Home Berita PAS Melaka

Rencana | Kenaikan harga minyaķ sawit, apa solusinya? (Bahagian akhir)

31
SHARE

Oleh IBNU JANIE

DALAM bahagian 2 siri rencana ini yang lepas kita telah membincangkan tentang kemungkinan kerajaan menggunakan kaedah kawalan harga terus dengan penetapan harga maksimum terhadap harga minyak sawit. Namun ia sukar dilakukan kerana kenaikan ini disebabkan oleh kenaikan kos bahan mentah.

Pada kali ini penulis akan membincangkan tentang adakah subsidi juga mampu menjadi jalan penyelesaian yang benar-benar tuntas terhadap masalah kenaikan harga minyak sawit ini? Kalau boleh, bagaimana caranya?

Pada 6 Mei lepas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ketika berucap dalam satu program lawatan kerja beliau ke Melaka menjelaskan bahawa Malaysia mengeluarkan minyak sawit sekitar 20 juta tan setahun. Hanya satu juta tan sahaja yang dijual di dalam negara, selebihnya dieksport ke luar negara.

Menurut beliau lagi, daripada satu juta tan yang dijual di dalam negara itu pula 700 ribu tan adalah minyak yang dipek dalam plastik satu kilogram. Hanya 300 ribu tan sahaja yang dijual tanpa subsidi dalam botol dua dan lima kilogram.

Jadi dengan jumlah itu, sekiranya semua minyak sawit bersubsidi ini dibeli oleh semua 32 juta orang rakyat Malaysia tidak kira B40, M40 atau T20, setiap seorang rakyat Malaysia boleh menikmati 1.8 kilogram minyak sebulan dengan harga subsidi. Namun mengapa masih terdapat isu lagi?

Subsidi minyak masak dihapuskan kerajaan pada 2016

Pada tahun 2016 kerajaan telah menghapuskan subsidi minyak masak. Dan pada masa itulah mulanya kerajaan memperkenalkan minyak masak pek satu kilogram dengan harga subsidi RM2.50 sepeket.

Namun subsidi ini tidak bersasar. Ini telah menyebabkan sesiapa pun walau pun daripada golongan M40 atau T20 boleh membelinya.

Kredit foto : Google

Kaedah ini seperti melepaskan batuk ditangga. Seolah-olah yang penting kerajaan sudah bagi subsidi. Namun golongan miskin dan B40 ini harus berebut dengan golongan M40 dan T20 yang jauh lebih berkemampuan.

Seolah-olah jika golongan B40 ini gagal mendapatkan minyak bersubsidi itu kerana sudah diambil oleh M40 atau T20 maka itu bukan masalah kerajaan. Yang penting kerajaan sudah pun sediakan minyak bersubsidi.

Sebenarnya apa juga konsep subsidi ia harus bersasar kepada kumpulan sasar sahaja. Jika tidak ia akan menjadi satu pembaziran dana yang dimiliki oleh kerajaan.

Jika semua orang susah dan orang senang sama-sama mendapat subsidi maka ia menyebabkan orang senang bertambah senang, tetapi orang susah hanya mendapat sedikit sahaja nikmat bantuan.

Sungguh pun begitu tidak praktikal pula untuk membuat sekatan-sekatan contohnya perlu menunjukkan kad pengenalan untuk membeli minyak sawit bersubsidi atau berdaftar dengan kementerian dan sebagainya.

Ia akan melambatkan proses pembelian dan bukan sahaja menyukarkan pelanggan malah akan menyebabkan peniaga terpaksa menanggung kos lain seperti menambah staf atau mewujudkan ruang khas untuk proses ini. Kenaikan kos ini sudah pasti akan dibebankan semula kepada pengguna oleh para peniaga dengan menaikkan harga barangan lain.

Untuk subsidi bagi produk seperti minyak petrol mungkin ia praktikal kerana kita hanya boleh membeli petrol di stesen-stesen minyak yang semuanya menggunakan sistem komputer. Kita boleh mengeluarkan kad subsidi dan segalanya direkod dan disekat secara terus dan bersepadu dalam sistem komputer. Namun sukar dipraktikkan bagi minyak masak.

Subsidi harus berbeza mengikut peringkat sosioekonomi

Selain itu subsidi untuk minyak masak ini juga harus berperingkat mengikut taraf sosioekonomi rakyat secara lebih spesifik.

Contohnya untuk B40 kita ada empat peringkat iaitu B40-1 dengan pendapatan bawah RM2500; B40-2 dengan pendapatan RM2500 hingga RM3169; B40-3 dengan pendapatan RM3170 hingga RM3969; dan B40-4 dengan pendapatan RM3970 hingga RM4849.

Begitu juga untuk M40 dan T20. Mereka ada pecahan lagi di dalam setiap kategori itu.

Pada penulis setiap kategori harus mendapat kadar subsidi yang berbeza-beza mengikut kategori spesifik mereka. Lebih tinggi taraf hidup seseorang itu lebih rendah subsidi yang mereka patut terima. Subsidi ini akan berakhir pada M40-4 sementara T-20 tidak layak mendapat apa-apa subsidi.

Kerajaan harus menetapkan satu harga maksima yang berbeza untuk setiap kategori bermula daripada bawah. Contohnya harga maksima untuk B40-1 ialah RM2.50; untuk B40-2 ialah RM2.75; untuk B40-3 ialah RM3.00; sementara B40-4 ialah RM3.25. Harga maksima ini akan semakin meningkat dengan peningkatan kategori dan berakhir di M40-4.

Katalah harga minyak sawit di pasaran meningkat kepada RM3.20 ini bermakna ia telah melepasi harga maksima untuk B40-1, B40-2 dan B40-3. Beza harga antara harga pasaran dengan harga maksima setiap kategori adalah jumlah subsidi yang perlu dibayar oleh kerajaan.

