Home Berita PAS Kelantan

Projek BSF bantu lupuskan sisa organik, lestarikan alam

35
SHARE

TANAH MERAH, 17 April: Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan peruntukan RM 2.94 juta bagi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi di bawah Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) kepada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan telah diluluskan.

Menurutnya, Projek Pengurusan Sisa Lestari Black Soldier Fly (BSF) yang dilaksanakan Majlis Daerah Tanah Merah ialah projek pertama PBT Negeri Kelantan yang dibiayai oleh GeRAK.

β€œBlack Soldier Fly adalah spesis lalat, anugerah Allah untuk membantu melupuskan pelbagai jenis sisa buangan organik harian dan larva yang dihasilkan mampu menjadi makanan ternakan kepada ikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Projek Pengurusan Sisa Lestari Black Soldier Fly (BSF) di Tapak Pasar Borong Tanah Merah, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata projek tersebut mampu meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan sampah dengan berkurangnya bahan buangan serta dapat memelihara sumber alam semula jadi dan mengurangkan pencemaran alam.

“Seterusnya, dapat memberi manfaat kepada kira-kira 27 ribu penduduk Bandar Tanah Merah dan sekitarnya. Manakala, anggaran potensi pengurangan karbon mencecah 1,070 tan karbon dioksida setara setahun bersamaan dengan nilai penyerapan karbon dalam setahun oleh 26,750 pokok teduhan yang telah matang,” jelasnya.

Beliau diringi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Timbalan Speaker yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Panau, YB Dato’ Abdul Fattah Mahmood.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) Kementerian Alam Sekitar dan Air, Noor Afifah Abdul Razak , Yang Dipertua, Majlis Daerah Tanah Merah, Mohammad Yusoff Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor dan Pengurus Besar Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd (KUMH) Dr Roshdi Hassan.