Home Berita PAS Kelantan

Projek pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau tetap diteruskan

197
SHARE

TUMPAT, 24 Jan: Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri YB Wan Roslan Wan Hamat memaklumkan, Projek Pembinaan Stadium Bukit Merbau tetap diteruskan mengikut jadual yang telah dipersetujui sebelum ini.

Pembinaan projek tersebut dijangka bermula awal tahun 2023.
Tambahnya, pembukaan tender bagi pembinaan stadium itu telah pun ditutup awal bulan lalu dan kini menunggu keputusan pihak Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan untuk memilih petender yang berjaya.

“Kita menjangkakan pembinaan stadium ini akan siap sepenuhnya pada hujung tahun 2025, maknanya tujuh bulan sebelum itu sudah pun siap sebagai persediaan untuk edisi SUKMA di negeri ini pada 2026. Kompleks sukan yang kita bina ini mempunyai banyak kemudahan lain seperti bilik persalinan, bilik rawatan, surau dan gymnasium dan lain-lain,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Futsal Anak Perantau di Kampung Jejulok, semalam.

Terdahulu, projek pembinaan itu adalah komitmen di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam membangunkan kemudahan khususnya kepada rakyat Kelantan bagi mengekalkan budaya gaya hidup sihat dalam masyarakat.

Dalam pada itu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM256 juta untuk pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau melalui beberapa komponen kemudahan.

Antaranya, Stadium Utama berkapasiti 20,000 penonton merangkumi padang bola sepak dan trek olahraga, Arena Tertutup yang boleh memuatkan 1,000 penonton dengan gelanggang pelbagai guna, Stadium Hoki dengan astaka yang berkapasiti 500 penonton serta 2 buah padang dan Pusat Skuasy dengan kapasiti 100 penonton dengan 8 gelanggang skuasy dan 1 gelanggang skuasy mudah alih.

Selain itu juga Gelanggang Lawn Bowl berbumbung dengan kapasiti 200 penonton dengan dua gelanggang lawn bowl dan lapang sasar menembak berkapasiti 100 penonton dengan kemudahan Indoor Shooting – 30 meter (30 lorong), dan Outdoor Shooting 25 meter dan 50 Meter (15 lorong) .