Home Berita PAS Melaka

Rencana | Keputusan SPM : Jangan bersedih, terobos potensi 9 kecerdikan

417
SHARE

 

Multiple Intelligence (Kredit foto : Google)

Oleh IBNU JANIE

BARU-BARU ini keputusan SPM bagi perperiksaan tahun 2020 telah diumumkan. Ada yang berjaya, ada yang suam-suam kuku dan ada yang tidak memuaskan. Itu biasa.

Bagi yang mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan pula jangan bersedih. Sebenarnya ini bukan pengakhiran hidup anda.

Sebenarnya apa yang menjadi kebimbangan penulis ialah ramai di antara remaja-remaja ini yang meletakkan diri mereka di tempat yang salah dan akhirnya mereka terperangkap dan tersudut di situ menunggu mati tidak boleh berbuat apa-apa.

Maksud penulis, sebenarnya keputusan akademik seperti SPM bukanlah segala-galanya dan masuk universiti juga bukan segala-galanya. Ada banyak lagi jalan lain yang boleh dilalui oleh lepasan-lepasan SPM ini untuk berjaya dalam hidup.

Apa itu teori pelbagai kecerdikan?

Ia adalah satu teori yang diperkenalkan oleh Dr Howard Gardner dari Universiti Harvard yang dipanggil ‘Teori Pelbagai Kecerdikan’. Teori ini mengiktiraf sembilan jenis kecerdikan manusia yang tidak hanya atas dasar pencapaian akademik semata-mata.

Kecerdikan pertama menurut Gardner ialah kecerdikan visual dan ruang. Kedua ialah kecerdikan kinestetik tubuh. Ketiga ialah kecerdikan muzikal iaitu kepekaan terhadap ritma, melodi atau kelangsingan suatu hasil muzik.

Keempat ialah kecerdikan liguistik atau bijak kata-kata. Kelima ialah kecerdikan matematik dan logik. Keenam ialah kecerdikan interpersonal iaitu kebolehan untuk memahami orang sekeliling dan hubungan sesama manusia.

Kecerdikan ketujuh ialah kecerdikan intrapersonal iaitu kebolehan untuk refleksi diri sendiri dan sedar akan sifat dalaman diri. Kelapan ialah kecerdikan naturalistik iaitu kebolehan untuk memahami dan berinteraksi dengan alam sekitar.

Dan kecerdikan kesembilan ialah ‘kecerdikan existential dan spiritual’ iaitu berkaitan dengan kemampuan untuk memikirkan tentang kewujudan manusia, erti hidup, mengapa kita ada di dunia ini dan ke mana kita akan pergi selepas kematian.

Gardner mula mempopularkan teorinya ini bermula dengan tujuh kecerdikan pada tahun 1983. Beliau kemudian
menambah lagi senarai pelbagai kecerdikannya sehingga menjadi sembilan kecerdikan pada tahun 1999.

Dr Howard Gardner (Kredit foto : Google)

Satu perkara yang sering menjadi punca masalah ialah apabila semua orang bertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata sebagai tanda kejayaan. Mereka yang gagal dalam SPM dianggap gagal segala-galanya.

Lalu semua pelajar-pelajar ini berpusu-pusu untuk berebut mengejar akademik sedangkan kekuatan sesetengah mereka sebenarnya pada bidang bukan akademik. Ia semata-mata untuk menggolongkan diri mereka dalam kelompok ‘orang pandai’.

Namun jangan disalahertikan dengan apa yang ingin disampaikan oleh penulis. Bukan untuk menggalakkan supaya pelajar-pelajar berhenti sekolah dan menerokai bidang bukan akademik. Bukan begitu.

Setiap kita sebenarnya tidak tahu di mana kekuatan sebenar kita. Jadi di peringkat pendidikan ini kita harus melalui semua proses ini. Kemudian baru kita tahu kekuatan kita di mana.

Sekolah juga sebenarnya satu tempat untuk seseorang itu menguji kemampuan dan kecenderungan mereka sama ada bidang akademik atau pun bidang bukan akademik.

Penulis percaya di sekolah juga ada aktiviti sukan, kesenian, lakonan, nyanyian, melukis, memasak dan lain-lain aktiviti yang membolehkan seseorang pelajar mengenalpasti bakat mereka. Asah bakat di sekolah.

