Home Berita PAS Kelantan

Projek baik pulih tebing sungai di Pohon Celagi, lancar

125
SHARE

Oleh SUHAIZI KADIR

PASIR MAS, 10 Ogos: Projek baik pulih tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, di sini, yang runtuh pada 17 Februari lalu telah bermula pada 5 Ogos lepas.

Kenyataan itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang turut menjangkakan projek itu bakal siap pada 5 November kelak.

“Keseluruhan projek ini menelan belanja RM65 juta termasuk bayaran pampasan tanah dan bangunan kepada pemilik tanah yang terlibat”, katanya ketika mengiringi Menteri di Jabatan Menteri (Ekonomi), Dato Sri Mustapa Mohamed ke Lawatan Kerja Tapak Projek Pelaksanaan Segera Menangani Bencana Runtuhan Tebing Sungai Kelantan, baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, projek ini melibatkan empat komponen; pertama mengorek pasir di seberang sungai lebarnya 50 meter, kedua kerja-kerja meletakkan batuan di sebelah kawasan Pasir Mas sekitar 500 meter, ketiga membina benteng setinggi dua meter dan keempat projek mengorek sungai di sekitar runtuhan.

Sehubungan itu, Dato’ Sri Mustapa sangat berharap agar kerja-kerja ini mampu disiapkan dalam masa tiga bulan atau sebelum 5 November bagi mengelakkan masalah pada musim tengkujuh.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan yang juga Ahli Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir, YB Dato’ Hanifa Ahmad dan wakil agensi Kerajaan Pusat dan Negeri yang terlibat.