Home Artikel PAS Johor

PAS Johor hantar Memorandum Cadangan kepada Exco

1097
SHARE

Oleh : Ahmad Faris

Johor Bahru : PAS Negeri Johor melalui Lajnah Penerangan dan Media Baru (LPMB) telah menghantar satu memorandum cadangan kepada Pengerusi Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya YB Mazlan Bujang di pejabatnya semalam.

Memorandum tersebut mencadangkan beberapa perkara berhubung tatacara pengurusan dan pentadbiran patuh syariah yang sesuai diaplikasikan dan diintegrasikan di negeri ini. Ianya bertujuan supaya agenda memartabatkan Agama Islam dan budaya Melayu yang berasaskan budaya timur dikekalkan dan diteruskan.

Pertemuan yang berlangsung di Pejabat Mazlan turut membincangkan beberapa idea yang boleh menampakkan bahawa pentadbiran di bawah kerajaan baru ini lebih mesra. Bukan sahaja kepada Bangsa Johor malahan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak di dalam negeri ini termasuklah pembangkang.

Menurut Mazlan, wakil-wakil rakyat pembangkang juga harus di beri ruang untuk berkhidmat sebaiknya kepada rakyat Johor.

“Walaupun pembangkang bukan pasukan kita tapi wakil-wakil mereka adalah wakil rakyat kepada bangsa kita iaitu Bangsa Johor” Ujar Mazlan dengan tegas.

Mazlan menyambut baik cadangan PAS Negeri Johor dan berjanji akan mempertimbangkan sebaiknya kesemua cadangan-cadangan tersebut. Malahan dalam pertemuan hampir satu jam itu, Mazlan berkesempatan menyatakan ideanya menggunakan ‘billboard’ tidak terpakai di seluruh Johor untuk dimanfaatkan dengan iklan dakwah dan unsur-unsur Islamik.

Rombongan PAS Johor yang diketuai Ketua Penerangan, Rusman Kemin mengambil peluang menyatakan pendirian PAS berkenaan misi meletakkan kepentingan agama mengatasi keperluan dunia kerana Islam akan menjaga pemimpin dan rakyatnya yang berusaha menjaga Allah dan agamanya.

Mazlan juga bersetuju hanya dengan mempersatukan dan mempereratkan ukhuwwah serta menyemarakkan mahabbah sahaja yang menjadi tunjang Negeri Johor akan gemilang dalam semua perkara. Yang lebih utama rakyat akan merasa lebih bahagia dan damai.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Penerangan PAS Johor Ustaz Kheir Shamsuddin, pegawai kewangan Badrul Hisham Saad dan Ketua Unit Akademi Penerangan Selamat Ujud.