Home Berita PAS Johor

PJ PAS Johor calon Perikatan Nasional Parlimen Muar

2374
SHARE

Oleh SHARIFAH AJIL

MUAR, 1 Nov : Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Hussin telah dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) mewakili PAS yang akan bertanding di parlimen Muar.

Ini berdasarkan pengumuman calon-calon yang akan bertanding mewakili Perikatan Nasional seperti yang telah diumumkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhiyiddin Yassin dalam satu perjumpaan khas di Malaysia International Trade Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, malam ini.

Menurut pengumuman itu, Perikatan Nasional akan meletakkan calon di 169 kerusi parlimen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 kali ini.

Abdullah, 61 diamanahkan untuk bertanding di kerusi P146 Muar yang sebelum ini pada pilihanraya yang lalu (PRU 14), calon PAS ialah YB Cikgu Abd Aziz Talib yang kini menyandang sebagai ADUN N15 Maharani.

Cikgu Abd Aziz tewas kepada calon Pakatan Harapan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang memegang tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Saddiq Abd Rahman pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 yang lalu.

Ketika itu, Cikgu Abd Aziz hanya memperolehi 4,354 undi, manakala parti lawan dari Barisan Nasional (BN), Dato’ Seri Razali Ibrahim memperolehi 15,388 dan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi kerusi parlimen P.146 Muar melalui calon Syed Saddiq Abd Rahman mendapat 22,341 undi dengan majoriti undi 6,953.

Ustaz Abdullah dijangka akan bertembung dengan penyandang kerusi terdahulu iaitu Pakatan Harapan. Kali ini calon diwakili dari Parti MUDA yang akan diumumkan pada 2 November di Muar.

Mereka akan mempertahankan kerusi parlimen P.146 Muar. Turut bertanding ialah calon dari Barisan Nasional, Mohd Helmi Abd Latif.

PRU 15 diadakan setelah berlaku pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Ismail Sabri setelah diperkenankan oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Pembubaran parlimen telah diumumkan pada 10 Oktober lepas.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya ditetapkan pada 5 November manakala pengundian awal pada 15 November dan tarikh keluar mengundi pada 19 November.