Home Berita PAS Kedah

Rakyat Kedah makin faham pentingnya vaksinasi COVID-19

148
SHARE

POKOK SENA – Exco Penerangan Kerajaan Negeri, Wan Romani Wan Salim telah mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, di sini hari ini.

“Sambutan masyarakat sangat memberangsangkan dan kian meningkat, ini memberi petanda bahawa kempen kerajaan ke arah kepentingan mengambil vaksin telah menunjukkan hasil.

“Rata-rata penerima vaksin yang saya temui hari ini, menyatakan mereka berasa yakin dan tidak takut untuk menerima suntikan.

“Kebanyakan rakyat telah menyedari peri pentingnya usaha untuk divaksinkan bagi memutuskan rantaian covid19 ini,” katanya ketika ditemui.

Menurut Pembantu Tadbir Bilik Gerakan Hospital HSB, Hazariah Khazali, sambutan luar biasa dari warga Kedah sehinggakan pihak PPV terpaksa menghadkan jumlah penerima vaksin harian.

Tambahan beliau, staf bertugas di PPV itu ialah seramai 60 orang, dengan kekangan ruang dan fasiliti semasa, pihaknya hanya mampu menerima maksimum 600 penerima vaksin sahaja bagi sehari.

Turut menyambut rombongan lawatan Wan Romani ialah Timbalan Pengarah (Pengurusan) HSB, Wan Ahmad Fazli Wan Khamis dan Ketua Penyelia HSB, Mohd Subhi Abdul Ghani.

Turut hadir bersama dalam lawatan ini Pegawai Khas Exco Penerangan, Firdaus Salleh dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Pokok Sena, Ustazah Siti Mekiah Shamsuddin.

Sebagai tanda penghargaan kepada para petugas, Wan Romani turut menyampaikan sedikit sumbangan peribadi berjumlah RM1,000 dan pek makan tengahari disediakan Muslimat PAS Pokok Sena kepada pihak pengurusan Bilik Gerakan Bencana.

“Saya menyeru orang ramai yang masih belum mendaftar untuk segera mendaftarkan diri anda dan keluarga melalui aplikasi MySejahtera bagi kita bersama-sama mencegah penularan COVID-19.

“Bagi mereka yang sudah mendaftar harap bersabar menunggu giliran anda,” kata Wan Romani yang juga ADUN Bukit Pinang