Home Artikel PAS Melaka

Rencana | Celik ekonomi : Belajar daripada strategi ekonomi Singapura

305
SHARE

Oleh IBNU JANIE

SEBELUM ini memang penulis tahu bahawa Singapura memang lebih maju daripada Malaysia. Dolar Singapura jauh lebih tinggi daripada Ringgit Malaysia. Semua orang pun tahu.

Kemudian penulis ada terbaca tentang gaji Perdana Menteri Singapura yang dikatakan paling tinggi bagi Perdana Menteri sesebuah negara di dalam dunia! Walau pun kagum namun ia belum lagi ‘trigger’ penulis terhadap negara kecil Singapura itu.

Singapura sekarang (Kredit foto : Google)

Namun, pandangan penulis mula berubah terhadap Singapura selepas mendapat beberapa maklumat tentang negara pulau itu. Semuanya bermula sekitar beberapa tahun lepas. Penulis tidak pernah ke Singapura namun banyak mengkaji tentangnya melalui penulisan-penulisan dan video-video dokumentari di internet dan Youtube.

Bermulanya kekaguman penulis pada masa itu apabila mengetahui fakta bahawa Singapura adalah antara 10 negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita tertinggi di dunia! Dari situlah mulanya penulis tambah berminat untuk mengkaji tentang Singapura ini.

Sebenarnya memang sudah lama Singapura mempunyai KDNK perkapita antara yang tertinggi di dunia. Yang terbaru, KDNĶ perkapita Singapura pada tahun 2020 ialah USD101,458.00. Lebih tinggi daripada Brunei!

Baiklah, kita ketepikan dahulu soal Singapura yang dulunya milik Melayu dan kini tidak lagi. Penulis juga sependapat dalam isu itu. Namun untuk rencana pada kali ini kita ketepikan sementara soal sentimen ini. Penulis fikir ada banyak perkara yang boleh kita belajar daripada Singapura ini.

Kita mesti cuba belajar bagaimana sebuah negara yang merdeka enam tahun lebih lewat daripada kita di Semenanjung Malaysia ini, kini menjadi sebuah negara maju yang terletak di Asia Tenggara ini. Ia umpama Amerika Syarikat terletak bersempadan dengan Malaysia.

Singapura dahulu (Kredit foto : Google)

Sungguhpun Singapura memang sudah pun menjadi sebuah bandar perniagaan yang lebih maju daripada Tanah Melayu ketika era 60an dahulu, namun ia sebenarnya bukanlah satu berbezaan yang sangat ketara. Namun kini Singapura sudah sangat jauh meninggalkan kita.

Tiada hasil bumi

Singapura sejak dahulu tidak mempunyai hasil bumi seperti petroleum, bijih timah atau getah seperti Malaysia. Mereka bergantung sepenuhnya pada industri perkilangan dan perniagaan berasaskan perkapalan dan pelabuhan. Malah semasa keluar dari Malaysia pada tahun 1965 dikatakan separuh daripada rakyatnya buta huruf!

Walau pun Singapura tidak ada sumber asli yang boleh dijadikan sebagai pendapatan negara, namun satu-satunya kelebihan semulajadi yang ada pada Singapura ialah kedudukan geografinya yang menjadikannya sebagai lokasi paling sesuai untuk industri pelabuhan dan perkapalan.

Singapura selepas keluar dari Malaysia benar-benar dapat mengenalpasti kekuatannya sendiri dan memberi tumpuan kepada tiga sektor ekonomi iaitu pengangkutan dan perkapalan; perbankan dan industri elektronik. Tumpuan pada sektor yang betul antara faktor yang dikatakan menjadi salah satu sebab kejayaan Singapura.

Lee Kuan Yew arkitek Singapura

Sebenarnya kita tidak dapat nafikan bahawa kebijaksanaan arkitek kemajuan Singapura, mantan Perdana Menterinya, mendiang Lee Kuan Yew dalam membuat keputusan dan mencatur perjalanan ekonomi negara kecil itu antara faktor utama kejayaan Singapura.