Kredit foto : Google

Jadi, jika mengikut contoh ini kerajaan perlu membayar sebanyak RM0.70 kepada B40-1 (RM3.20 tolak RM2.50); sebanyak RM0.45 kepada B40-2 (RM3.20 tolak RM2.75) dan sebanyak RM0.20 kepada B40-3 (RM3.20 tolak RM3.00). Sementara golongan B40-4 dan semua M40 tidak mendapat subsidi kerana harga semasa ini tidak melebihi harga maksima bagi kategori masing-masing.

Bagaimana subsidi ini akan diberikan? Caranya setiap orang akan membeli minyak ini dari pasaran dengan harga semasa pasaran yang sama. Namun mereka akan diberi pulangan dalam bentuk tunai oleh kerajaan berdasarkan beza antara harga maksima bagi kategori mereka dengan harga pasaran tadi.

Namun ada dua perkara yang perlu dilakukan kerajaan untuk melaksanakan kaedah ini.

Yang pertama kerajaan harus menetapkan kuantiti jumlah penggunaan purata seorang rakyat Malaysia terhadap minyak masak ini. Katalah kadar purata setahun penggunaan minyak masak oleh rakyat Malaysia ialah 20 kilogram seorang. Kemudian ia akan mengambilkira jumlah tanggungan seluruh isi rumah sesebuah keluarga.

Subsidi akan dibayar kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang menanggung keluarga itu. Katalah satu keluarga mempunyai empat orang ahli keluarga di dalam tanggungan. Jadi jumlah kuantiti subsidi ialah sebanyak 80 kilogram (20 kilogram darab 4 orang) setahun.

Jadi subsidi yang mereka akan terima bagi B40-1 seperti dengan jumlah isi rumah empat orang seperti contoh tadi ialah sebanyak RM56 setahun (RM0.70 darab 80 kilogram). Sementara bagi B40-2 dengan jumlah keluarga yang sama ialah sebanyak RM36 (RM0.45 x 80 kilogram).

Sementara itu bagi ahli keluarga yang telah bekerja mereka akan terkeluar daripada kelompok keluarga ini dan akan menerima pulangan subsidi dengan kadar seorang secara peribadi.

Sebenarnya tidak sukar untuk melaksanakan kaedah ini kerana jumlah maksimum kuantiti minyak sawit yang akan diberi subsidi sudah ditetapkan, bukan berdasarkan penggunaan sebenar. Namun ia perlu membayangkan dan setara dengan anggaran penggunaan sebenar.

Contohnya, katalah dalam realiti seseorang rakyat Malaysia biasanya menggunakan 30 kilogram minyak setahun tetapi kerajaan pula menetapkan sebanyak 15 kilogram setahun ini tidak wajar. Nilai ini harus berdasarkan kajian yang teliti.

Namun ia tidak akan boleh jadi tepat untuk setiap orang. Mungkin ada orang yang menjaga kesihatan dan kurang menggunakan minyak masak. Tapi ada juga yang memang sangat banyak menggunakan minyak masak. Untuk isu ini kita anggap sebagai kes terpencil dan sukar untuk diambil kira dalam pengiraan.

Perkara kedua yang harus dilakukan kerajaan untuk melaksanakan kaedah ini ialah kerajaan perlu mewujudkan satu aplikasi seperti MySejahtera atau mengubahsuai aplikasi MySejahtera itu sendiri untuk pendaftaran subsidi minyak masak ini oleh orang ramai. Malah sistem ini juga boleh digunakan untuk subsidi-subsidi lain yang sukar diasingkan semasa proses penjualan seperti subsidi tepung gandum dan gula.

Kaedah ini penting bagi membolehkan harga sesuatu barang itu bergerak mengikut keperluan pasaran. Ia juga tidak menyekat pihak-pihak yang sepatutnya mendapat limpahan rahmat peningkatan pendapatan seperti dilema yang sedang dihadapi peneroka dan pekebun kecil sawit sekarang ini.

Kerajaan juga tidak perlu berbelanja terlalu besar untuk subsidi yang turut dinikmati oleh mereka yang sangat berkemampuan. Jumlah yang dapat dijimatkan kerana subsidi yang bersasar ini juga dapat digunakan untuk menambah bantuan kebajikan kepada golongan miskin.

Jika semua jumlah subsidi itu hanya diberi kepada golongan sasar, ini bermakna jumlah purata yang diterima oleh golongan sasar akan jadi lebih besar. Barulah bantuan ini lebih bermakna.

Kerana itu, walau macam mana sekali pun kerajaan harus mewujudkan satu sistem yang teratur bagi memastikan hanya rakyat yang benar-benar layak sahaja yang mendapat subsidi ini.

Pemberian subsidi terus kepada pengeluar dengan menjadikan harga pasaran rendah menjurus kepada aktiviti penipuan. Sebagai contoh, boleh berlaku ada syarikat-syarikat yang membeli minyak masak bersubsidi dan kemudiannya membotolkan minyak ini dengan menjual pada harga biasa.

Selain itu harga siap bersubsidi akan menggalakkan aktiviti penyeludupan minyak masak ke negara-negara jiran yang harga minyak masak mereka lebih mahal.

Walau apa sekali pun, subsidi harus bersasar. Subsidi yang diberi secara umum dan tidak bersasar ini hanyalah umpama kita menghantar sedekah sekampit beras setiap bulan ke rumah seorang jutawan.

Penulis adalah Ketua Unit Berita dan WARM Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Editor Berita PAS Jabatan Penerangan PAS Pusat.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak pada 28 Jun 2021