Home Berita PAS Johor

PRN Johor : Saya mahu bawa suara wanita – Cikgu Mala

609
SHARE

Oleh Nabilah Nasuha

PULAI, 25 Feb : “Sebagai calon wanita yang bertanding maka kita akan bawa suara wanita, kebajikan wanita dan apa sahaja melibatkan isu-isu wanita untuk diperjuangkan selain isu-isu setempat.”

Demikian menurut kata Normala Sudirman yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mala ketika ditanya tentang manifesto beliau selepas dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) mewakili PAS yang akan bertanding di DUN N.04 Kemelah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 15.

Beliau antara calon wanita daripada PAS-PN turut menyatakan kesyukuran atas kepercayaan yang diberikan untuk mewakili Perikatan Nasional dan beliau juga berhasrat menarik sokongan pengundi muda dengan berkongsi program-program sepanjang kempen menerusi platform media sosial seperti twitter, tiktok, instagram dan sebagainya.

Kerusi Kemelah telah dimenangi oleh Dr Sulaiman Mohd Nor daripada PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang lepas yang memperolehi 10,836 undi menewaskan calon BN, Anuar Bin Abd Manap (8,481 undi) dengan majoriti sebanyak 2,355 undi.

Pada PRU-14 yang lepas juga PH telah membentuk kerajaan setelah memenangi 36 kerusi, manakala BN memperolehi 19 kerusi sementara PAS pula mendapat satu kerusi daripada 56 kerusi keseluruhan di dalam Dewan Undangan Negeri Johor dengan sebanyak 29 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan secara majoriti mudah.

Cikgu Mala bakal bertembung empat penjuru dengan calon dari BN, Saraswathi, calon PAN, Sulaiman Mohd Nor serta Norizan Sahardin (Pejuang) berdasarkan nama calon bertanding yang diumumkan dari parti masing-masing.