Home Berita PAS Melaka

Program PPV Masjid Tun Khalil – sasaran 420 dos vaksin tercapai

63
SHARE

Oleh SITI HAJAR

JASIN, 1 Ogos : “Alhamdulillah hari ini kita berjaya memberi 420 dos vaksin kepada penerima vaksin dan saya berharap agar kita dapat melaksanakan lagi program sebegini.

“Dan harapnya program ini mencakupi jumlah penerima vaksin yang lebih ramai pada masa akan datang, sebab kita tahu bahawa vaksin sekarang ini merupakan satu-satunya harapan untuk kita kembali kepada tahap wabak yang lebih terkawal.”

Demikian dinyatakan Pengurus Pentas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Tun Khalil, Dr. Mohd Hilmi Senin, ketika menyampaikan pesanan dan harapan dalam Program Outreach PPV Masjid Negeri Melaka, di sini, semalam.

Pengurus Pentas PPV Masjid Tun Khalil, Dr. Mohd Hilmi Senin

Tambah beliau, dari hari ke hari jumlah kematian semakin meningkat serta banyak kes pesakit mengalami komplikasi akibat daripada wabak Covid-19 menyebabkan beliau terpanggil untuk menyeru masyarakat mengambil suntikan vaksin.

“Kepada masyarakat yang tidak lagi memberi nama untuk divaksin, bolehlah memberi nama dan mendaftar dengan Jawatankuasa Masjid Asahan supaya kita boleh memberikan vaksin kepada mereka pada masa yang akan datang.

“Dan saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung untuk menjayakan program vaksin hari ini,” ujar beliau.

Untuk rekod, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Negeri Melaka merupakan penganjur utama Program Outreach PPV Masjid Negeri Melaka dengan kerjasama beberapa buah jabatan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

NGO dan jabatan yang terlibat itu ialah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Protect Health Corporation, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM), Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) Kampung Asahan serta pelbagai NGO doktor dan jururawat swasta.