Home Artikel PAS Melaka

Rencana | Celik ekonomi : Cara mudah memahami apa itu KDNK

310
SHARE

Oleh IBNU JANIE

KITA selalu mendengar ‘pak-pak menteri’ atau ahli-ahli ekonomi bercakap tentang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ia juga kerap disebut apabila setiap kali Menteri Kewangan membentangkan Bajet Tahunan Negara.

Jadi, apa sebenarnya KDNK itu? Apa kepentingannya kepada kita sebagai orang ramai untuk memahami apa itu KDNK? Adakah KDNK ini hanya perlu diketahui oleh ahli-ahli ekonomi, orang-orang korporat dan orang-orang politik sahaja?

KDNK sesebuah negara itu adalah satu cara untuk mengukur tahap pencapaian ekonomi nasional sesebuah negara pada satu-satu tahun. KDNK adalah jumlah nilai pasaran keseluruhan barangan dan perkhidmatan akhir yang dikeluarkan dalam sesebuah negara pada masa tertentu, biasanya dalam tempoh satu tahun.

Ada tiga kaedah yang digunakan oleh ahli-ahli ekonomi untuk mendapatkan nilai KDNK ini. Biasanya kerajaan akan menggunakan salah satu daripada tiga kaedah ini. Namun ketiga-tiga kaedah ini biasanya ia akan membawa kepada jawapan yang hampir sama.

Tiga kaedah mengira KDNK itu ialah yang pertama, ‘kaedah pendekatan pendapatan’; yang kedua ialah ‘kaedah pendekatan perbelanjaan’; dan yang ketiga ialah ‘kaedah pendekatan produk atau keluaran’.

Pengiraan KDNK mengikut ‘kaedah pendekatan pendapatan’ ini adalah dengan cara menjumlahkan pelbagai pendapatan yang diperolehi oleh faktor-faktor pengeluaran dalam sesebuah negara sebagai ganjaran menjalankan kegiatan mengeluarkan barang dan perkhidmatan untuk tempoh setahun.

Ada empat faktor pengeluaran dalam ekonomi iaitu tanah, buruh, modal dan usahawan. Pendapatan bagi tanah (termasuk bangunan) ialah sewa; pendapatan bagi buruh adalah gaji; pendapatan bagi modal adalah dividen atau kadar faedah; sementara pendapatan bagi usahawan pula ialah keuntungan. Jadi mengikut kaedah ini, semua pendapatan ini apabila dijumlahkan maka akan menghasilkan nilai KDNK.

Cara kedua ialah dengan menggunakan ‘kaedah pendekatan perbelanjaan’ iaitu dengan menjumlahkan semua perbelanjaan ke atas barangan dan perkhidmatan akhir yang dihasilkan dalam ekonomi. Ia terdiri daripada empat komponen utama iaitu perbelanjaan kerajaan; perbelanjaan isi rumah dan swasta; perbelanjaan pelaburan; dan eksport bersih.

Dengan mencampurkan keempat-empat elemen tadi kita akan memperolehi nilai KDNK mengikut ‘kaedah pendekatan perbelanjaan’.

Kaedah ketiga pengiraan KDNK pula ialah dengan pendekatan mencampurkan nilai tambah yang dihasilkan oleh pelbagai sektor ekonomi di dalam negara bagi tempoh satu tahun. Ia mengambil kira nilai tambah untuk mengelakkan pertindihan dalam nilai kos pengeluaran.

Mengapa perlu kira KDNK?

Pengiraan KDNK sangat penting kepada kerajaan dan ahli-ahli ekonomi untuk mengetahui situasi sebenar prestasi ekonomi sesebuah negara. KDNK menjadi kayu ukur adakah langkah dan strategi ekonomi yang telah diambil oleh kerajaan berkesan atau pun tidak.

Ia juga untuk mengukur ‘tahap kesihatan’ ekonomi sesebuah negara. Ia umpama satu ‘ujian darah’ yang dilalui oleh seseorang untuk mengetahui apa sebenarnya penyakit yang dihidapinya. Apabila ‘penyakit ekonomi’ ini dapat dikesan maka kerajaan akan membuat tindakan susulan untuk mengatasinya.