Sebaik selesai sekolah maka seseorang pelajar itu sepatutnya sudah dapat mengenal laluan kedua mereka lebih-lebih lagi jika mereka tidak cemerlang dalam bidang akademik.

Seseorang yang mempunyai potensi yang bersifat bukan akademik tetapi masih bersibuk-sibuk di bidang akademik umpama seorang pemain golf yang sibuk bermain golf di gelanggang squasy.

Jadi seseorang itu harus memilih gelanggang yang sesuai dengan permainan yang mereka mahir mainkan. Barulah potensi mereka boleh digilap hingga bercahaya.

Stigma ‘orang pandai’

Seseorang penulis lirik atau pencipta lagu yang boleh menghasilkan sebuah lagu yang menarik dan popular tetapi mempunyai latarbelakang akademik yang rendah masih tidak tergolong sebagai ‘orang pandai’ mengikut fahaman biasa.

Namun hakikatnya mereka sebenarnya memiliki kecerdikan muzikal dan kecerdikan liguistik. Memang mereka tidak cerdik dalam bidang fizik seperti seseorang ahli fizik dan tidak boleh menyelesaikan masalah fizik.

Namun seorang ahli fizik yang sangat bijak pula belum tentu boleh menghasilkan lagu yang menarik seperti pencipta lagu itu. Jadi kedua-duanya cerdik pada bidang masing-masing.

Seorang chef yang mampu memasak satu masakan yang enak juga seorang yang cerdik. Mereka sangat mengenali bahan-bahan dalam masakan, rasa bahan-bahan itu dan fungsinya. Ini termasuk dalam kecerdikan naturalistik iaitu kebolehan untuk memahami dan berinteraksi dengan alam sekitar.

Semasa menonton rancangan Masterchef yang popular satu ketika dahulu kita boleh melihat bagaimana chef-chef profesional yang mampu meneka bahan apa yang ada dalam masakan itu hanya dengan merasanya. Bukan semua orang mampu melakukannya.

Sebenarnya punca mereka mempunyai kelebihan dalam bidang bukan akademik tetapi masih mengejar bidang akademik yang sukar untuk dikuasai adalah kerana stigma dan definisi ‘orang pandai’ di dalam masyarakat mestilah cemerlang SPM dan dapat ijazah di universiti semata-mata.

Yang lebih teruk lagi sesetengah mereka yang tidak menyedari potensi mereka lalu mereka meneruskan dalam bidang akademik yang hanya paras-paras cukup makan dan meneruskan hidup dengan sederhana.

Mungkin mereka sebenarnya mempunyai kebolehan menjadi seorang chef yang terkenal atau boleh jadi kaya raya dengan membuka restoren mewah. Namun kerana tidak dapat mengesan bakat dan kebolehan mereka dari awal menyebabkan mereka menjadi orang biasa-biasa sahaja.

Seorang rakan penulis semasa lepas SPM dulu antara yang mendapat keputusan cemerlang. Tapi beliau sangat berminat dengan sukan dan mahu memohon Ijazah Sains Sukan. Kebolehan sukan juga diiktiraf oleh Gardner sebagai ‘kecerdikan kinestetik tubuh’.

Namun ia dihalang oleh keluarganya kerana mereka mahu rakan penulis itu menceburi bidang lain yang ‘tinggi’ tarafnya.

Mungkin juga kerana ‘stigma’ sukan itu tidak menggambarkan status akademik walau pun hakikatnya dia sedang memohon satu kursus ijazah, bukannya dia tidak mahu masuk universiti untuk menjadi ahli sukan.

Namun itu realiti masyarakat kita yang menganggap mereka yang menceburi bidang bukan akademik ini walau bagaimana berjaya sekali pun mereka tetap tidak tergolong dalam golongan ‘orang pandai’.

Selain daripada peranan pelajar itu sendiri, keluarga sebenarnya juga harus membantu, membimbing dan menyokong bidang-bidang bukan akademik yang ingin diceburi pelajar lepasan SPM ini dan tidak memandang rendah bidang bukan akademik ini.

Bantu anak-anak membina masa depan melalui kekuatan yang ada pada mereka. Dan jangan bunuh bakat mereka.

Penulis adalah Ketua Unit Berita dan WARM Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Editor Berita PAS Jabatan Penerangan PAS Pusat.

Dr Howard Gardner (Kredit foto : Google)

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 2 Julai 2021.