Home Berita PAS Melaka

Rencana | Bantuan rakyat- antara prinsip sebenar ekonomi dan agenda politik populis.

329
SHARE

Oleh IBNU JANIE

DALAM soal subsidi atau apa sahaja bantuan yang diberi oleh kerajaan yang melibatkan implikasi kos, penulis tetap berpegang pada prinsip bahawa ianya harus bersasar. Itu prinsip asas dalam ekonomi.

Ianya berdasarkan kepada hakikat keterbatasan sumber yang dimiliki oleh kerajaan, maka ia harus digunakan secara cekap. Cekap atau efisien ini bermaksud sumber itu digunakan tanpa pembaziran. Tanpa pembaziran pula bermaksud sumber itu tidak digunakan pada yang tidak perlu.

Baru-baru ini penulis ada menulis satu rencana yang disiarkan Harakah dalam tiga bahagian yang membincangkan panjang lebar tentang masalah kenaikan harga minyak sawit dan subsidi. Dalam rencana itu penulis telah memperincikan cadangan subsidi pulangan tunai secara berperingkat mengikut tahap sosioekonomi rakyat.

Penulis melihat bahawa subsidi dan bantuan yang tidak bersasar adalah satu pembaziran yang dahsyat terhadap wang rakyat. Subsidi yang diberi secara umum dan tidak bersasar ini hanyalah umpama kita menghantar sedekah sekampit beras setiap bulan ke rumah seorang jutawan.

Sekampit beras bagi seorang fakir miskin mungkin menyelamatkan mereka daripada mati kelaparan. Namun sekampit beras bagi seorang jutawan sekadar mengurangkan sedikit belanja mereka untuk membeli makanan, itu saja.

Pada tahun 2012 contohnya, Kerajaan Persekutuan pernah memberi bantuan persekolahan sebanyak RM100 yang diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari tahun 1 hingga tingkatan 5 di seluruh negara tanpa mengira status dengan peruntukan sejumlah RM530 juta.

Bayangkan jika peruntukan itu diberikan kepada mereka yang benar-benar miskin sahaja pasti seorang pelajar miskin dapat sejumlah wang yang lebih besar daripada RM100. Mungkin kita boleh bagi mereka RM500 seorang.

RM100 bagi anak seorang pengurus bank mungkin buat membeli headphone baharu tapi bagi seorang anak miskin mungkin dapat jadi belanja makan mereka di kantin sekolah. Itu pun rasanya tak sampai sebulan.

Sebenarnya hakikat ini memang difahami oleh ahli politik. Tapi mengapa subsidi dan bantuan untuk rakyat ini masih diberi secara tidak bersasar?

Iya, ini adalah kerana ahli politik tidak dapat lari daripada mahu popular. Dan bukan sesuatu yang mudah untuk mengimbangkan antara matlamat populariti ahli politik dengan prinsip sebenar ekonomi ini.

Ada ahli politik yang ingin bertindak mengikut prinsip ekonomi namun dia pula terpaksa berdepan dengan rakyat yang sentiasa menunjukkan kuasanya pula ke atas ahli politik. Betul juga tu.

Itu belum lagi ahli politik batu api yang akan membakar emosi rakyat mendesak kerajaan memberi itu ini. Ini yang kita boleh lihat dalam isu moratorium dan pengeluaran KWSP baru-baru ini.

Jangan main-main, netizen sekarang bukan tak tahu mengira. Ada yang terlebih cerdik pula. Apabila kita letak satu selang ukuran had mereka yang layak menerima bantuan, mereka boleh mempertikaikan sempadannya pula.

Contohnya bila kita kata mereka yang layak adalah pendapatan di bawah RM2000 maka ada yang kata ‘Untunglah yang gaji RM2000. Macam mana yang gaji RM2001? Mereka tentu tak dapat. Pada hal beza RM1 sahaja.’

Kalau macam tu untuk pastikan orang yang gaji RM2001 pun dapat maka kita letaklah sempadan RM2100. Habis tu macam mana dengan yang gaji RM2101? Akhirnya sampai RM10 ribu pun tak jumpa sempadan. Kalau dilayan sampai kiamat tak selesai!

Ada ahli politik busuk yang sengaja menjadi penghasut agar kerajaan memberi berbagai-bagai bantuan secara pukal dan tidak bersasar. Sedangkan hakikatnya pada masa ini kerajaan berada dalam keadaan yang sangat susah.

Mereka memburuk-burukkan konsep ‘bersasar’ untuk mencari populariti. Mereka tahu apa yang mereka lakukan itu boleh menghancurkan ekonomi secara jangka panjang.

Namun nafsu politik mereka untuk jadi hero kepada rakyat yang mungkin dapat membawa mereka ke takhta pemerintahan lebih utama daripada mempertahankan prinsip sebenar ekonomi.

Ahli politik penghasut

Yang lebih teruk lagi apabila ada orang politik yang ada latarbelakang ekonomi pula menghasut rakyat menyongsang daripada prinsip ekonomi.

Ini seperti kejadian baru-baru ini apabila seorang pemimpin sebuah parti mendakwa bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu bukan sesuatu yang penting apabila kerajaan membuat keputusan kewangan negara.

Kesannya mereka merosakkan prinsip yang dibina oleh pakar-pakar ekonomi. Rakyat pula akan percaya kerana orang ini ada ijazah sarjana dalam bidang ekonomi. Tetapi hakikatnya dia hanya menyandarkan latarbelakangnya itu untuk berlaku curang pada ilmu ekonomi itu sendiri.

Penulis melihat kita perlukan masa untuk mendidik rakyat agar benar-benar celik ekonomi supaya mereka dapat memahami mengapa sesuatu polisi ekonomi itu perlu berjalan sebegitu.

Rakyat perlu difahamkan bahawa ekonomi ini mempunyai kitarannya. Ia umpama air paip yang kita guna untuk mencuci yang kemudiannya masuk ke sistem pembentungan. Air kumbahan ini kemudiannya akan diproses semula untuk menjadi air bersih agar boleh digunakan semula.

Rakyat perlu difahamkan bahawa kemampuan kerajaan memang ada hadnya. Kerajaan bukan dapat duit dengan mencetaknya di kilang untuk diberi kepada rakyat. Pendapatan kerajaan adalah daripada hasil cukai dan keuntungan GLC.

Jika kerajaan tidak cukup pendapatan kerajaan kena berhutang. Hutang kerajaan pula ada hadnya. Hutang pula akan sampai masa perlu dibayar. Jika sampai masa itu kerajaan tidak boleh bayar maka negara akan muflis. Masa itu yang susah bukan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet sahaja, tetapi seluruh rakyat seperti yang terjadi di Greece.

Sekiranya pendapat penulis ini tidak disenangi oleh mana-mana pihak yang menimbang dengan neraca emosi apa boleh buat. Penulis hanya bercakap dari sudut ilmu ekonomi yang penulis penat belajar selama beberapa tahun di menara gading dahulu.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Editor Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat.

Rencana ini telah disiarkan di Harakah cetak pada 5 Julai 2021.