KDNK yang meningkat daripada tahun sebelumnya akan dipanggil sebagai ‘KDNK mengembang’. Ia bermakna terdapat peningkatan dalam aktiviti ekonomi sesebuah negàra. Nilai peratusannya positif. Contohnya apabila dikatakan KDNK negara adalah lima peratus (5%) itu bermakna KDNK sesebuah negara itu meningkat atau berkembang sebanyak lima peratus berbanding tahun sebelumnya.

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Apabila kadar KDNK yang diperolehi oleh sesebuah negara lebih rendah daripada tahun sebelumnya itu bermakna KDNK negara itu berada dalam situasi ‘KDNK menguncup’. Contohnya apabila dikatakan KDNK negara itu ialah negatif lima peratus (-5%) ini bermakna KDNK negara itu sedang menguncup sebanyak lima peratus berbanding tahun sebelumnya.

KDNK menguncup membawa petanda yang tidak baik kepada sesebuah negara. Ini bermakna aktiviti ekonomi yang berlaku di dalam sesebuah negara itu telah menyusut berbanding tahun sebelumnya. Ia juga boleh memberi petanda bahawa ekonomi sesebuah negara itu sedang menuju kemelesetan.

KDNK menguncup membawa petanda yang tidak baik kepada sesebuah negara.

Biasanya Bank Dunia atau pun Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan mengeluarkan senarai KDNK negara-negara di dunia ini. Kita boleh membuat perbandingan KDNK antara negara-negara ini.

Namun adakah dengan hanya melihat kepada jumlah KDNK yang diperolehi oleh sesebuah negara itu cukup untuk menunjukan bahawa ekonomi sesebuah negara itu baik?

Sebagai contoh, India merupakan antara 10 negara dengan KDNK tertinggi di dunia. Namun adakah itu menunjukkan bahawa ia mempunyai kedudukan ekonomi yang sangat bagus? Belum tentu.

Sekarang penulis akan membandingkan antara India dengan Singapura. Unjuran KDNK India untuk tahun 2020 ialah sebanyak USD$2.59 trillion iaitu yang keenam tertinggi di dunia. Sementara unjuran KDNK Singapura pula ialah sebanyak USD$391 bilion berada pada kedudukan ke 31 dalam kalangan seluruh negara. Itu juga diambil terus daripada nilai nominal.

India adalah sebuah negara dengan keluasan 3,287,263 kilometer persegi dengan penduduk seramai 1.3 billion orang. Singapura pula adalah sebuah negara dengan keluasan 728 kilometer persegi dengan penduduk hanya seramai 5.7 juta orang sahaja.

KDNK perkapita

Jadi untuk menilai secara tepat prestasi ekonomi sesebuah negara ahli ekonomi akan mengira KDNK perkapita. Apakah KDNK perkapita ini? KDNK perkapita adalah KDNK nominal sesebuah negara yang dibahagikan dengan jumlah penduduk sesebuah negara itu.

Jadi jika kita membuat pengiraan ķepada KDNK perkapita bagi Singapura dan India, kita akan dapati bahawa KDNK perkapita Singapura ialah sebanyak USD$68,487 tetapi KDNK perkapita India hanyalah sebanyak USD$1,876.

Walau pun nilai nominal KDNK India berada pada tahap keenam tertinggi di dunia namun KDNK perkapita India adalah pada tahap ke 142 antara negara. Berbanding Singapura, walau pun nilai KDNK nominalnya berada pada kedudukan ke 31 dunia namun nilai KDNK perkapitanya ialah pada kedudukan ketujuh di dunia.

Sebagai anologi, gaji Encik A ialah sebanyak RM5000 sementara gaji Encik B ialah sebanyak RM2000. Secara nilai atas kertas atau nilai nominal, memang gaji Encik A lebih tinggi berbanding Encik B.

Namun apabila dikira tanggungan keluarga, didapati Encik A sudah bekeluarga dan mempunyai seorang isteri dan lapan orang anak. Sementara Encik B pula baru berkahwin dan belum mempunyai anak.

Jadi walaupun Encik A menerima gaji nominal sebanyak RM5000 sebulan namun apabila dibahagikan dengan jumlah keseluruhan keluarganya yang berjumlah 10 orang itu bermakna setiap orang akan mendapat RM500.

Namun, bagi Encik B pula, oleh kerana dalam keluarganya hanya beliau dan isterinya sahaja maka apabila gajinya yang sebanyak RM2000 sebulan itu dibahagikan kepada dua orang maka setiap seorang daripada ahli keluarga Encik B akan mendapat RM1000 setiap seorang. Dengan itu hakikatnya Encik B lebih kaya daripada Encik A walau pun gajinya lebih rendah daripada Encik A.

KDNK perkapita gambaran produktiviti

Adakah KDNK perkapita ini menggambarkan gaji purata yang diperolehi oleh rakyat sesebuah negara? Tidak. Ia tidak menggambarkan bahawa pendapatan atau gaji purata rakyat sesebuah negara. Namun ia boleh menggambarkan produktiviti dan kecekapan sesebuah negara itu dalam menjana pendapatan keseluruhan.

Untuk contoh Singapura tadi, jumlah KDNKnya ialah sebanyak USD$391 billion, jumlah penduduk seramai 5.7 juta dan KDNK perkapita sebanyak USD$68,487. Ini bermakna purata setiap seorang rakyat Singapura telah menjana ekonomi sebanyak USD$68,487 untuk negaranya. Ini berbanding dengan seorang rakyat India yang hanya menjana USD$1,876 untuk ekonomi negara mereka.

Berapa pula KDNK perkapita Malaysia? Unjuran KDNK nominal Malaysia untuk tahun 2020 ialah USD$336,330 bilion iaitu pada kedudukan ke 39 sementara KDNK perkapita pula ialah sebanyak USD$10,192. Ini bermakna setiap rakyat Malaysia menjana ekonomi purata sebanyak USD$10,192 pada tahun 2020. Ia masih jauh lebih rendah daripada Singapura.

Selain itu, KDNK juga dijadikan panduan untuk menentukan had hutang yang boleh dibuat oleh kerajaan. Ia termaktub di dalam Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983.

Akta-akta ini menetapkan bahawa had maksimum pinjaman kerajaan ialah 55 peratus daripada nilai KDNK. Ini bermakna sekiranya KDNK Malaysia ialah RM100 bilion maka had pinjaman maksimum yang boleh dibuat oleh kerajaan ialah RM55 bilion.

KDNK bukan bermaksud pendapatan kerajaan

Ada juga yang terkeliru dan menyangka bahawa KDNK ini adalah jumlah pendapatan atau hasil yang diterima oleh kerajaan. Bukan. Memang KDNK juga dipanggil ‘pendapatan negara’. Namun ada perbezaan antara ‘pendapatan negara’ dan ‘pendapatan kerajaan’.

Hasil yang diterima oleh kerajaan dipanggil sebagai ‘pendapatan kerajaan’. Pendapatan kerajaan ini diperolehi daripada hasil cukai dan hasil bukan cukai. Tetapi KDNK ini pula adalah jumlah ekonomi yang dijana oleh semua pihak iaitu kerajaan, swasta dan orang ramai dalam sesebuah negara.

KDNK dijadikan sandaran atau petunjuk penting kepada ekonomi sesebuah negara kerana apabila KDNK tinggi ini bermakna aktiviti ekonomi dalam sesebuah negara itu adalah tinggi. Apabila aktiviti ekonomi tinggi ini bermakna kerajaan bakal mendapat semula hasil cukai daripada keuntungan dan pendapatan yang dijana oleh rakyat tadi.

KDNK dijadikan sandaran atau petunjuk penting kepada ekonomi sesebuah negara kerana apabila KDNK tinggi ini bermakna aktiviti ekonomi dalam sesebuah negara itu adalah tinggi.

Biasanya di dalam belanjawan, kerajaan akan menyasarkan KDNK tahunan negara untuk tahun hadapan. Ia adalah anggaran. Selepas itu pada setiap suku tahun (setiap 4 bulan) Bank Negara akan mengumumkan nilai sebenar KDNK yang telah dicapai oleh negara pada tahun yang telah disasarkan itu.

Untuk rekod, pertumbuhan KDNK paling tinggi pernah diperolehi Malaysia ialah 11.7 peratus iaitu pada tahun 1973. Malaysia juga pernah mengalami penguncupan sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1985 (-1.03), 1998 (-7.36) dan 2009 (-1.51). Sehingga suku ketiga tahun 2020 pula KDNK Malaysia menguncup sebanyak negatif 2.7 peratus.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah

Rencana ini juga disiarkan di ruangan Ekonomi, Harakah cetak bilangan 2626 bertarikh 22 Februari 2021