Home Rencana PAS Pahang

RENCANA | 11 tip pergaulan yang memberi impak ramainya kawan

10990
SHARE

Oleh: FARIDAH KAMARUDDIN

Manusia, masing-masing mempunyai perwatakan yang berbeza-beza. Perwatakan terbentuk oleh kebiasaan, keadaan sekeliling, keturunan dan pengalaman hidup.

Setiap individu memiliki daya kemampuan yang berbeza-beza dalam berinteraksi. Ada yang memang semula jadinya pandai bergaul, namun ada juga yang pemalu dan terbatas dalam pergaulan.

Bagi seseorang yang pandai bergaul, tentunya sangat mudah baginya untuk mendapatkan kawan-kawan dari orang di sekelilingnya.

Jadi bagaimana jika anda seorang yang pemalu dan tertutup dalam pergaulan? Apa yang akan anda lakukan?

Cuba ikuti tip cara pergaulan ini agar kita disukai dan dapat mempunyai kawan-kawan yang ramai:

1. Belajar Menerima Diri Sendiri

Anda harus belajar menerima hakikat siapa diri anda. Bukankah setiap orang termasuk anda mempunyai kelebihan dan kekurangan? Jika anda hanya terus melihat pada kekurangan-kekurangan yang ada dalam diri anda, akibatnya anda akan diselubungi dengan perasaan-perasaan negatif dan hilang keyakinan diri.

Misalnya:

  • merasa tidak dihargai
  • merasa tidak diterima
  • merasa diri tak sesempurna orang lain

dan sebagainya.

Padahal perasaan itu mungkin, hanya sekadar perasaan anda yang anda cipta sendiri, yang seolah-olah anda menghina diri sendiri dan merasai diri sendiri tidak berguna.

Jadi anda kena menerima siapa diri anda yang Allah SWT ciptakan sebagai sebaik-baik umat dan di beri akal.

2. Bergaul Dengan Niat Baik

Anda mesti ingat, bahawa di saat awal pergaulan atau perkenalan anda dengan seseorang, mesti dimulakan dengan niat yang baik semata-mata kerana Allah SWT. Pilihlah kawan-kawan yang mempunyai ciri-ciri seorang kawan yang baik dan tulus.

Jika anda memulai dengan niat yang baik dan ikhlas kerana Allah SWT, siapa sahaja yang anda pilih sebagai kawan maka anda akan terima mereka dengan kasih sayang. Seandainya ada berlaku sesuatu yang tidak baik dalam hubungan itu, sudah pasti anda tidak akan berlaku zalim terhadap mereka.

Anda juga mesti berhati-hati mencari kawan. Tentunya kawan yang tidak akan dapat mempengaruhi atau menjerumuskan anda ke dalam tingkah laku yang bercanggah dengan nilai syariat dan perjuangan Islam.

3. Perluas Ruang Lingkup Pergaulan Anda

Dalam kehidupan, kita harus memperluas ruang lingkup pergaulan. Jika pada mulanya aktiviti pergaulan anda hanya sekadar berjumpa kawan-kawan di dewan-dewan kuliah pengajian atau di majlis-majlis keramaian, cuba lakukan sedikit kepelbagaian aktiviti dalam hidup anda.

Contohnya:

  • Mungkin anda boleh menghubungi kawan-kawan  lama yang selama ini anda abaikan dan lupakan karena kesibukan.
  • Anda ajak mereka bertemu di kafe atau di mana-mana tempat yang sesuai untuk sembang-sembang santai hal kehidupan anda selepas lama tidak berjumpa.
  • Atau anda boleh mengikuti persatuan-persatuan baik offline mahupun online yang memiliki kesamaan dengan anda dalam minat dan hobi seperti mengikuti usrah, kuliah-kuliah agama, kelas tajwid, memasak, penulisan, senaman dan macam-macam lagi.

Yang pentingnya, perluaskan aktiviti pergaulan anda. Cubalah membina  hubungan yang baik dengan seramai-ramai orang sehingga anda memiliki ramai kawan dan kenalan yang mampu berkongsi pengalaman. Bahkan berkongsi info yang bermanfaat dan memperluaskan rangkaian kerja dakwah anda untuk mengajak seramai mungkin orang untuk mengenal Tuhannya dan kembali kepada Allah SWT.

Jika di tahap ini anda tidak mengalami kesulitan, maknanya anda mulai bersedia membuka diri dan memperbaiki cara pergaulan anda. Anda mesti ingat, kuatnya Islam kerana kuatnya hubungan ukhwah di kalangan umatnya.

