Home Berita PAS Melaka

Rencana : Ikat Jamin Saminathan Ditolak – Bagaimana Nasib Penduduk DUN Gadek?

1514
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Januari lepas menolak permohonan ikat jamin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan, yang didakwa atas tuduhan memiliki item dan memberi sokongan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Permohonan ikat jamin ini dibuat susulan keputusan mahkamah yang sama pada 29 November lepas membenarkan mereka untuk mengemukakan permohonan untuk dibebaskan dengan ikat jamin.

Saminathan bersama dengan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seremban Jaya, P Gunasekaran ditahan atas dakwaan mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pada 10 Oktober tahun lepas.

Sebelum permohonan ikat jamin itu dibuat, Saminathan bersama-sama dengan P. Gunasekaren dan tiga lagi individu telah memfailkan permohonan habeas corpus (mencabar penahanan) pada 21 Oktober tahun lepas. Habeas corpus yang difailkan mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur secara berasingan ditolak oleh mahkamah yang sama pada 5 November tahun lepas.

Penolakan ikat jamin terhadap mereka oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu baru-baru ini menimbulkan tandatanya tentang nasib penduduk DUN Gadek yang diwakili Saminathan.

Status Saminathan yang masih ditahan juga meletakkan kerajaan Adly Zahari di dalam bahaya memandangkan PH pada masa ini hanya berkelebihan dua kerusi sahaja di dalam DUN Melaka. Adly pada 13 Oktober tahun lepas menyatakan bahawa Saminathan tidak akan digugurkan dari jawatan Exco dan Adun akibat dari penahanan tersebut.

Sementara itu mantan calon PAS PRU14 bagi DUN Gadek, Emransyah Ismail ketika dihubungi Wartawan Rakyat Melaka (WARM) melahirkan rasa kesal atas sikap PH Melaka yang membiarkan DUN Gadek tanpa wakil rakyat setelah G Saminthan berada dalam tahanan lebih dari tiga bulan selepas ditahan pada 10 Oktober tahun lepas.

Kata Emran lagi, ini ditambah dengan keputusan mahkamah yang tidak membenarkan permohonan ikat jamin Adun berkenaan baru-baru ini menimbulkan lagi kebimbangan masyarakat dalam DUN berkenaan tentang nasib mereka kerana Adun yang sepatutnya menjadi tempat mereka mengadu hal kini di dalam tahanan polis.

Emran yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Alor Gajah juga mendesak agar Adly Zahari sebagai Pengerusi PH dan Ketua Menteri Melaka agar segera mengadakan pilihanraya kecil (PRK) bagi DUN Gadek bagi menggantikan Adun sedia ada yang sedang dalam tahanan.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Penerangan PAS Melaka merangkap Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah

(Rencana ini telah disiarkan Harakah cetak pada 7 Februari 2020)