Home Berita PAS Johor

Ramadan bulan perpaduan – Ahmad Nawfal

176
SHARE

Oleh YUHANIS MOHD ARIS

KLUANG , 24 Apr : Ramadan merupakan antara platform bulan terbaik bagi memujudkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Demikian dikatakan Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz sewaktu program Kongsi Rezeki edaran bubur lambuk di Markaz PAS Simpang Renggam, semalam.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda Perikatan Nasional Johor berkata, usaha perpaduan terutamanya dalam kalangan generasi muda perlu dimanifestasikan dalam pelbagai cara terutamanya di dalam bulan yang mulia ini.

“Pihak kami memilih untuk bekerjasama menyediakan sendiri bubur lambuk yang akan diedarkan bagi benar – benar merasai erti berkongsi setelah berpenat lelah merewang di pagi hari” jelasnya.

Jelas Nawfal, pihaknya turut bersyukur dengan komitmen semua petugas dan sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat. Malah ada orang tempatan yang sukarela membantu mengedarkan bubur lambuk yang telah siap ke kampung berdekatan.

Sementara itu, Pengarah Ameerah Negeri Johor, Nik Nor Nadhirah Nik Ismail berkata, kerjasama antara Ameerah Johor dan Pemuda Johor ini juga telah berjaya menyediakan 1000 bungkus bubur lambuk untuk diagihkan di sekitar Markaz Pas Simpang Renggam.

Beberapa lokasi tumpuan orang ramai seperti masjid, surau dan 3 bazar berdekatan iaitu Bazar Kampung Baru, Bazar Taman Harmoni dan Bazar SMK Dato’ telah dipilih bagi edaran bubur lambuk tersebut.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Johor, Iqbal Ghani Ismail, Setiausaha Ameerah Johor, Nurul Syakirah Asli dan Ketua Ameerah Simpang Renggam, Noor Tasnim Mohd Syeh.