Home Berita PAS Melaka

Komen Editor Melaka : PRK KIMANIS DUA PENJURU – LALUAN MAKIN SUKAR BUAT WARISAN-PH

775
SHARE

BUKAN satu perkara biasa dalam mana-mana pilihanraya di Sabah kita boleh jumpa pertandingan satu lawan satu. Ada, tapi jarang berlaku.

Dalam PRU14 yang lepas daripada 60 kerusi DUN Sabah, hanya dua kerusi sahaja yang melibatkan pertandingan dua penjuru iaitu N45 Elopura dan N53 Senallang. Dan daripada 60 kerusi DUN itu pula 46 kerusi melibatkan pertandingan empat penjuru dan lebih.

Sementara itu daripada 25 kerusi parlimen pula hanya satu kerusi saja yang melibatkan satu lawan satu iaitu P186 Sandakan. Dan 16 dari 25 kawasan parlimen itu pula melibatkan pertandingan empat penjuru atau lebih. Ini bermakna jarang-jarang kita boleh jumpa pertandingan satu lawan satu di Sabah.

Di Sabah ada banyak parti-parti politik tempatan. Selain parti-parti utama seperti Warisan-PH, BN dan PAS ada beberapa lagi parti politik tempatan yang bersedia untuk bertanding dalam mana-mana pilihanraya di Sabah.

Parti-parti itu ialah GBS, PKS, PPRS, PHRS, PCS, SAPP dan PKAN. Semua parti-parti ini sentiasa berusaha mencuba nasib untuk menjadi wakil kepada rakyat Sabah.

GBS (Gabungan Bersatu Sabah) yang merupakan gabungan PBS dan Sabah STAR juga kuat pengaruhnya. PBS memiliki lima kerusi dalam DUN Sabah. Parti yang pernah dipimpin Pairin Kitingan dan kini telah keluar BN ini pun berpotensi untuk meletakkan calon di situ. Begitu juga parti Sabah STAR pimpinan Jeffrey Kitingan yang memiliki tiga kerusi DUN.

Hakikatnya politik Sabah juga banyak diwarnai oleh pengaruh tokoh-tokoh besar. Seseorang tokoh itu biasanya di belakangnya ada pengikut yang ramai. Kejayaan Shafie Abdal di Sabah bersama parti Warisannya pun memang banyak disumbangkan oleh pengaruh peribadi dan ketokohannya.

Datuk Seri Anifah Aman yang merupakan bekas ahli parlimen Kimanis adalah merupakan tokoh berpengaruh di situ. Beliau telah mengumumkan keluar UMNO pada 19 September 2018 tidak sampai 24 jam dari Datuk Seri Mustapa Mohamed. Walau pun ada ura-ura akan masuk Bersatu namun sehingga sekarang beliau masih berstatus bebas.

Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin yang telah diberikan kuasa autonomi untuk UMNO Sabah telah menggunakan diplomasi dengan memujuk Anifah agar bertanding sekali lagi dengan tiket BN.

Ini bagi mengelakkan berlakunya pertandingan antara UMNO dan Anifah Aman. Jika ini berlaku, penyokong Anifah yang dulu mengundi BN akan menyebabkan undi BN terpecah dan Warisan-PH akan menang.

Warisan-PH sememangnya berharap ada pertandingan lebih dari dua penjuru. Mereka mahu undi terpecah. Ia akan memberi kelebihan kepada Warisan. Lebih-lebih lagi jika Anifah bertanding sebagai calon bebas. Tentu Shafie Abdal melompat kegembiraan.

Anifah walau pun menolak untuk bertanding mewakili BN sekali lagi namun beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding langsung dalam PRK ini. Menurut media-media pro BN, Anifah malah menyatakan sokongan kepada calon BN. Ini berita buruk buat Warisan-PH.

PH baru kalah teruk di PRK Tanjung Piai. Ia dikatakan kekalahan paling teruk pernah diterima oleh parti pemerintah dalam sejarah Malaysia, atau mungkin juga di dunia!

Sehingga kini sudah sembilan PRK berlangsung. Daripada sembilan PRK itu asalnya PH ada tujuh kerusi sementara BN dua kerusi. Lepas selesai kesemua sembilan PRK ini, BN kini memiliki empat kerusi dan PH tinggal lima kerusi.

BN rampas dua kerusi PH tapi PH tidak dapat merampas walau satu pun kerusi BN. PH malah hilang dua kerusi, BN tidak hilang walau satu pun kerusi.

Mood rakyat yang mula meluat dengan PH sebenarnya memudahkan laluan BN untuk menang. Kesediaan Anifah untuk tidak bertanding tambah memudahkan lagi laluan BN.

Bila parti-parti pembangkang tempatan yang lain turut memberi laluan kepada BN maknanya Warisan-PH betul-betul dalam bahaya.

Jika Warisan-PH kalah teruk juga kali ini, PH pasti fikir lapan kali untuk teruskan petisyen pilihanraya Parlimen Jasin di Melaka. Kita tengok keputusannya nanti.

IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka