pelajaran kepada anak-anak ahli PAS yang miskin untuk menyambung pelajaran di dalam dan luar negeri. Biasiswa ini dimulakan dengan dana yang terbentuk daripada sumbangan tetap Menteri Besar Kelantan sebanyak RM500 dan Timbalan Menteri Besar sebanyak RM250 setiap bulan melalui potongan gaji. Ahli-ahli Exco Kerajaan dan wakil-wakil rakyat turut menyumbang secara tetap setiap bulan sehingga ia membentuk kumpulan wang yang besar. Sejak zaman Datuk Haji Ishak Lotfi Omar (1959-1964) hal ini berlangsung sehingga zaman Datuk Mohd Asri Haji Muda (1964-1972).

Hasil dari dana kumpulan wang Biasiswa Pelajaran PAS ini, para pelajar dari Kelantan yang belajar di luar negeri telah mendapat pembiayaan, termasuklah Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, 1990-2004) dan Dato’ Haji Daud Muhammad, bekas Qadhi Besar Kelantan yang juga penerima Tokoh Maal Hijrah 1441. Sejumlah tokoh lain yang menerima pembiayaan untuk belajar di Mesir, Asia Barat dan Indonesia telah berkhidmat dalam pelbagai bidang, selain turut menjadi pimpinan PAS pelbagai peringkat. Setelah ia diserap sebagai biasiswa kerajaan pada 1968, biasiswa ini tidak lagi mengira bangsa, sehingga bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Dr Ng Yen Yen yang berasal dari Kubang Pasu, Kota Bharu juga turut menerimanya bagi mendapatkan ijazah perubatan di Universiti Malaya pada 1972.

Setelah kematian Prof Zulkifli Mohamad dalam satu kemalangan jalan raya pada 6 Mei 1964, PAS Kelantan telah bersetuju menamakan Biasiswa Pelajaran PAS sebagai Biasiswa Zulkifli Mohamad. Pada 1968, biasiswa ini telah diserapkan kepada kerajaan Kelantan melalui satu enakmen yang membolehkan ia dikenali sebagai Kumpulan Wang Biasiswa Zulkifli Mohamad. Kumpulan wang biasiswa ini kekal sehingga 1974, apabila kerajaan Kelantan menyatukan semua biasiswa Kelantan di bawah Yayasan Kelantan. Sejak itu, Biasiswa Zulkifli Mohamad telah diserapkan di bawah yayasan tersebut, dan tiada lagi sebutan Biasiswa Zulkifli Mohamad.

MOHD FADLI GHANI
Ketua Lajnah Sejarah dan Arkib, Sidang as-Sabiqun PAS Pusat
5 Rabiul Awal 1441
1 Januari 2020