Home Uncategorized

Perutusan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor sempena Maulidur Rasul 1440H

82 views
SHARE

MUHAMMAD SAW TELADAN KEPIMPINAN UMMAH.

Firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ الَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو الَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ الَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya:  “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah”

(Surah al-Ahzab, ayat 21)

Bertarikh 12 Rabiulawal 571M, berita kelahiran mengenai seorang Rasul terakhir iaitu Muhammad bin Abdullah menjadi kegembiraan umat. Akhlak terpuji Nabi Muhammad SAW terserlah dan disenangi masyarakat Mekah ketika itu sehingga digelar sebagai _al-amin_(seorang yang amanah).

Demi meneruskan perjuangan dakwah Islam, Nabi Muhammad SAW bersama orang-orang Mukmin berhijrah ke Madinah. Bandar Madinah al-Munawwarah, di situlah terletaknya sejarah kerajaan Islam pertama yang diiktiraf dunia. Baginda SAW menjadikan al-Quran sebagai rujukan dasar pentadbiran dan tertera dalam Piagam Madinah (perlembagaan bertulis).

Biarpun di awal perjuangan dakwah baginda SAW ditentang, namun di akhir pemergiannya, baginda SAW telah meninggalkan kita sebuah khazanah dan model pentadbiran Islam ikutan terbaik.

Marilah kita mengambil pengajaran dan meneladani akhlak Nabi Muhammad SAW dalam mengurus hal ehwal manusia dan pentadbiran. Kita mestilah meyakini bahawa kejayaan sesebuah pentadbiran Islam ialah meninggikan kalimah tauhid dan akidah sejahtera sebagai asas kekuatan dalam mengemudi Ummah ke arah redha Ilahi.

Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor mengucapkan “Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1440H” kepada umat Muhammad yang dicintai Baginda SAW.

“Islam Memimpin”
“Muslimat Istiqamah Memacu Kemenangan”
“Istiqamah Membina Selangor Sejahtera”

Ustazah Hjh Wan Hasrina Wan Hasan
Ketua
Dewan Muslimat PAS NEGERI Selangor
20 Nov 2018 | 12 Rabiul’Awal 1440