Home Berita PAS Melaka

Rencana : ANCAMAN KONGSI GELAP: BENTERAS SINDIKET WARGA ASING SEBELUM TERLAMBAT

1387
SHARE

Oleh : Dr. Azman Yusof

Langkah kerajaan memberi pengecualian visa selama setahun bagi pelancong India dan China dijangka meningkatkan lagi aliran masuk pelancong daripada kedua-dua negara tersebut ke negara ini yang sememangnya sudah sedia tinggi.

Bahkan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan lima juta pelancong dari China dan India melawat negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TM 2020). Kemasukan secara besar-besaran ini sudah pasti memberi impak yang positif kepada ekonomi Negara.

Walau bagaimanapun, laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga tahun lalu amatlah membimbangkan. Menurut laporan itu sepanjang 2016 hingga 2018 data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) didapati 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

Penulis tidak pasti apakah punca sebenarnya. Namun, daripada laporan tersebut juga menyatakan wujudnya kelemahan dalaman yang serius dalam pelaksanaan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) dan Sistem Imegresen Malaysia (MyIMMs) ketika proses di pintu masuk.

Dakwaan ini adalah sesuatu yang sangat serius. Kerajaan haruslah mengambil tindakan segera dengan membuat siasatan yang menyeluruh. Tangguhkan dahulu pengecualian visa sehingga kelemahan tersebut dapat di atasi.

Menurut Ahmad Amzad Hashim, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana dalam tempoh hampir tiga bulan sebanyak empat sindiket membabitkan warga China telah dibongkarkan oleh pihak berkuasa. Namun, sehingga kini, dalang yang membawa masuk dan mengumpulkan warganegara China ini untuk melakukan operasi jenayah di Malaysia masih belum dikenal pasti.

Kebimbangan ini ada asasnya. Suatu masa dahulu, Tanah Melayu pernah menghadapi kacau bilau angkara aktiviti kongsi gelap cina akibat daripada kemasukkan warga asing secara beramai-ramai. Belajarlah daripada sejarah jika tidak mahu pisang berbuah dua kali. Bertindaklah sebelum terlambat.

Menurut The Shorter Oxford English Dictionary on Historical Principles kongsi gelap ialah kumpulan yang ditubuhkan untuk melakukan sesuatu perkara atau kegiatan secara rahsia. Kegiatan kongsi gelap ini pada awalnya bermula dari negara China. Matlamat utama penubuhan kongsi gelap ketika itu adalah untuk menggulingkan pemerintahan Dinasti Ching bagi menggantikan Dinasti Ming pada tahun 1386 hingga 1644.

Kemunculan kongsi gelap Cina di Tanah Melayu adalah seiring dengan kemasukan orang-orang Cina dalam sistem sosial di Tanah Melayu selepas tahun 1870. Perkembangan ekonomi di Tanah Melayu yang berkembang pesat telah membawa kepada kemasukan beramai-ramai buruh dari negara China.

Kehadiran mereka ini turut membawa masuk sekali kegiatan kongsi gelap yang pernah diamalkan di negara asal. Hal ini kerana, kongsi gelap ini dianggap sebagai sebuah pertubuhan yang mempunyai kepentingan untuk membela nasib buruh Cina di Tanah Melayu.

Di Tanah Melayu, terdapat dua kumpulan kongsi gelap yang besar, iaitu Kongsi “Daerah Empat” (See Kwan: Sin Neng, Sin Whee, Seow Keng, Whee Chew) atau dipanggil Ghee Hin (Kemakmuran yang Berkebajikan). Satu lagi kumpulan yang terkenal ialah “Kongsi Daerah Lima” (Go Kwan: Cheng Sia, Poon Say, Soon Tek, Lam Hye, Tong Quan) atau lebih dikenali sebagai Hai San atau “Toh Peh Kong” (Laut dan Darat). Kongsi gelap Ghee Hin biasanya dianggotai oleh orang-orang Canton, manakala Hai San pula dianggotai oleh orang-orang Hakka.

Pada awalnya, kongsi gelap ini adalah sebuah organisasi yang seakan-akan bercirikan keagamaan dan mempunyai tujuan yang mulia iaitu untuk membela nasib buruh Cina di Tanah Melayu. Kemudian, peranannya bertukar menjadi tempat perlindungan atau pergantungan bagi sesuatu puak.

Oleh kerana orang-orang Cina datang dari pelbagai kawasan dan tempat, maka banyak kumpulan kongsi gelap telah ditubuhkan. Pertubuhan ini dikatakan saling bertentangan dan bermusuhan di antara satu sama lain bagi menunjukkan kekuasaan masing-masing.

British kemudianya mengambil langkah membasmi kegiatan kongsi gelap Cina dengan memperkenalkan Ordinan Persatuan-Persatuan Merbahaya. Ordinan ini mula diwujudkan pada tahun 1882 iaitu selepas ketidakberkesanan Sistem Pendaftaran dan Pengawalan Kongsi Gelap Cina 1878. Di bawah sistem ini, rakyat British dilarang menyertai persatuan yang diisytiharkan sebagai berbahaya iaitu kongsi gelap Cina. Hal ini kerana ada segelintir rakyat British yang terlibat malah turut menjadi ketua kongsi gelap.

Walau bagaimanapun, langkah ini dilihat kurang membuahkan hasil yang diingini. Kegiatan kongsi gelap Cina dilihat masih terus bergerak aktif dan seringkali mencetuskan perbalahan. Keadaan ini bukan saja telah menggugat keselamatan orang awam malah pihak kerajaan kolonial juga turut merasakan hal ini berada di tahap yang membimbangkan.

