Home Artikel PAS Melaka

Rencana : Isu Sulit Dan Strategik – Serahkan Pada Kebijaksanaan Pucuk Pimpinan Kita

793
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

Baru-baru ini penulis terbaca satu hantaran di facebook Exco Kerajaan Terengganu, YB Dr Azman Ibrahim yang menyingkap satu sirah Rasulullah S.A.W yang dikaitkan dengan peranan pemimpin sebagai pengatur strategi dan peranan kita sebagai petugas parti yang menjalankan segala arahan dari pimpinan.

Dalam hantaran facebooknya itu Dr Azman menulis :

“Ada ketikanya yang menjadi sasaran tentera Islam ialah musuh yang berada di utara. Tetapi pada siang harinya Rasulullah saw mengarahkan tentera bergerak ke selatan. Para Sahabat patuh dan taat walau mereka sendiri tak tahu ke mana tempat yang nak dituju. Pada malamnya barulah pasukan tentera diarahkan bergerak ke utara menuju ke sasaran sebenar tentera musuh’.

“Sama juga semasa tentera mahu mengadakan operasi menyerang musuh. Mereka tidak akan bagitahu semua maklumat operasi kepada tentera bawahan. Mereka hanya diberitahu bahawa akan ada satu operasi. Kadangkala mereka sudah hampir dengan lokasi barulah soldadu-soldadu ini tahu di mana dan apa yang akan mereka lakukan.

“Inilah yang dinamakan strategi. Tak semua orang kena tahu akan sebab musabbab sesuatu tindakan dan keputusan itu diambil. Kalau sudah disebarkan merata-riti, itu bukan lagi strategi namanya.

“Orang PAS hebat dalam bab ini. Mereka tak menuntut untuk nak tahu semua perkara kerana mereka sedia maklum bahawa bukan dalam semua perkara mereka perlu tahu. Wala’ dan thiqah kepada kepimpinan adalah perkara yang ditarbiyah dalam sebuah gerakan Islam seperti PAS.”

Dr Azman tidak pula menyatakan secara spesifik isu apa yang membuatkan beliau mengeluarkan kenyataan seperti ini. Pada pendapat penulis ia mungkin juga secara kebetulan bersesuaian dengan isu ura-ura pembentukan kerajaan Pakatan Nasional yang menjadi kegemparan di pihak PH sendiri.

Memang akhir-akhir ini kita berdepan dengan beberapa isu yang dilihat agak sulit untuk difahami oleh ahli-ahli dan penyokong biasa. Dan ia menuntut ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS agar meletakkan kepercayaan yang penuh kepada pimpinan kita untuk menanganinya dengan baik.

Sekiranya kita meneliti ilmu kepimpinan, kita akan bertemu dengan dua stail asas kepimpinan paling popular iaitu demokratik dan autokratik. Stail demokratik ialah kepimpinan yang membuat keputusan dengan mendapatkan pendapat orang bawahan dan pengikut. Sementara kepimpinan autokratik pula adalah kepimpinan yang membuat keputusan sendiri tanpa meminta pendapat orang bawahan dan pengikut.

Kerapkali menjadi persoalan, di antara kedua-dua stail asas kepimpinan tadi yang manakah yang terbaik? Sekali imbas, biasanya kita akan terus meletakkan persepsi bahawa stail autokratik adalah stail yang paling buruk dan perlu dijauhi. Sudah pasti stail demokratik dianggap sebagai stail kepimpinan yang paling mulia.

Hakikatnya antara kedua-dua stail asas di atas kita tidak akan boleh mengambil hanya satu darinya untuk diamalkan. Ini adalah kerana kedua-dua stail ini sebenarnya perlu dan baik untuk digunakan tetapi ia bergantung kepada situasi dan latarbelakang organisasi. Biasanya sesuatu organisasi itu akan menggunakan sesuatu stail yang dominan mengikut kesesuaian organisasi diikuti dengan stail yang lain apabila perlu.

Contohnya organisasi seperti tentera perlu menggunakan stail aurokratik sebagai stail dominannya. Bayangkan jika tentera menggunakan stail demokratik sebagai stail dominan, berapa banyak mesyuarat yang mereka perlu lakukan dengan semua anggota sebelum mereka menyerang musuh? Namun begitu di dalam tentera tidaklah sepanjang masa mereka menggunakan stail autoktatik. Dalam hal-hal tertentu mereka juga bermesyuarat dan meminta pendapat orang bawahan.

Dalam organisasi politik pula kita perlu banyak berbincang dan memberi pendapat secara demokrasi. Jadi stail demokratik menjadi stail yang dominan dalam organisasi politik. Namun ada saat-saat kritikal, genting dan sulit kita perlu membiarkan pimpinan membuat keputusan sendiri. Jadi ada masa-masanya stail autokratik diperlukan.

Pernah seorang kawan penulis yang merupakan seorang pegawai tentera memberitahu penulis satu petua yang digunakan tentera sekiranya sesat di hutan. Kata kawan penulis itu sekiranya pasukan mereka sesat dan berada dalam keadaan sangat buntu untuk mencari jalan keluar biasanya mereka akan melantik seorang sebagai ketua.

Kemudian ketua itu akan diberi kepercayaan memandu pasukannya mencari jalan keluar. Anggota-anggota yang lain perlu diam dan mengikut sahaja jalan yang dipilih oleh ketua yang telah dipersetujui tadi. Dalam bahasa mudah dalam menghadapi situasi ini tidak boleh ‘banyak mulut’. Kata kawan penulis itu biasanya akan jumpa jalan keluar. Itu petua.

Begitu juga kita di dalam PAS. Ada masa kita melalui situasi yang sukar untuk difahami oleh ahli-ahli dan penyokong-penyokong biasa. Untuk situasi seperti ini lebih baik kita serahkan kepada pimpinan untuk bertindak sesuai dengan mandat yang kita telah berikan pada mereka. Ada sesetengahnya melibatkan strategi yang rahsia dan tidak boleh didedahkan kepada semua ahli bawahan seperti yang diperkatakan oleh YB Dr Azman dalam hantaran facebooknya itu.

Setakat ini penulis melihat banyak tindakan yang dibuat oleh pucuk pimpinan kita memang menyerlahkan kebijaksanaan mereka dalam memandu isu-isu politik yang timbul. Kebanyakan perangkap yang dipasang pimpinan kita terhadap musuh-musuh politik PAS sudah atau hampir mengena.

Samada betul atau tidak Tun Mahathir menjemput PAS dan UMNO untuk membentuk Pakatan Nasional namun khabar ini berjaya menggoncang Pakatan Harapan. Sudah timbul rasa tidak percaya antara satu sama lain di dalam PH hasil dari isu ini.

Pemimpin PH juga mempersendakan tindakan PAS cuba mengusulkan undi percaya kepada PM. Mereka kata sepatutnya usul untuk undi percaya diusul oleh parti kerajaan, bukan pembangkang. Namun, sebagai parti kerajaan, adakah PKR, DAP dan PAN akan menyokong usul undi percaya agar PM kekal sehingga akhir penggal ini seperti sepatutnya?

Apa akan jadi jika undi percaya kepada PM ini menang? Adakah Anwar sanggup bersabar lagi hingga PRU15 untuk jadi PM? Jika usul ini gagal adakah Tun Mahathir pula akan meletak jawatan PM serta merta hasil undian ini? Yang menariknya, apa pun keputusannya semuanya akan membelah PH menjadi berkeping-keping. Semuanya hasil kebijaksanaan pemimpin kita.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah

(Rencana ini telah disiarkan di dalam Harakah cetak keluaran 14 Februari 2020)