Home Berita PAS Melaka

Rencana | Gaji tinggi tiada rasuah?

520
SHARE

Oleh IBNU JANIE

BARU-BARU ini seorang sahabat penulis menghantar kepada penulis satu pautan berita kenyataan Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar tentang teori bahawa gaji tinggi boleh mengelakkan berlakunya rasuah.

Dalam laporan itu Akhbar berkata bahawa menaikkan gaji penjawat awam bukan jalan penyelesaian kepada rasuah. Kata Akhbar lagi, melalui pemerhatian, terdapat ramai individu yang bergaji besar terbabit dengan rasuah sekaligus menjadikan gaji sebagai isu yang berbeza dengan rasuah.

Selepas selesai membaca berita itu, secara spontan penulis membalas kepada sahabat penulis itu :

“Yang sebenarnya gaji rendah memang boleh menjurus kepada rasuah. Tapi gaji tinggi belum tentu boleh hapus rasuah. Yang penting kesedaran.”

Memang ada negara yang memberikan gaji yang tinggi kepada penjawat awam mereka dengan niat untuk mengelakkan mereka daripada melakukan rasuah. Malangnya kita sendiri faham bahawa keinginan dan kecukupan seseorang manusia itu memang tiada hadnya. Ini ‘common sense’.

Katalah ada seorang individu yang sekarang ini hanya menerima gaji sebanyak RM2000. Dia berasa tidak cukup. Lalu dia pun berangan-angan kalaulah dia mendapat gaji sebanyak RM5000 sebulan sudah tentu mencukupi dan dia akan cukup selesa.

Jika tiba-tiba dia mendapat tawaran daripada syarikat lain dan mendapat gaji sebanyak RM5 ribu yang diimpi-impikan itu adakah dia akan merasa cukup? Belum tentu. Selepas mendapat gaji RM5 ribu dia mengimpikan gaji RM10 ribu pula. Ini ‘common sense’.

Sama seperti yang telah dinyatakan oleh Datuk Seri Akhbar Satar tadi, terbukti juga ramai yang disabitkan rasuah itu adalah mereka yang bergaji puluhan malah ratusan ribu ringgit. Malah sudah jutawan pun. Tidak cukupkah gaji dan pendapatan mereka?

Tiga golongan berpeluang melakukan rasuah

Penulis mengkategorikan mereka yang mempunyai peluang dan berpotensi untuk melakukan rasuah ini kepada tiga golongan.

Golongan pertama ialah mereka yang mempunyai integriti dan keimanan yang sangat tinggi. Apa pun terjadi mereka tidak akan makan rasuah walau pun peluang terdedah di depan mata. Jangankan susah atau terdesak, walau diacu belati tajam mengugutnya sekali pun dia tidak akan mengambil rasuah. Golongan yang ini sudah pasti tidak ada masalah.

Golongan kedua pula ialah golongan yang berintegriti dan tidak suka rasuah. Namun oleh kerana keadaan yang mendesak, kesukaran hidup dan gaji yang kecil mereka akhirnya akur untuk terlibat dengan rasuah.

Seseorang yang berintegriti tetapi mendapat gaji yang tidak mencukupi mungkin akan menahan dirinya daripada melakukan rasuah. Namun keimanan golongan seperti ini akan teruji apabila mereka ditimpa kesusahan dan musibah yang menyebabkan mereka memerlukan wang yang lebih sedangkan gaji halal yang diperolehi mereka tidak mencukupi.

Jangan memandang mudah dengan situasi terdesak. Seseorang yang terdesak melihat anaknya kelaparan sanggup mencuri. Seseorang yang tiba-tiba anaknya jatuh sakit dan memerlukan wang yang banyak mungkin sanggup merompak. Ini banyak berlaku dalam dunia realiti.

Sementara golongan ketiga pula ialah mereka yang memang sedia kala tidak jujur. Mereka tamak dan ingin hidup senang dengan jalan mudah. Gaji mereka cukup tetapi memang mereka ‘binatang’ yang memilih untuk makan duit haram untuk hidup senang.

Kombinasi tiga strategi hapus rasuah

Untuk memastikan rasuah benar-benar terhapus ia memerlukan kombinasi antara tiga strategi iaitu strategi pertama memberikan kesedaran tentang integriti dan jijiknya najis rasuah; strategi kedua memastikan kadar gaji yang diterima penjawat awam ini mencukupi dan memadai; dan ketiga penguatkuasaan undang-undang yang berkesan. Bagaimana tiga strategi ini dapat mengurangkan rasuah?

pertama memberikan kesedaran tentang integriti dan jijiknya najis rasuah; strategi kedua memastikan kadar gaji yang diterima penjawat awam ini mencukupi dan memadai; dan ketiga penguatkuasaan undang-undang yang berkesan.

Dengan memberikan kesedaran maka kita akan meramaikan kumpulan yang pertama tadi iaitu golongan yang benar-benar benci rasuah walau apa pun yang berlaku.

Untuk mengatasi golongan kedua iaitu mereka yang akan melakukan rasuah jika mereka terdesak ini pula kerajaan perlu memastikan kakitangan kerajaan perlu menerima gaji yang berpatutan dengan kos sara hidup mereka.

Undang-undang yang ketat pula akan mengatasi masalah golongan yang ketiga iaitu mereka yang memang tidak jujur dan memang suka dengan rasuah, bukan kerana gaji yang kecil atau situasi mendesak.

Sebagai ilustrasi, katalah ada 100 orang kakitangan kerajaan. Dengan memberikan kesedaran kepada mereka tentang najis rasuah dari sudut agama dan sosial mungkin akan memberi kesedaran kepada 50 orang daripada mereka. 50 orang ini akan menjadi kakitangan yang penuh integriti walau apa pun berlaku. Jadi tinggal 50 orang lagi kakitangan yang berpotensi untuk melakukan rasuah.

Daripada baki 50 orang yang sanggup melakukan rasuah tadi, mungkin 30 orang daripadanya adalah daripada golongan yang memahami bahawa rasuah ini salah tetapi sanggup melakukannya jika terdesak.

Jadi sekiranya kita memberikan gaji yang mencukupi dan memadai kepada kakitangan awam kita boleh membuatkan 30 orang ini tidak melakukan rasuah. Jadi kita dapat mengurangkan golongan pemakan rasuah daripada 50 orang kepada 20 orang.

Sekarang ini tinggal 20 orang sahaja lagi yang tegar akan melakukan rasuah. Jadi dengan undang-undang yang ketat dan dikuatkuasakan dengan baik pula akan menyelesaikan golongan pemakan rasuah tegar ini.

Gaji yang rendah memang boleh menjurus kepada amalan rasuah. Namun, memberi gaji yang tinggi semata-mata sebagai cara menangani rasuah adalah satu pendapat yang kurang bijak. Ia hanya mengkayakan lagi pelaku rasuah namun rasuah tetap berlaku. Ia juga harus diikuti dengan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan.

Namun begitu kempen kesedaran harus berjalan dengan berterusan agar dapat dipasakkan ke dalam kepala setiap penjawat awam tentang jijiknya amalan rasuah!

Penulis adalah Ketua Unit Berita dan WARM, Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah.

Rencana ini telah disiarkan di Harakah cetak bilangan 2627 bertarikh 26 Februari 2021.