Home Berita PAS Pahang

Tinggal sehelai sepinggang

169
SHARE

Oleh: HASLILAWATI ABDULLAH

KUALA KRAU, 6 Apr :: “Saya bersama dua orang anak dan seorang adik tak dapat nak selamatkan apa-apa harta benda dan keperluan pun semasa api sedang marak menjilat rumah kami,” kata mangsa kebakaran Ahmad Mazlan Mat Adam 49 tahun di Felda Jengka 14 semalam.

“Saya sangat sedih dan terkilan kerana tidak mampu berbuat apa-apa dan sekarang kami hanya tinggal sehelai sepinggang,” luahan rintihan beliau kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Jengka, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim yang menziarahinya.

“Semoga keluarga mangsa bersabar di atas ujian Allah SWT ini dan Allah gantikan dengan yang lebih baik. Apa yang berlaku ada hikmah disebaliknya,” ujar Ustaz Shahril sewaktu menyampaikan sumbangan bantuan awal kepada Ahmad Mazlan pagi ini.

Hadir bersama mengiringi Ustaz Shahril ialah Engku Nurzaman Engku Mohamad, Ketua Cawangan PAS Jengka 14 Muhammad Yusri Mamat dan Ketua Peneroka J.14 Arifin Abd Wahab.

Buat masa ini Ahmad Mazlan dan keluarga ditempatkan di rumah jiran sebelah. Beliau amat berterima kasih kepada jiran yang banyak membantu semasa beliau di dalam kesempitan.

Semalam Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jengka Raja Mohd Arif Raja Shamsuddin yang tiba pada jam 2.18 petang menjelaskan telah menerima laporan berkenaan kebakaran tersebut namun hanya dapat menyelamatkan 30 peratus sahaja manakala yang lain telah hangus terbakar.

Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan kebakaran disyaki berpunca dari litar pintas pendawaian elektrik yang berusia lebih 30 tahun yang masih digunapakai.