4. Senyum

Cara pergaulan yang baik sesama kawan sebaya atau sesiapa sahaja kawan anda adalah dengan selalu bersikap ramah mesra dan murah senyum.

Sering tersenyum akan memberi kesan besar yang kita adalah orang yang mudah didekati dan mudah diajak bersembang.

Selalu tersenyum juga merupakan ciri-ciri orang yang baik hati dan disenangi orang lain. Karena itu, usahakanlah untuk selalu nampak ramah mesra, terbuka serta mudah didekati agar ramai orang yang ingin bergaul dengan anda.

5. Jadilah Pendengar Yang Baik

Tahukah anda bahwa sebenarnya setiap orang suka didengari cerita hatinya dan kisah hidupnya? Namun sayangnya, tak semua orang suka menjadi pendengar yang baik.

Pendengar yang baik tidak hanya mendengarkan, namun juga turut merasakannya secara peribadi seakan-akan dia sendiri yang mengalaminya. Pendengar yang baik selalu menghargai orang lain dan memberi apa yang diperlukan oleh orang lain.

Tak hairanlah jika pendengar yang baik ini akan menjadi kesukaan dan dicari-cari orang karena mengharapkan pandangan, nasihat dan sokongannya. Untuk menjadi pendengar yang baik, cubalah belajar berempati kepada orang lain dan mendengar dengan fokus atas apa sahaja permasalahan yang sedang di dengarinya.

Rasakan apa yang mereka rasakan dan perhatikan apa yang mereka ceritakan. Dengan cara ini anda akan mudah digauli dan disukai dalam pergaulan.

6. Belajar Memulakan Perbualan

Jika selama ini anda adalah orang yang kaku (pasif) dan pemalu, sekaranglah saatnya untuk belajar memulai sebuah perbualan. Mungkin selama ini orang lain takut mengajak anda berbual karena anda terlalu pendiam. Untuk itu, cubalah mengajak mereka berbual terlebih dahulu.

Tidak perlu mencari bahan perbualan yang terlalu rumit. Santai sahaja seperti sekadar menyapa atau menanyakan sesuatu yang kurang penting.

Sebuah sapaan yang menyenangkan biasanya akan diikuti dengan perbualan yang lain seterusnya. Jangan lemah semangat jika di awalnya anda rasa berat melakukannya. Teruslah melatih diri dalam setiap kesempatan dengan sesiapa saja yang anda temui.

Selama anda sopan dan mesra menyantuni orang dengan akhlak terpuji, orang lain juga akan suka bergaul dengan anda. Dalam Islam, Abu Bakar as-Siddiq adalah seorang yang sangat terkedepan dengan sering mendahului melakukan kebaikan seperti orang yang lebih dahulu memberi salam bila bertemu sesiapa sehingga Umar al-Khattab tidak mampu menandinginya.

7. Jangan Mudah Tersinggung

Seseorang yang mudah tersinggung dan tidak suka dikritik akan dijauhi orang lain. Mengenali ramai orang dalam berkawan, sudah tentu anda akan berjumpa atau berhadapan dengan berbagai macam watak manusia.

Ada yang sopan santun, ada yang ego, ada yang suka menolong bahkan ada yang suka bercakap sembarangan.

Agar dapat diterima dalam pergaulan, hindari sifat mudah tersinggung. Walaupun orang lain berkata sesuatu yang anda tidak boleh terima, belajarlah menerima dengan besar hati dan hati terbuka. Jadikan itu sebagai pembelajaran untuk menjadikan anda insan yang lebih baik dan mulia lagi.

Begitu juga, jika kawan anda bergurau dengan kata-kata yang tidak elok didengar, anggaplah ia sebagai angin lalu sahaja dan ambil yang baik-baik sahaja.

Anggaplah mereka hanya bergurau dan tidak bermaksud serius dengan kata-katanya. Berbesar hatilah, dan tidak mudah tersinggung adalah salah satu cara bergaul yang baik agar anda disukai dalam pergaulan. Bagi Nabi SAW yang berbagai kata kesat dilemparkan kepada Beliau, tetapi Baginda tetap sabar demi kerana dakwah dan tarbiyah.

8. Tolong Kawan Yang Sedang Kesusahan

Siapa pun pasti suka mempunyai kawan yang baik hati dan suka menolong orang. Untuk memiliki peribadi seperti itu, yang pertama-tamanya andalah yang harus peduli dan peka terhadap orang lain.

Jangan berpura-pura tidak tahu atau tidak dengar jika ada kawan yang dalam kesusahan. Dengan itu semampu mungkin andalah orang pertama yang akan menghulurkan pertolongan kepadanya atau menyampaikan berita tersebut kepada kawan-kawan yang lain.

