Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia
PH Melampau, Persenda Titah Agong
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyelar tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) berkenaan sidang Dewan Rakyat yang dilangsungkan baru-baru ini.
Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperingatkan supaya negara tidak diheret ke kancah politik tidak menentu mesti diambil serius dan dipatuhi semua pihak. Walaupun dititahkan kepada Ahli-ahli Parlimen, hakikatnya ia mesti diambil serius seluruh warga kerana melibatkan perihal kestabilan dan keharmonian negara.
Titah tersebut juga harusnya menyedarkan semua supaya mempunyai sikap waspada bahawa wujud sikap politik keterlaluan yang mungkin biadab, melampau, ekstrem dan radikal. Akhirnya ia menjadi ancaman dan gugatan yang menjerumuskan negara kepada ketidaktentuan dan kegagalan.
Malangnya, titah tersebut seolah sudah disanggah oleh keceluparan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Xavier Jayakumar Arulanandam yang menyifatkan Sidang Dewan Rakyat kelmarin sebagai sampah dan tidak berguna. Kepada siapakah kecaman Xavier itu ditujukan?
Ucapan itu sangat tidak wajar kerana beliau masih berpakaian istiadat. Bahkan tidak patut jika ditujukan kepada pengendalian dewan yang mulia. Apatah lagi andainya ia ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong kerana sesi kelmarin hanyalah Titah Diraja semata-mata.
Terkini, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang pula cuba memarakkan sentimen tuduhan apabila mendakwa gelombang kedua COVID-19 di negara ini berpunca dari ‘Langkah Sheraton’. Apakah Penasihat DAP ini tidak belajar dari netizen yang telah membuka pekung sebenar isu ini?
Jika tidak kerana ‘Langkah Sheraton’ yang menjadi titik permulaan menyelamatkan negara, usaha menangani COVID-19 mungkin masih acuh tak acuh dilakukan kerajaan sebelumnya. Pemimpin PH sendiri meremehkan amaran banyak pihak ketika berkuasa, tiba-tiba kini Kit Siang masih berterusan mahu menuding jari.
Inilah adu-domba yang cuba mengheret negara ke kancah tidak menentu. Sedangkan kerajaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengambil langkah sewajarnya menerusi kerjasama dan dukungan kuat penjawat awam. Barisan hadapan negara yang tidak dipandang DAP inilah yang telah berkorban segalanya mendepani pandemik maut ini.
PAS kesal dengan dua suara pemimpin pembangkang juga Ahli Parlimen ini yang baharu mendengar Titah Diraja kelmarin. Bahkan ia berbaur hasutan dan kebencian untuk menjebak pelbagai pihak kepada politik benci yang tidak berkesudahan.
‘Islam Memimpin Perpaduan’
KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
21 Mei 2020 | 28 Ramadan 1441