Home Berita PAS Kelantan

PKL rangkum pelbagai aktiviti berteraskan Islam

105
SHARE

KOTA BHARU, 18 April: Program Komuniti Lestari (PKL) yang membabitkan rumah ibadat adalah sebagai model yang merangkumi pelbagai aktiviti penyebaran ilmu dan pelestarian alam sekitar serta pembinaan komuniti berteraskan Islam.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Program Komuniti Lestari Mukim Pulau Gajah adalah projek rintis hasil kerjasama antara agensi KASA iaitu Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) dengan Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Kelantan Utilities Mubaarakan Holding Sdn Bhd (KUM).

“Program ini turut membabitkan sokongan kepakaran daripada pelbagai pihak seperti Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Jabatan Pertanian Malaysia, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Persatuan Pembangunan Wanita Kelantan ( PPWK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Program ini menggabungkan tiga elemen utama iaitu masyarakat, ekonomi dan alam sekitar. Ia perlu dibangunkan dengan pengetahuan dan kefahaman yang jelas mengenai Islam dan alam sekitar,” katanya dalam Majlis Pelancaran Program Komuniti Lestari Di Mukim Pulau Gajah Kelantan Bersama Kerajaan Negeri Kelantan, Masjid Ar Rahman Mukim Pulau Gajah, Pengkalan Chepa, semalam.

Tambahnya, program yang dilaksanakan akan menekankan enam aspek penting iaitu kerohanian, kebajikan, kesihatan, keakraban, kelestarian dan kewangan.

“Selain daripada penerapan nilai-nilai al-Quran, program ini turut membantu komuniti setempat dengan membuka peluang pekerjaan hijau, disokong dengan pelbagai bengkel, latihan dan kemahiran bagi merealisasikan Mukim Pulau Gajah sebagai Zon Rendah Karbon.

Usaha ini selari dengan situasi Mukim Pulau Gajah sebagai destinasi tumpuan pelancong domestik dan luar negara. Masjid Ar Rahman, Pantai Nusuk, Pasar Terapung Pengkalan Datu, Perusahaan Madu Kelulut, Pasar Nelayan LKIM dan Perahu Kolek Kampung Nelayan antara faktor penarik aktiviti ekopelancongan setempat yang berjaya ditawarkan,” jelasnya.

Tambahnya, pembangunan komuniti inklusif, berdaya tahan dan lestari adalah pra syarat matlamat Pembangunan Mampan 2030 yang turut merangkumi kualiti perkhidmatan air dan pembetungan serta pembasmian miskin tegar.

Berucap sebelumnya, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, PKL mampu menjadi alternatif kepada pembangunan komuniti ke arah kelestarian yang mana program ini adalah satu inisiatif yang bersifat jangka panjang untuk membangunkan komuniti secara terancang.

Selain itu katanya, PKL turut akan menjadi platform bagi semua ilmuan, penyelidik untuk mengaplikasikan segala ilmu dan kemahiran yang dimiliki untuk berbakti kepada komuniti dan ia mampu membantu komuniti menjadi mandiri, bebas dengan meningkatkan kualiti kehidupan secara amali, holistik, sistematik dan lestari.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Kaya Setia Nazran Muhammad, Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) Kementerian Alam Sekitar dan Air, Noor Afifah Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Greentech Technology Climate Change Corporation (MGTC), Ts Shamsul Bahar Mohd Nor dan Pengurus Besar Kelantan Utilities Mubaarakan Holding Sdn Bhd (KUM), Dr. Mohd Roshdi Hassan.

Dalam majlis yang sama, YB Tuan Saripudin menyerahkan cek RM80 ribu kepada KUM untuk Program Komuniti Amalan Hijau Kelantan (PKAH) di seluruh Kelantan.

Dalam majlis yang sama, Dato’ seri Tuan Ibrahim turut merasmikan Ain Ayer Asli iaitu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ain Medicare untuk Program Komuniti Lestari Masjid Ar Rahman serta menyaksikan demonstrasi sabun hasil minyak masak terpakai dan sabun daripada madu kelulut.