Home Berita PAS Melaka

Rencana: Keluar zon selesa… Betulkah?

746
SHARE

Oleh: Abu Harith

“SILA keluar dari zon selesa…” Antara ungkapan yang biasa kita dengar bukan.

Apakah yang dimaksudkan dengan zon selesa?

Apakah zon selesa itu tidak bagus?

Zon selesa adalah satu keadaan psikologi di mana perkara-perkara terasa biasa bagi seseorang dan mereka merasa selesa dan merasakan mampu mengendalikan persekitaran mereka, mengalami tahap kegelisahan dan tekanan yang rendah. Di zon ini, tahap prestasi yang mantap adalah mungkin boleh berlaku.

Zon selesa sangat penting untuk berjaya. Keadaan yang selesa sudah pastinya banyak membantu kita untuk lebih gigih dan bersemangat mengatur langkah bagi mencapai sesuatu tujuan. Tidak dinafikan, keselesaan merupakan satu faktor penting.

Tapi, awas!!!

Ramai yang tenggelam dalam zon selesa! Terus lemas! Malas!

Tidak mahu menggarap usaha baru lagi. Cepat berpuas hati dengan apa yang ada. Cukup selesa dengan prestasi semasa. Sedangkan dalam masa yang sama, mereka masih mampu untuk mencipta, mencapai kejayaan yang lebih baik berbanding prestasi sekarang jika usaha diteruskan.

Mereka menentang perubahan. Tidak mahu berubah lagi. Sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu. Rendah keyakinan diri adalah antara tanda-tanda seseorang cukup selesa berada pada zon sekarang.

Ayuh bangkit!!!

“Keluar daripada zon selesa sekarang ini, jika ianya mengikat kita daripada terus mencipta, memiliki kejayaan yang lebih baik berbanding sekarang…”

Kita tidak akan terus selamanya berada di situ. Dunia sentiasa berubah. Siap sedialah untuk diubah jika tidak mahu berubah. Pada waktu itu, pastinya konflik akan memuncak. Penentangan membuak-buak!

Carilah zon mencabar masing-masing. Di sana ada kejayaan lain sedang menunggu kita. Andai usaha masih boleh digandakan dan jalan masih terbuka luas. Tugas kita adalah untuk berusaha sebaiknya, soal hasil kita serahkan kepada Allah SWT sebagai tanda tawakal kita kepada-NYA.

Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud,

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Hendaklah kamu semua berusaha (beramal) kerana Allah akan melihat dan menilai apa yang kamu usahakan.”
-Surah At-Taubah, ayat 105.

Selagi hayat masih dikandung badan, jangan mudah berpuas hati dengan apa yang kita miliki sekarang ini jika peluang masih terbuka luas dan usaha masih belum mencapai tahap yang optimum. Azam dalam diri agar benih-benih kebaikan terus disemai agar kelak membuahkan ganjaran yang banyak untuk dibawa bertemu Allah SWT.

“Cipta jalan, nikmati perubahan, rasai kejayaan…”

“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)”.

-Surah Al-Insyirah, ayat 7

Ayuh!

Kita mencari zon mencabar masing-masing.

Penulis adalah seorang Kaunselor Berdaftar


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)