Home Berita PAS Kelantan

Rakyat diseru waspada, amaran banjir paras bahaya

72
SHARE

KOTA BHARU, 11 Dis: Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob menyeru semua rakyat Kelantan berwaspada ekoran laporan keadaan air di Sungai Golok, Rantau Panjang berada di paras 9.57 meter iaitu 0.57m di atas paras bahaya.

Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan pada skala buruk apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 milimeter dalam tempoh 6 jam.

“Mengikut METMalaysia berdasarkan analisis model-model cuaca, angin timuran kencang dijangka bertumpu di pantai timur dan utara Semenanjung sehingga 11 Disember 2022. Keadaan ini berpotensi menghasilkan hujan berterusan di kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, rekod melaporkan trend air semakin menaik pada pukul 9.30 malam, semalam. Manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat mencatat 84 keluarga kini berada di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Tok Deh, Rantau Panjang.

Oleh itu, beliau menyeru rakyat di Kelantan dan di negeri berkaitan supaya berhati-hati dan berjaga-jaga dengan segala kemungkinan serta bersiap sedia mengikut arahan pihak berkuasa.