Home Berita PAS Kelantan

Projek struktur tebing Pohon Celagi 87 peratus siap

139
SHARE

PASIR MAS, 5 April: Projek pelaksanaan segera menangani bencana runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi yang bermula pada 4 Ogos 2021 sudah pun mencapai status 87 peratus siap pada minggu ke-33, kemas kini pada 3 April lalu.

Projek bernilai RM45 juta yang dijangka siap pada 3 Mei 2022 itu diluluskan Kerajaan melalui Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA) melibatkan kerja-kerja pemasangan struktur penstabilan tebing sungai menggunakan lapisan batu dan pengerukan sungai.
Manakala proses pembinaan semula melibatkan benteng banjir (flood wall), rumah pam dan sistem saliran, longkang serta jalan perhubungan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Ahmad Fadhli Shaari berterima kasih kepada pihak KASA dan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Kelantan atas kecekapan pelaksanaan projek yang berfungsi untuk mengelak runtuhan tebing, mengatasi bencana sungai dan banjir demi manfaat rakyat tempatan.

“Alhamdulillah, pada petang 31 Mac lalu, saya bersama YB Dato’ Hanifa Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir mengiringi YB Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri KASA membuat tinjauan perkembangan pembinaan benteng tebing sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi. Kami berpuas hati dengan kelancaran dan mutu kerja kontraktor. Pemantauan teliti pihak JPS juga amat cermat dan wajar dipuji,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau juga menjelaskan projek tersebut melibatkan kos pengambilan tanah 2.3 ekar bernilai RM11.2 juta. Di samping 38 lot tanah, bangunan dan rumah yang sudah pun selesai dibayar pampasan.