Home Artikel PAS Pahang

Apa yang istimewa dalam kawasan Adun Damak?

825
SHARE

 

JERANTUT: Ulu Cheka yang termasuk dalam Dun Damak, sememangnya sudah popular dengan kisah kehebatan Pawang Nong, spesis durian kampung berkualiti dan keampuhan urutan bomoh patah kelahiran kampung ini.

 

Namun, ada lagi projek yang bakal menjadi pusat tumpuan negara di kawasan yang mewah menyimpan khazanah alam semula jadi ini.

 

Adun Damak, Ustaz Zuridan Mohd Daud, dalam posting facebooknya menyebut perihal terdapat sebuah Pusat Perkembangan Akuakultur (PPA)  negara. Pusat pembiakan ini menempatkan galeri ikan-ikan sungai Malaysia (ikan air tawar) bernilai tinggi di Kampung Perlok, Ulu Cheka.

 

PPA Perlok dikelilingi Bukit Bongkok dan Gunung Benom seluas 42 hektar terletak kira-kira 40 km dari Bandar Jerantut, mempunyai 58 kolam takungan membabitkan kolam asuhan, kolam induk dan kolam rawatan air.

 

Pusat ini melaksanakan pembangunan induk dan pembenihan ikan terutamanya ikan asli Malaysia seperti ikan kelah merah, ikan temoleh, jelawat dan lain-lain spesis yang bernilai tinggi. PPA Perlok turut menjalankan program pelepasan umum serta Community Based Fisheries Management.

 

Pelbagai spesies ikan yang telah dilepaskan iaitu ikan kelah, patin buah, temoleh, kerai, kunyit dan lain-lain. Daripada tahun 2013 hingga 2019 sebanyak 10 juta ekor ikan telah dilepaskan di seluruh negara dengan nilai keseluruhan sebanyak RM4 juta.

 

PPA Perlok berjaya membiak ikan asli sungai Pahang iaitu seperti ikan Patin Buah dan ikan Terbul pada tahun 2004 selaras dengan usaha menyokong industri akuakultur dan melahirkan pengusaha yang berkemahiran. Ini kerana PPA Perlok menjadi pusat peningkatan kemahiran kerana menyediakan kursus berjadual berkaitan akuakultur air kepada kumpulan sasar termasuk latihan industri kepada pelajar IPTA.

 

PPA Perlok yang menerima sokongan dan kepakaran daripada pihak pengkaji Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dijangka bakal menjadi pusat pembangunan induk dan pembenihan spesis ikan patin buah terbesar di negara ini dalam tempoh lima tahun.

 

Ikan patin buah merupakan keluarga patin berharga lebih RM100 sekilo mampu meningkatkan pendapatan penternak jika diusahakan secara komersial kerana mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.