Oleh NORZANA RAZALY
BACHOK, 25 Jul: Ribut yang berlaku pukul 6 petang dan berlarutan selama setengah jam pada Rabu, 21 Julai lalu menyebabkan penduduk Mukim Pantai Damat di Pantai Irama dan di Mukim Pengkalan Chengal serta Telong terjejas teruk.
“Selepas solat Maghrib saya bersama pasukan kerja segera ke lokasi untuk meninjau dan membantu di kawasan yang paling banyak terima aduan iaitu di Pantai Damat, Kampung Sungai dan Telong.
Setelah mengesahkan maklumat 304 penduduk terlibat dan 70 buah rumah mengalami kerosakan teruk, saya terus hubungi YB Exco Kebajikan, alhamdulillah beliau sanggup hadir.
“Keesokan pagi 22 Julai, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Mumtaz Md Nawi bergegas ke Kampung Dara Main, Perupok bagi menyampaikan bantuan segera berupa keperluan makanan termasuk beras dan selimut kepada 254 penduduk di lapan buah kampung di pesisir pantai Bachok yang masih trauma berdepan detik cemas tersebut”, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Irama YB Mohd Huzaimy Che Husin ketika dihubungi hari ini.
YB Huzaimi juga memaklumkan Ahli Parlimen Bachok, YB Nik Abduh Nik Abdul Aziz turut menyumbangkan bantuan tunai RM33,800 kepada 169 penduduk sebelum berangkat ke sidang parlimen, esok.
Kejadian yang sama turut dialami oleh 120 penduduk di Kok Lanas, Kota Bharu dan 58 pemastautin di Limbongan, Pasir Puteh.
Sehubungan itu, Dato’ Mumtaz mengingatkan rakyat supaya lebih waspada dan bermunajat memohon perlindungan Allah SWT daripada bencana yang melanda hampir setiap petang.
“Fenomena ribut dan banjir kini sedang melanda dunia tidak hanya di negara kita, malah di China dan beberapa negara lain kini sedang menghadapi banjir, ” ujarnya semasa menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di Kok Lanas, semalam.
Beliau turut bersyukur kerana sehingga kini, tiada kehilangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.