Pada tahun 1885, kerajaan British telah memperkenalkan Sistem Pendaftaran Kongsi Gelap Cina. Pihak pendaftar mengisytiharkan bahawa persatuan kongsi gelap Cina itu adalah haram bagi sesiapa yang ingin menyertainya. Walau bagaimanapun, langkah ini tidak berkesan dalam mengawasi peningkatan keahlian kongsi gelap Cina.

Langkah seterusnya ialah melalui penubuhan Ordinan Kongsi Gelap Cina 1888. Ordinan ini diadakan kerana ordinan sebelumnya iaitu Sistem Pendaftaran dan Pengawalan Kongsi Gelap Cina 1878, Ordinan Persatuan-Persatuan Merbahaya 1882 dan Sistem Pendaftaran Kongsi Gelap 1885, gagal memainkan peranannya dalam membanteras kegiatan kongsi gelap Cina secara menyeluruh.

Pada tahun 1889, Gabenor Sir Cecil Clementi Smith telah memperkenalkan Ordinan Persatuan. Setelah Ordinan ini diperkenalkan, semua kongsi gelap Cina diisytiharkan tidak sah lagi di sisi undang-undang. Sebahagian besar ahli kongsi gelap Cina telah dihalau keluar dari Tanah Melayu oleh kerajaan kolonial. Pada masa itu, semua persatuan harus berdaftar semula di bawah nama persatuan yang berbentuk rekreasi, dermawan, agama dan budaya.

Ordinan ini berkesan kerana banyak kongsi gelap Cina mula menyusun semula aktivitinya secara sah disisi undang-undang serta berbentuk persatuan kebajikan. Kumpulan kongsi gelap perlu mendaftar dengan pendaftar persatuan supaya aktiviti jenayah mereka dapat dibendung dalam kalangan masyarakat Cina.

Tindakan Smith itu telah ditentang oleh Pickering, Dunlop (Inspektor General Polis) dan ahli-ahli tidak rasmi Majlis Perundangan Negeri-negeri Selat. Namun begitu, Smith berjaya mendapat sokongan dari Lord Knutsford yang merupakan Setiausaha Negeri Tanah bagi Tanah Jajahan sewaktu melaksanakan Rang Undang-Undang Kawalan dan Tindakan Keras terhadap kongsi gelap Cina.

Rang Undang-Undang ini diperkenalkan pada 11 Januari 1890. Di bawah rang Undang-Undang ini semua kongsi gelap secara automatiknya menjadi haram. The Governor in Council yang bertindak melalui ‘pelindung’ orang-orang Cina diberi kuasa untuk mengenakan perintah pembuangan negeri ke atas orang-orang Cina yang dilahirkan di negara China sekiranya terlibat dengan kegiatan kongsi gelap. Tindakan akan diambil untuk menghapuskan persatuan-persatuan yang dianggap berbahaya dan boleh menggugat keamanan negara.

Akhirnya, Sir Cecil Clementi Smith telah menubuhkan Badan Penasihat Cina pada tahun 1890 untuk mengisi kekosongan tersebut. Badan ini terdiri daripada ahli-ahli yang dipilih oleh kerajaan dari semua peringkat komuniti Cina. Badan ini berfungsi untuk memberi nasihat dan bantuan kepada kerajaan dalam semua hal yang berkaitan dengan orang-orang Cina dan mengemukakan pendapat mereka mengenai langkah-langkah baru yang bakal diperkenalkan oleh Gabenor.

Pada tahun 1892, Ordinan Persatuan-Persatuan Merbahaya diperkenalkan semula. Kewujudan Ordinan Persatuan-Persatuan Merbahaya 1892 dilihat berjaya memberi pengawasan yang lebih berkesan ke atas pergerakan kongsi gelap. Walaupun kongsi gelap Cina yang wujud pada tahun 1902 tidak mengancam keamanan negara, namun Jabatan Perlindungan sentiasa berwaspada dengan mengadakan pengawasan berkala supaya kegiatan ini dapat dikawal.

Pihak British mengambil langkah membuang negeri ke atas orang-orang Cina sekiranya mereka menggerakkan kembali kegiatan ini. Cara ini memberi tekanan kepada kongsi gelap Cina memandangkan hukuman pembuangan negeri merupakan suatu perkara yang amat ditakuti.

Hal ini kerana kerajaan di negara China sering menangkap mereka yang terlibat dengan kegiatan ini dan menjatuhkan hukuman mati atau buang negeri. Pengawasan yang kerap oleh Jabatan Perlindungan dan penumpasan kongsi gelap Cina beroleh kejayaan dan kegiatan kongsi gelap berjaya dikawal.

Selepas Perang Dunia Kedua, kegiatan kongsi gelap Cina dilihat mulai lenyap. Walau bagaimanapun, adalah tidak benar untuk mengatakan bahawa kongsi gelap Cina telah berjaya dikawal atau dihapus sepenuhnya. Kegiatan tersebut dipercayai masih wujud hingga kini. Biarpun format dan pendekatannya mungkin berbeza, tetapi tetap memberi ancaman yang serius kepada keselamatan negara.

Oleh sebab itu, dalam keghairahan menerima kadatangan pelancong asing ke negara ini kerana faktor ekonominya, kerajaan juga perlu pastikan kepulangan mereka ke negara asal masing-masing. Dalang sendikit warga asing perlu dibenteras ke akar umbi dan dikenakan hukuman yang keras jika didapati terbabit sebagaimana yang berlaku dalam sindiket penjualan MyKad di Pulau Pinang.
.
Penulis ialah AJK Dewan Ulama PAS Negeri Melaka