Orang yang suka menolong tidak akan pernah kekurangan kawan. Ramai orang selesa bergaul dengannya karena sifatnya yang hangat dan menyenangkan.

9. Jujur

Berbicara jujur adalah salah satu modal agar anda memiliki ramai kawan. Tidak ada orang yang suka berkawan dengan seorang pembohong, betul bukan?

Seorang pembohong biasanya dengan sendiri akan terkeluar atau dipinggirkan dari pergaulan. Kenapa? Kerana kebohongannya itu selalunya akan diikuti dengan kebohongan-kebohongan yang lain lagi di masa akan datang. Tidak ada seorang pun yang rela dibohongi, apatah lagi oleh kawan sendiri.

Dengan itu, berhati-hatilah dalam berbicara. Jangan berlebih-lebihan, jangan membesar-besarkan yang kecil atau mengada-adakan yang tidak pernah ada.

Berbicaralah dengan jujur, sehingga anda mendapat kepercayaan daripada orang lain dan pastinya menemukan kawan sejati anda. Dan anda mesti pasak di hati bahawa sifat bohong atau menipu ini adalah salah satu sifat orang munafik, yang di murkai Allah SWT.

10. Ada Rasa Humor

Selalu bersikap serius akan membuat suasana dalam pergaulan menjadi tegang dan kaku. Jadi karena itulah diperlukan sedikit rasa humor, kelakar atau gurau senda agar boleh terjalin cara bergaul yang baik dengan kawan-kawan sebaya atau sesiapa sahaja. Humor dapat merapatkan hubungan seseorang dan dapat memudahkan hubungan dengan orang lain. Humor adalah tip agar disukai ramai orang.

Cuma pastikan agar humor yang dilontarkan adalah gurauan yang santai dan bukannya ucapan yang menyakiti atau menghina perasaan orang lain. Misalnya mengejek, membuli dan mentertawakan kesusahan atau kelemahan orang lain. Rasulullah SAW juga bergurau tetapi Beliau bergurau dengan sesuatu yang benar.

11. Tidak Ego

Jika selama ini anda dikenali sebagai seorang yang ego, maka usahakan untuk menghilangkannya. Ego adalah adik beradik sifat sombong. Ingat! tidak masuk syurga orang yang ada sifat sombong dalam hatinya walaupun sedikit.

Sifat ego bukan hanya tidak disukai orang namun anda boleh menjadi semakin jauh dari kawan-kawan atau orang di sekeliling anda.

Belajarlah untuk rendah hati dan menjadi peribadi yang lebih terbuka. Ertinya anda boleh menerima kritik, pandangan dan nasihat orang lain untuk memperbaiki diri sendiri. Pupuk terus rasa kepedulian anda kepada sesama manusia, saling membantu untuk meringankan beban dan terus berfikir positif. Cepat atau lambat sifat ego anda akan memudar dan bertukar menjadi sifat yang lebih menyenangkan dan terpuji.

Kesimpulannya:

Fungsi kehadiran manusia di muka bumi adalah sebagai khalifah Allah dan sebagai hamba Allah SWT. Untuk melaksanakan kedua fungsi ini manusia harus membekali dirinya secara cukup, terutama bekal ilmu.

Dengan bekal inilah manusia dapat memainkan peranan dirinya dalam rangka membangun hubungan dengan Tuhannya (Pencipta) maupun dengan sesamanya (makhluk).

Cara yang mesti dilaluinya adalah melaksanakan seluruh perintah Allah SWT dan menjauhkan diri dari seluruh larangan-Nya. Inilah konsep takwa dalam Islam yang dibahagikan pada tiga kategori dasar ajaran Islam, yakni akidah, syariah, dan akhlak.

Ketiga dasar ajaran ini merupakan satu kesatuan yang saling terkait dan tidak boleh dipisahkan. Akidah menjadi dasar yang menjadi tumpuan berdirinya bangunan syariah dalam mencapai tujuan akhir akhlak.

Karena itu, penerapan akhlak mulia dalam berhubungan antara sesama manusia tidak boleh dipisahkan dari dasar akidah dan syariah. Ketika orang melakukan hubungan dengan sesamanya, baik dengan dirinya sendiri, dengan keluarganya, maupun dengan masyarakatnya, tetap harus didasari oleh akidah dan syariah yang benar, sehingga tercapai akhlak mulia yang sebenarnya.

Inilah di antara akhlak dalam perjuangan menegakkan agama. Dengan akhlak inilah kita mengajak masyarakat bersama-sama melaksanakannya.

1 Ogos 2021