Home Artikel PAS Melaka

Rasulullah SAW pengatur lanskap dunia teragung – Tuan Guru Zulkifli Ismail

592
SHARE

Oleh : Kamil Saufee

TANGGA BATU, 2 Ogos : “Tanggungjawab mengatur dunia ini berlandaskan perintah Allah hanya mampu dilaksana oleh Rasulullah SAW dengan dibantu oleh para Sahabat RA,”

Demikian dinyatakan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail, semasa menyampaikan kuliah duha pra-penyembelihan korban Majlis Tindakan DUN (MTD) PAS Paya Rumput di sini hari ini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Melaka turut berkongsi ibrah dari kisah Nabi Ibrahim dalam mentaati perintah Allah SWT bukan setakat dalam hal berkaitan korban, malahan dalam hal membangunkan Ka’abah dan mentadbir keluarga.

Beliau juga turut menyeru agar ibadah korban ini dipandang serius oleh semua sebagai cara untuk menghakis sifat cinta dunia dan tidak memandang kepada nikmat dunia.

Majlis yang saban tahun telah dianjurkan oleh MTD Paya Rumput ini turut dihadiri oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin.

Bakri dalam ucapan aluannya mengucapkan tahniah kepada AJK MTD Paya Rumput di samping mempromosi kuliah Tuan Guru Zulkifli Ismail di dalam Kawasan Tangga Batu.

Dalam majlis yang sama juga, beliau juga telah menyampaikan sedikit sumbangan berupa wang ringgit kepada seorang asnaf yang isterinya terlantar di CCU Hospital Melaka menderita masalah buah pinggang.

Sebanyak empat ekor lembu dan seekor kambing telah dikorbankan dalam majlis dihadiri seramai 200 orang termasuk petugas.

Daging korban telah diagihkan kepada cawangan-cawangan di dalam DUN Paya Rumput termasuk juga kepada guru-guru PASTI.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)