Lee Kuan Yew (Kredit foto : Google)

Negara Singapura benar-benar komited untuk memajukan sektor perniagaannya. Singapura terkenal dengan polisi mesra perniagaan, tiada sekatan dan rendah birokrasi. Dikatakan perniagaan boleh ditubuhkan dalam tiga jam sahaja!

Singapura juga dikatakan antara negara yang mempunyai peratusan rakyatnya bergelar jutawan paling tinggi. Singapura juga berjaya menjadi pusat pertukaran wang asing ketiga terbesar di dunia, pusat penapisan dan pengedaran minyak ketiga terbesar di dunia selain hub pembaikan perkapalan.

Mendiang Lee Kuan Yew terbukti bukan seorang yang hanya mementingkan materialistik semata-mata memandangkan proses kemajuan Singapura turut disertakan dengan pembangunan sosial dan etika.

Singapura dikatakan berjaya bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga dari segi petunjuk sosial. Walau pun ada yang berpendapat bahawa untuk menjadi negara maju maka sesebuah masyarakat terpaksa menerima masalah sosial dan jenayah yang tinggi sebagai galang gantinya, namun Lee Kuan Yew membuktikan sebaliknya.

Memerangi rasuah

Lee Kuan Yew tahu bahawa kemajuan yang beliau impikan itu akan menghadapi laluan sukar jika diganggu gejala rasuah terutama dalam kalangan pegawai kerajaan dan orang politik. Lalu beliau membanteras awal-awal gejala rasuah yang sebenarnya akan menjadi anai-anai meruntuhkan negara.

Kerana itu Singapura berada di kedudukan 10 negara terbaik dari segi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) semenjak kali pertama indeks itu diperkenalkan oleh Transparency International. Sehingga kini Singapura masih kekal di dalam 10 negara terbaik di dunia.

Selain membanteras rasuah, Lee Kuan Yew juga memastikan agar negara Singapura menjadi negara yang bersih dengan mengenakan undang-undang yang ketat tentang kebersihan persekitaran. Sebab itu apabila kita bercakap dengan orang Singapura apabila mereka cuba membuat perbandingan sesuatu peraturan mereka akan berkata “Ini kesalahan berat ni. Sama dengan buang sampah.” Takutnya mereka dengan kesalahan membuang sampah.

Walau pun harga rumah di Singapura mahal namun kerajaan mempunyai satu sistem yang efisien dengan rakyat boleh menggunakan wang daripada Central Provident Fund (CPF – sama dengan KWSP di Malaysia) untuk membayar ansuran bulanan rumah.

Rasa selamat tinggal di Singapura

Satu ketika penulis pernah berbual santai dengan sekumpulan pakcik-makcik daripada Singapura yang pulang ke Malaysia selepas baru sahaja bersara. Namun satu perkara yang mengejutkan penulis ialah mereka berkata yang mereka rasa lebih selamat bila berada di Singapura berbanding di Malaysia.

Kata mereka di Singapura lorong-lorong pejalan kaki semuanya terang dan selamat. Tidak ada kawasan yang nampak merbahaya dan menakutkan untuk rakyat berjalan. CCTV berada di merata tempat dan sangat jarang berlaku kejadian samun atau ragut.

Sebenarnya Singapura berjaya mencapai kemajuan dengan mudah ialah kerana selain strategi menuju kemajuan mereka juga berjaya mengatasi isu sosial. Isu sosial seperti kebersihan dan kemudahan asas untuk rakyat akan menjadi motivasi kepada rakyat untuk mendukung hasrat kerajaan. Jadi mereka mencapai kemajuan yang hampir sempurna.

Bagi penulis tidak salah jika kita mengambil apa-apa yang baik daripada strategi yang telah dilakukan Singapura dalam rangka memajukan negara kita. Mengapa tidak?

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah

 

Rencana ini juga disiarkan di ruangan Ekonomi, Harakah cetak bilangan 2625 bertarikh 19 Februari 2021